Malaysia negara pertama TIADA kes pemindahan HIV dan sifilis kepada anak

Malaysia menjadi negara pertama tiada kes pemindahan HIV dan sifilis dari ibu kepada anak dalam kandungan. Kejayaan HIV Malaysia ini sangat membanggakan!

Malaysia telah mencipta sejarah apabila berjaya menjadi negara pertama di Rantau Pasifik Barat yang dapat menghapuskan kes pemindahan HIV dan sifilis dari ibu kepada anak.

HIV Malaysia: Malaysia mendapat pengiktirafan dari WHO

Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) telah memberikan sijil pengiktirafan kepada Malaysia kerana berjaya menjadi negara pertama yang menghapuskan pemindahan HIV dan sifilis dari ibu mengandung kepada anak dalam kandungan.

Pengarah Wilayah untuk Pasifik Barat WHO, Dr. Shin Young-soo berkata,

"Terima kasih di atas usaha Malaysia selama beberapa tahun lepas, ibu bapa kini boleh pastikan yang bayi mereka lahir bebas HIV dan sifilis dan boleh memulakan hidup dengan sihat. Penghapusan ini tak boleh dicapai tanpa komitmen yang kuat dari Malaysia untuk memastikan semua wanita, kanak-kanak dan keluarga mendapat perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan."

HIV Malaysia: Usaha lebih dari dua dekad membuahkan hasil

Malaysia antara negara yang terawal menyertai rancangan pencegahan penyebaran HIV dan sifilis pada ibu dan anak dalam perkhidmatan kesihatan mereka.

Malaysia telah memulakan saringan HIV antenatal pada tahun 1998.

Tahun ini, pemeriksaan antenatal dan rawatan untuk HIV dan sifilis telah ditawarkan secara percuma dan hampir semua wanita mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti termasuk pencegahan kehamilan dan bersalin oleh atendan kesihatan yang mahir.

Hasilnya, jumlah bayi lahir dengan HIV dan sifilis telah berjaya dikurangkan pada tahap yang sama dengan kriteria penghapusan sedunia.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad mengatakan,

"Pencapaian ini bukan pengakhiran usaha kita untuk memastikan setiap anak Malaysia memulakan kehidupan dengan sihat dan bebas HIV dan sifilis.  Ini adalah permulaan kepada perjalanan yang tak akan berakhir untuk memberi penjagaan yang berkualiti bagi mencegah semua jangkitan yang boleh disebarkan dari ibu kepada anak. Saya berharap program yang menjadi punca kebanggaan dan kepentingan negara ini terus berkembang untuk tahun-tahun mendatang melalui sokongan dari politik yang kuat dan melalui hubungan dengan masyarakat." tambahnya lagi.

HIV Malaysia: Melindungi generasi masa hadapan

13,ooo wanita mengandung dalam Rantau Pasifik Barat setiap tahun menghidap HIV dan satu dari empat daripada mereka tidak mendapat rawatan terapi antiretroviral.

Tanpa rawatan ini, mereka mempunyai 15-45% peluang untuk menyebarkan virus kepada bayi semasa hamil, bersalin atau menyusu.

Jika mereka mendapat rawatan, risiko ini akan jatuh kepada hanya lebih dari 1%.

"Penghapusan ini adalah pencapaian yang luar biasa dan meletakkan Malaysia di hadapan dalam usaha global untuk memastikan tiada anak lahir dengan HIV atau sifilis." kata Mr. Eamonn Murphy, Pengarah Wilayah Asia dan Pasifik UNAIDS. 

Tambahan lagi, setiap tahun 45,000 wanita dalam rantau dijangkiti sifilis dan boleh menyebabkan kematian janin, bayi lahir mati, bayi kurang berat badan, jangkitan neonatal yang serius dan kematian.

Tapi dengan saringan dan rawatan semasa hamil, ia boleh menghapuskan hampir ke semua komplikasi ini.

Malaysia dapat mencapai kejayaan program ini kerana 95% ibu mengandung mengambil pemeriksaan antenatal di klinik sekurang-kurangnya sekali. 

Kami di theAsianparent Malaysia mengucapkan tahniah kepada pihak pakar dan pelbagai pihak yang terlibat dalam menjayakan program pencegahan penyebaran HIV dan sifilis pada ibu dan anak. 

Semoga kejayaan ini dijadikan pendorong untuk kita lebih menitik beratkan tentang kesihatan ibu mengandung, malah anak yang bakal dilahirkan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: WHO

Baca juga:

Penulis

Nadia Ghafar