Penduduk tetap rumah orang tua
Menitis air mata membaca kisah yang menyayat hati ini. Teringat mak saya di rumah.
Semoga kita, pembaca theAsianparent Malaysia, dijauhkan dari sifat bongkak mencampak ibu bapa sendiri ke rumah orang tua tanpa pergi melawat mereka seperti kes ini.
Puan Pungut Jumadi, salah seorang penetap rumah orang tua di Green Acres, Johor Baru tidak ada impian lain.
Beliau hanya ingin melihat muka anaknya buat kali terakhir, sebelum ajal menarik perlahan-lahan nikmat hidupnya.
Semua penduduk tetap di rumah orang tua itu akan menerima lawatan dari anak, keluarga dan saudara mara mereka sekurang-kurangnya sekali setahun.
Lebih-lebih lagi pada Hari Raya.
Tapi tiada siapa yang datang melawat makcik berusia 69 tahun ini. Wajahnya sentiasa tertunduk sedih apabila melihat pelawat lain datang.
Di mana anak-anaknya? Kenapa mereka tak sanggup datang melawat ibu mereka sendiri? Entahlah. Tiada alasan yang mampu menutup perbuatan mencampak ibu sendiri ini.
Puan Pungut telah dihantar ke rumah orang tua ini oleh anak lelakinya pada tahun 2001. Ketika itu, beliau berusia 53 tahun.
Namun sejak hari itu, anak Puan Pungut tidak pernah melawat ibunya lagi.
Kesedihan ibu yang terabai di rumah orang tua
Menurut pekerja yang berkhidmat di rumah penjagaan orang tua itu, Puan Pungut adalah keluarga dari Malaysia yang bekerja di Singapura.
Sebelum ini, beliau telah dirawat di Hospital Tock Seng kerana strok. Selepas keluar dari hospital itu, beliau terus dihantar ke sini.
Pemilik rumah kebajikan orang tua ini, Encik Yeo Kok Leong – menghubungi The Straits Times kerana ingin membantu Puan Pungut mencari anak-anaknya.
Anak wanita malang ini telah didaftar sebagai Syahrunizal Mohamad Ali.
Encik Yeo mengharapkan bantuan orang ramai malah media untuk menyebarkan maklumat ini demi mencari keluarga Puan Pungut di Malaysia kerana kesihatan wanita tua itu semakin teruk.
Beliau sering mengatakan yang beliau ingin balik ke rumah untuk melihat anaknya.
Yuran tidak dijelaskan
Pelbagai percubaan untuk mencari keluarga Puan Pungut telah dilakukan. Menurut pekerja di sana, keluarga asal wanita itu menetap di Segamat.
Pencarian di Segamat juga telah dilakukan, namun tidak menemui sebarang hasil.
Sebenarnya, yuran penjagaan Puan Pungut di rumah orang tua tersebut telah lama tidak dibayar.
Encik Yeo enggan mengatakan berapa anggaran jumlah yang sebenar kerana khuatir niatnya disalah faham.
Pencarian ahli keluarga terdekat Puan Pungut bukan kerana ingin menuntut yuran yang telah bertimbun, namun ini kerana kasihan akan wanita malang itu.
Kini, di Green Acres, semua pekerja mencuba sehabis baik untuk menjaga Puan Pungut. Kasihan, beliau tidak boleh berjalan, sukar untuk bercakap dan terpaksa makan dengan menggunakan tiub.
Setiap kali tiba Hari Raya, mereka akan membeli pakaian baru untuknya.
Wahai anak-anak sekalian, ingatlah ibu bapa anda.
Walau sesibuk mana pun kita, ingatlah… mereka ini yang membesarkan kita. Mereka ini yang menyuap makanan ke mulut kita.
Masakan kita boleh lupa jasa mereka begitu saja? Mereka hanya ingin belaian kita, sama seperti mereka bersusah payah membela kita hingga besar dulu…
Sumber rujukan: The Straits Times
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comanak-tak-mahu-jaga-muliakanlah-ibu-bapa-anda/