Berjiwa kental – itulah kata-kata yang sesuai diberikan kepada wanita yang berusia 51 tahun ini. Rosalekka Salim, seorang ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki, mempunyai satu kerjaya yang luar dari kebiasaan. Beliau merupakan seorang pemandu lori trailer kontena!
‘Hakak Lori’ Si Pemandu Trailer!
Menggelarkan dirinya sebagai Hakak Lori (Kakak Lori), Rosalekka Salim merupakan pemandu trailer bertayar 10 yang mengangkut kontena di Pelabuhan Penang.
Adalah menjadi tugasnya setiap hari untuk mengangkut kontena-kontena dengan lorinya dan dihantar dari kapal kargo ke pelabuhan untuk proses pembaikian.
Beliau dikhabarkan membuat hampir 150 perjalanan setiap bulan dengan lori kontenanya – memang hebat!
Yang menarik perhatian ramai adalah habit wanita ini yang memandu lori sambil memakai baju kurung!
Dari segi personaliti, ternyata wanita ini bersifat periang dan ceria. Pada masa yang sama, beliau juga seorang yang lasak. Menerusi koleksi foto dan video dari laman FB beliau, beliau merupakan seorang yang gemar aktiviti marathon, mendaki gunung dan melancong.
Jom kita tengok video Rosalekka yang menceritakan serba sedikit tentang tugasnya sebagai pemandu lori.
https://www.facebook.com/rosalekka.salim/videos/vb.598594345/10155105690034346
Pengalaman Terdahulu Sebagai Pekerja Kilang
Sebelum menceburi diri dalam bidang pengangkutan logistik yang mencabar ini, beliau telah mempunyai pengalaman 18 tahun sebagai pekerja kilang.
Mungkin ramai yang menyangka tugas memandu lori trailer panjang itu sesuatu tugas yang sukar, terutamanya buat wanita.
Namun, menurut Rosalekka, ia bukanlah sesusah yang disangka. Mungkin ia sesuai dengan pepatah ‘alah bisa, tegal biasa.’
Beliau memilih untuk menjadi pemandu trailer dengan tujuan untuk mencari rezeki yang halal buat menampung kehidupannya serta dua orang anak lelaki beliau.
Waktu Kerja yang Lebih Fleksibel
Yang menariknya, Rosalekka menyatakan bahawa tugasnya semasa bekerja di kilang adalah lebih sukar daripada tugas sekarang sebagai pemandu trailer.
Dengan tugas sebegini, beliau tidak lagi dikongkong oleh waktu pejabat. Ruang masanya lebih fleksible. Malah, pendapatannya turut berganda.
Beliau mampu memperolehi pendapatan sehingga RM7,000 dan ia tidak termasuk bonus, komisen, serta elaun makan!
Tugas sekarang sangat menggembirakan hatinya – tiada lagi rasa tertekan atau stress – walaupun ia hadir dengan cabarannya yang tersendiri.
Apakah yang Dapat Dipelajari Daripada Kisah Wanita Kental Ini?
Ada banyak pengajaran dari Rosalekka buat kita semua – sifat berdikari, berani mencuba, dan tidak memilih pekerjaan.
Daripada kisah wanita berusia 51 tahun ini, kita pelajari bahawa apa yang penting dalam kehidupan ini adalah usaha untuk melakukan sesuatu tugas dengan terbaik.
Kita juga perlu berani mencuba dan mencari pekerjaan yang kita minati. Kerana, apabila kita suka akan sesuatu pekerjaan itu, kita akan menjadi lebih bersemangat untuk terus melakukannya.
Rosalekka turut menyatakan bahawa dia berharap supaya graduan muda mendapat inspirasi daripada kisah hidupnya.
Beliau mahu golongan belia supaya mencuba apa sahaja pekerjaan yang ada – dan pekerjaan kosong sememangnya banyak di pasaran – termasuklah pekerjaan sebagai pemandu lori.
Bidang Kerjaya Mencabar Lain Yang Segolongan Wanita Sudi Ceburi
Selain daripada pemandu trailer, ada beberapa lagi tugas atau bidang kerjaya lain yang segolongan wanita berani untuk cuba.
Menurut All Womens Talk, pembalak, askar, pilot, pelombong, dan jurutera gas dan minyak merupakan antara kerja berbahaya di dunia yang turut diceburi oleh golongan wanita.
Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda mempunyai kerjaya yang luar dari kebiasaan? Apa agaknya pengalaman dan perasaan anda ketika bertugas? Ia pasti menarik! Jom kongsikan bersama pembaca yang lain.