Nasib ibu tunggal dan anaknya
Menurut Chutian Metropolis Daily, beginilah nasib seorang ibu tunggal dan anaknya, yang terpaksa tidur dalam teksi sebanyak 900 kali, sehingga ke hari ini.
Li Shaoyun, 42, dan anak perempuannya Yiyi, yang berusia hampir 3 tahun, berasal dari Wuhan, Hubei.
Ibu tunggal itu bekerja sebagai seorang pemandu teksi malam, terpaksa membawa anakya bersama kerana beliau tidak mampu mengupah pengasuh.
Dari senja hingga 5 pagi
Ibu tunggal ini mula bekerja selepas mengambil teksi dari rakan sekerja pada waktu senja dan memandu hingga pukul 5 pagi.
Bayaran sewa untuk teksi itu adalah sebanyak 100 yuan (kira-kira RM65) dan 100 yuan untuk minyak kereta.
Yiyi – anak perempuan beliau biasanya akan duduk bersebelahan dengan ibunya apabila beliau memandu.
Namun, dia akan beralih duduk di tempat duduk belakang jika ada penumpang yang lebih suka duduk di depan. Hidup mereka penuh dengan cabaran.
Ramai pelanggan telahpun menolak perkhidmatan Li apabila melihat seorang kanak-kanak kecil duduk di dalam teksinya.
“Yiyi selalu tertidur kira-kira pukul 1 pagi,” kata Li.
Beliau menambah – sebelum tidur, biasanya Yiyi akan mengingatkan ibunya untuk berhenti kerja awal dan boleh pulang ke rumah dengan lebih awal.
Li berkata dia memberitahu anak perempuannya: “Kalau ibu tak cukup duit, macam mana ibu nak beli makanan yang baik untuk Yiyi? “
Baca juga:
Kisah Benar: Pahit Manis Bekas Isteri Artis Hadapi Penderaan Fizikal
Cabaran hidup buat ibu tunggal
Ramai terharu melihat keazaman ibu tunggal ini yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menampung kos kehidupan mereka berdua.
Selama 3 tahun, Li menjadi ibu dan ayah kepada Yiyi sepenuh masa tanpa bantuan orang lain, sambil bekerja setiap malam.
Seorang pembaca telah menulis: “Mereka yang mempunyai anak akan memahami cabaran yang dihadapi ibu ini. Saya mengharapkan yang terbaik untuk mereka.” Seorang lagi memberi komen: “Saya rasa sedih setelah membaca tentang kisah mereka. Tak selamatlah apabila seorang wanita bekerja pada larut malam.”
Tetapi dalam keadaan terdesak, kadang-kadang kita perlu membuat pilihan yang sukar apabila mencari pekerjaan yang boleh memberi kelonggaran untuk menjaga anak.
Pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu untuk anaknya ini tiada batasan. Seorang ibu rela mempertaruhkan keselamatan diri dengan memandu teksi sepanjang malam semata-mata untuk kehidupan si anak.
Di manakah ibu-ibu ini mendapat kekuatan untuk membesarkan anak bersendirian? Hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Sebenarnya Li tidak berseorangan, kerana Yiyi selalu bersamanya.
“Dialah pendorong saya. Setiap kali saya menatap wajah anak saya yang suci dan tidak bersalah, keazaman saya akan kembali membara.”
Semoga Tuhan sentiasa melindungi ibu tunggal merangkap wanita hebat ini dan anaknya.
Diharapkan perkongsian kisah ini membuka mata masyarakat tentang keperitan hidup seorang ibu tunggal yang terpaksa membesarkan anaknya seorang diri.
Sumber: South China Morning Post
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
Cabaran Ibu Tunggal – Cerita dan Petua Dari Mereka yang Menempuhinya