Hormati ibu bermaksud berbuat baik padanya, dan melakukan apa yang disukai mereka selagi tidak bertentangan dengan suruhan Allah SWT. Anak mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjaga ibu, kerana besarnya jasa ibu memang tidak dapat dibandingkan sama sekali.
Anak wajib menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya bukan saja ketika mereka masih hidup, malah selepas mereka meninggal dunia pun, amalan baik dan penghormatan itu wajib dikekalkan oleh anak-anaknya.
Namun lain pula yang berlaku kepada si ibu ini…
Ibu Mangsa Penderaan Anak Dan Menantu
Seorang warga emas melalui pengalaman yang tidak berperikemanusiaan oleh anak dan menantunya sendiri apabila didera dengan teruk, di PPR Desa Wawasan Sungai Rambai, Bukit Mertajam. Tambah sadis, wanita tersebut itu dikatakan telah dikurung dan dipukul sejak sekian lama tetapi diketahui oleh jiran sekeliling!
Walau bagaimanapun, si ibu akhirnya tidak mampu menanggung lagi dan mendapatkan bantuan dari orang sekeliling ketika anak dan menantunya tiada di rumah. Jiran tetangga telah bertindak mengumpil pintu rumah sebelum menghubungi pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan lanjut.
Dia ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan hasil pemeriksaan mendapati warga emas tersebut mempunyai banyak kesan calar dan parut di tubuh dan kepalanya, disyaki akibat dipukul dengan objek tajam.
Ibu Menafikan Didera…
Ibu yang berusia 64 tahun itu walau bagaimanapun menafikan menjadi mangsa dera anak dan menantunya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam kejadian jam 2.45 petang itu, warga emas itu dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam bagi mendapatkan rawatan sebelum polis menerima laporan doktor mengenai keadaan wanita itu yang dikhuatiri didera.
“Hasil temubual yang dilakukan, wanita itu menafikan dia dipukul anak sebaliknya dikatakan terjatuh sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan. “Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mempunyai sejarah sakit mental (kemurungan) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
“Siasatan awal mendapati anak-anak mangsa juga disyaki kurang siuman manakala menantu pula orang kurang upaya (OKU) serta mendapat bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sekiranya mereka kehabisan wang, kesemua akan keluar mengemis. “Dua orang anak dan seorang menantu yang berusia antara 26 hingga 35 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut. Kesemua yang ditahan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan psikiatri dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.
Hormati Ibu, Kunci Keberkatan Hidup
Ibu merupakan individu yang melahirkan kita, dan atas sebab inilah agama Islam meletakkan ibu di tempat yang tinggi dalam hubungan kekeluargaan bahkan digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan kamu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). (Surah al-Isra’ 17:23)
Pada masa anak masih dalam kandungannya, ibu telah menempuh pelbagai penderitaan dan kesusahan. Seorang ibu rela tidak tidur malam demi menjaga anaknya yang masih kecil daripada digigit nyamuk. Ibu dan bapa sanggup perut kosong selagi perut anak yang masih kecil itu masih belum berisi. Begitulah besarnya pengorbanan ibu dan bapa terhadap anaknya. Jadi tidak hairanlah jika Islam menitik beratkan soal berbuat baik dan menghormati kedua ibu bapa.
Disamping itu juga, kewajipan untuk anak-anak hormati ibu diperkuatkan lagi dengan sepotong hadith yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud:
Apabila mati seseorang anak Adam, maka putuslah amalnya melainkan tiga perkara, (iaitu): sedekah jariah, ilmu bermanfaat kepada orang lain dan anak soleh yang mendoakannya. (Hadith riwayat Muslim dan Ahmad)
Marilah kita terus berbuat baik terhadap ibu bapa kita (sekiranya mereka telah meninggal dunia) dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan mendoakannya.
Di antara doa yang boleh kita gunakan untuk mendoakan ibu bapa kita ialah:
- Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan ibu bapaku dan rahmatilah serta sayangilah mereka sebagaimana mereka menyayangi dan mengasihi aku di masa kecil. (Surah Al Israk: Ayat 25)
- Ya Tuhan kami! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat). (Surah Ibrahim: Ayat 41)
Hormatilah ibu, sesungguhnya kasih sayang ibu tiada penggantinya.
Ada di kalangan anda yang tidak sependapat dengan ibu mertua?
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus ke Facebook page kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: kompleksislam.com
Baca juga:
https://my.theasianparent.comibu-yang-terbaik-bff/