Memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini membataskan pelawat ke hospital, ramai ibu memilih untuk bersalin di hospital swasta kerana mengharapkan servis yang lebih baik dan suami dapat menemani sepanjang proses kelahiran bayi.
Walau bagaimanapun baru-baru ini tular di media sosial apabila seorang usahawan, Siti Suriani Wahiddin berkongsi melalui ‘live’ Facebook mengenai dia telah tertukar bayi.
Isu tertukar bayi akibat kecuaian hospital swasta
Video yang mendapat tontonan melebihi 1.5 juta tersebut telah menyebabkan kebanyakan ibu berasa bimbang dengan kejadian yang sama.
Menurut laporan Harian Metro, Siti Suriani berasa kecewa dengan tindakan hospital yang tidak bertanggungjawab menyerahkan bayinya kepada pasangan lain tanpa membuat pemeriksaan teliti.
Apa yang paling dibimbanginya adalah keadaan kesihatan bayi yang baru dilahirkan itu telah dibawa keluar oleh ‘ibu bapa’ lain dalam tempoh kurang 12 jam.
”Saya telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki pada jam 2.36 pagi pada Jumaat yang lalu dan diletakkan di bawah jagaan pihak hospital. Pada jam 8.30 pagi, saya minta untuk lihat bayi dan jururawat yang bertugas telah membawanya masuk ke dalam bilik.”
”Pada waktu itu saya menyedari wajahnya sedikit lain. Tapi tidak mengesyaki apa-apa kerana katil bayi tertera nama saya.” kongsinya.
Kecuaian hospital swasta menyebabkan kebimbangan orang ramai
Tambah Siti lagi, dia telah dibenarkan pulang ke rumah dan menyedari bahawa bayi berkenaan bukan anak mereka sewaktu suaminya mahu memotong tanda nama pada kaki bayi itu. Tanda nama bayi juga adalah nama wanita lain.
Tanpa berlegah, dia dan suami segera menghubungi hospital swasta tersebut dan memaklumkan kejadian. Katanya, mereka diminta untuk kembali ke hospital bagi proses pertukaran semula bayi selepas pihaknya berjaya mengesan ibu bayi berkenaan.
”Sebagai ibu, jantung saya bagai nak gugur apabila pihak hospital mengesahkan bayi saya telah tertukar. Namun saya bersyukur dia dijaga oleh pasangan yang baik.”
”Pagi semalam saya pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Namun agak mengecewakan apabila berat badan anak telah direkodkan dengan salah dan pihak hospital tidak pasti sama ada telah memberikan suntikan vaksin BCG ataupun tidak.” jelasnya.
Dia juga sudah membuat laporan polis dan merujuk kes dengan peguam bagi tindakan susulan.
Sementara itu, usahawan Diana Hanani Abdullah, 23 turut kecewa dengan insiden tertukar bayi yang menganggu emosinya.
Dia melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di hospital yang sama pada 3.02 petang, 10 Jun (Khamis) dan dibenarkan pulang pada keesokan harinya.
”Saya hanya menyedari bayi kami telah tertukar apabila mendapat panggilan dari pihak hospital. Alangkah terkejutnya saya, lalu meminta suami ambil semula tanda nama anak yang sudah dibuang dalam bakul sampah dan mendapati tertera nama Siti Suriani.”
”Kami terus ke hospital dan proses pertukaran semula bayi berlaku dalam suasana penuh emosi kerana kami sudah menyayangi bayi tersebut seperti anak sendiri,” jelasnya yang turut membuat laporan di Balai Polis Saujana Utama untuk tindakan susulan.
Tips bagi mengelakkan isu bayi tertukar selepas bersalin
Menurut pengalaman ibu kepada lima orang anak, Marsitah Ismail, dia berkongsikan mengenai beberapa prosedur dari proses bersalin sehingga keluar wad di hospital kerajaan.
#1. Sebelum bersalin di hospital kerajaan, jururawat yang bertugas akan meminta sepersalinan pakaian bayi. Jadi ibu-ibu boleh cam pakaian bayi semasa jururawat bagi untuk menyusukan bayi selepas dibersihkan, dilabel (pasang tag) dan dipakai dengan pakaian yang dibekalkan.
#2. Selepas bayi keluar dari perut ibu, nurse akan membuat pemeriksaan kesihatan bayi. Membersihkan bayi dan memakaikan tag nama di kakinya (nama dan nombor kad pengenalan ibu, tarikh bersalin, masa bersalin dan jantina).
#3. Jika bernasib baik, si ayah akan dapat jumpa bayi sebentar untuk diazankan. Jadi si ayah akan mengecam rupa bayi, selaluinya suami akan ambil beberapa keping gambar sebagai kenangan.
#4. Sebelum keluar dari wad, beberapa pemeriksaan di laluan pintu keluar wad dan hospital oleh guard. Akhir sekali barulah tag di kaki bayi akan ditanggalkan.
Semoga ibu-ibu yang bakal bersalin, terutamanya buat pertama kali sedikit sebanyak tahu mengenai prosedur hospital dengan perkongsian ini. Kadang-kadang kita alpa dan mamai sebab kes tertukar bayi ini sangat jarang berlaku.
Sumber: Harian Metro, Marsitah Ismail
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Sudah 58 Tahun Tidak Tahu Siapa Ibu Bapa Kandung, Hospital Tersilap Beri Bayi Yang Salah