IHH Healthcare Malaysia (“IHH”) melancarkan kempen ‘Ready For You’ bagi melengkapkan individu dengan kemahiran menyelamat nyawa yang praktikal agar mereka dapat memberikan pertolongan cemas yang cepat dan tepat dalam situasi kecemasan perubatan asas.
Menerusi kempen itu, IHH akan menyediakan latihan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan Defibrilator Luaran Automatik (AED) secara percuma kepada 1,000 kakitangan daripada pelbagai sektor perkhidmatan termasuk klinik swasta, insurans, pendidikan, perbankan, hospitaliti dan e-hailing. Inisiatif ini bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pemberi pertolongan cemas atau first responder dalam kalangan perkhidmatan utama ini yang banyak berdepan dengan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia, Jean-François Naa berkata, “Sebagai penyedia penjagaan kesihatan terkemuka di Malaysia, kami sentiasa bersedia untuk bertindak dalam situasi kecemasan perubatan menerusi jabatan kecemasan dan juga pakar perubatan dari pelbagai disiplin. Walau bagaimanapun, ada sesetengah kecemasan perubatan yang mungkin memerlukan tindakan segera di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan perkhidmatan ambulans dan paramedik.”
“Jika lebih ramai individu dalam komuniti dilatih dengan kemahiran CPR dan penggunaan AED, wujud kebarangkalian yang lebih tinggi bahawa ada individu yang boleh memberikan pertolongan cemas yang cepat dan tepat. Ini akan membantu meningkatkan kadar kelangsungan hidup seseorang itu.”
Untuk melengkapkan kempen ini, orang ramai boleh memuat turun e-Buku Pertolongan Cemas yang mengandungi panduan penting mengenai pengurusan kecemasan perubatan asas. e-Buku ini boleh didapati di laman sesawang Hospital Gleneagles, Hospital Pantai dan Pusat Perubatan Prince Court. Kios latihan amali CPR yang pertama seumpamanya di Malaysia turut dilancarkan bagi mendidik komuniti mengenai CPR. Kios interaktif ini akan ditempatkan di premis hospital dan rakan strategik IHH yang terpilih.