Hak Penjagaan Anak Selepas Bercerai, Ibu Atau Ayah? Ini Jawapannya

Hak penjagaan anak selepas bercerai tuntutan hak penjagaan anak sering menjadi kekeliruan pasangan selepas berpisah.

Tiada siapa yang mahukan perceraian. Namun, jika ia terjadi tatkala anak kita masih kecil, antara persoalan yang sering bermain di fikiran ibu ayah adalah hak penjagaan anak selepas bercerai tuntutan hak penjagaan anak akan diberikan kepada siapa? Ibu atau ayah?

Hak Penjagaan Anak Selepas Bercerai

Hadanah iaitu hak penjagaan anak kecil. Ia bagi tempoh sehingga anak kecil mencapai umur mumaiyiz. Ibu adalah individu yang paling berhak dapat hadanah.

Namun, jika berlaku tuntutan hadanah, atau perselisihan Mahkamah Syariah pihak yang mempunyai kuasa dalam memutuskan hak hadanah.

Pertimbangan utama yang diberikan ialah kebajikan kanak-kanak itu sekiranya dia dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya.

Jika mahkamah berpendapat ibu hilang kelayakan di bawah hukum syarak dalam mendapatkan hak terhadap hadanah, maka hak itu, tertakluk hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan iaitu:

  • nenek sebelah ibu hingga ke atas
  • bapa
  • nenek sebelah bapa hingga ke atas
  • kakak atau adik perempuan seibu sebapa
  • kakak atau adik perempuan seibu
  • kakak atau adik perempuan sebapa
  • anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu sebapa
  • anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan seibu
  • anak perempuan daripada kakak atau adik perempuan sebapa
  • emak saudara sebelah ibu
  • emak saudara sebelah bapa
  • waris lelaki yang boleh menjadi warisnya

Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

Terdapat syarat yang dikenakan oleh mahkamah semasa membuat perintah hadanah, antaranya: 

  • Tempat kanak-kanak itu akan tinggal dan pelajarannya
  • Mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu berada buat sementara dalam pemeliharaan dan kawalan seseorang yang lain daripada orang yang diberi jagaan kanak-kanak itu
  • Mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu untuk melawat ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu yang telah mati atau bapa yang tidak diberi jagaan dalam tempoh difikirkan munasabah
  • Memberi ibu atau bapa yang tidak diberi hak jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau yang tidak diberi jagaan untuk berjumpa dan melawat kanak-kanak itu pada masa-masa dan seberapa kerap yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah
  • Melarang orang yang diberi jagaan itu daripada membawa kanak-kanak itu keluar dari Malaysia

Mahkamah boleh mengeluarkan perintah lain sekiranya ibu atau bapa yang mendapat jagaan anak memohon suatu perintah tegahan bagi menahan pihak yang tidak diberi jagaan anak membawa anak itu keluar dari Malaysia.

Kelayakan Untuk Hak Penjagaan

  • Beragama Islam
  • Baligh dan sempurna akal
  • Umur yang melayakkan dia memberikan kanak-kanak tersebut kasih sayang dan pendidikan yang sempurna
  • Berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah. Seseorang yang terkenal dengan kefasikannya seperti penzina, pencuri, peminum arak, penjudi dan seumpamanya tidak harus mengendalikan hadanah anak-anak
  • Tinggal di persekitaran sihat, tempat kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Hilang Hak Penjagaan

hak penjagaan anak

Antara sebab yang menyebabkan hilangnya hak penjagaan anak selepas bercerai ialah:

  • Berkahwin dengan lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu dan lelaki bukan muhrim dengan kanak-kanak itu
  • Berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka
  • Menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu
  • Murtad.
  • Cuai atau menganiaya kanak-kanak itu.

Anak Buat Pilihan Sendiri

Hak hadanah bagi menjaga seseorang kanak-kanak tamat apabila kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun bagi lelaki dan umur sembilan tahun bagi kanak-kanak perempuan.

Mahkamah boleh membenarkan pihak yang menjaga kanak-kanak itu sehingga kanak-kanak itu mencapai umur sembilan tahun (jika kanak-kanak itu lelaki) dan 11 tahun bagi kanak-kanak itu perempuan.

Setelah tamatnya hak hadanah, penjagaan adalah turun kepada bapa.

Jika kanak-kanak itu telah mencapai umur kecerdikan (mumaiyiz) dia berhak memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau bapanya melainkan jika mahkamah memerintahkan selainnya.

Kes boleh difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah tempat bermastautin. Boleh juga dapatkan khidmat guaman daripada Peguam Syarie di biro bantuan guaman atau swasta.

Akta/ Enakmen Keluarga Islam di Malaysia tidak memperuntukkan secara khusus berkenaan hak jagaan anak melibatkan anak angkat. Namun dari segi amalannya, apabila pasangan ibu bapa angkat bercerai, kebiasaannya keutamaan hak jagaan akan diberikan kepada ibu angkat melainkan jika ibu angkat didapati tidak memenuhi kelayakan sebagai seorang penjaga.

hak penjagaan anak Kredit: Freepik

Bolehkah anak menentukan dengan siapa dia mahu tinggal?

Ya, keputusan anak akan diambil kira oleh pihak mahkamah ketika menentukan siapa yang akan menjaga anak selepas perceraian.

Tetapi, anak tersebut bukanlah anak kecil. Dia perlulah seorang yang telah baligh atau mumayyiz (dapat membezakan antara baik dan buruk, antara benar dan salah serta sudah mampu menjaga kebajikan diri sendiri).

Walaupun begitu, keputusan akhir masih di bawah ketentuan pihak mahkamah. Jika anda hendak tahu lagi, undang-undang yang berkaitan tentang hak penjagaan anak bergantung kepada enakmen negeri masing-masing.

Jika anda sedang mengalami permasalahan tentang hak jagaan anak selepas bercerai, teruslah mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak peguam di tempat anda bagi mendapatkan bantuan atau kepastian.

Yang pastinya, hak penentuan untuk menjaga anak akan ditimbangtara secara telus oleh mahkamah dan ianya demi kesejahteraan anak-anak.

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: 8 Tips Untuk Memberitahu Anak-Anak Anda Bahawa Anda Akan Bercerai

Baca juga: Hukum Menceraikan Isteri Ketika Hamil, Adakah Lafaz Talak Suami Itu Sah? Ini Jawapan Mufti

Baca juga: "Bersabar Sampai Bila? Saya Lebih Bahagia Lepas Dicerai Talak Tiga Suami Tak Guna"

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!