Tiada apa yang mustahil. Lebih-lebih lagi bila kita bercakap tentang perkahwinan impian. Semua pasangan ingin merakam kenangan indah perkahwinan dalam upacara yang luar biasa, bukan?
Perkara itu yang dipegang oleh Susana Zamos dan pasangannya, Jovany. Mereka mulanya berangan untuk berkahwin betul-betul di tengah lautan. Maklumlah, sudah ramai pasangan berkahwin di tepi pantai atau membuat majlis dengan tema underwater world.
Huffington Post melaporkan angan-angan mereka kemudiannya ditolak oleh perunding perkahwinan. Mereka akur selepas impian mereka dianggap sebagai ‘gila dan menyusahkan’. Namun, satu keajaiban berlaku.
Sol Tamargo, seorang jurugambar daripada Riviera Maya telah melamar untuk merealisasikan angan-angan pasangan pengantin ini.
Dengan lapan individu dalam satu pasukan, Del Sol Photography menggunakan drone dan dua kamera kalis air untuk menangkap detik-detik indah lagi menarik dalam perkahwinan Susan dan Jovany.
Akhirnya mereka berjaya merealisasikan impian mereka untuk berkahwin di tengah lautan! Lokasi yang menjadi pilihan adalah di Cozumel, Mexico. Seramai 100 tetamu undangan memeriahkan majlis.
Mari lihat antara gambar-gambar menarik yang berjaya dirakam oleh jurugambar handal ini!
Disebalik Tabir
Impian perkahwinan unik ini telah tersemat lama dalam memori Susan. Laman web Del Sol Photography berkongsi cerita Susan —
“Saya suka air. Saya seorang scuba diver yang membesar dengan kolam di belakang rumah. Dan laut yang tak jauh sangat. Saya ingin hari paling indah ini dalam air juga. Saya gembira.”
Hakikatnya, krew Del Sol Photography dan pasangan pengantin terbabit melalui beberapa kesukaran untuk merealisasikan impian ini. Tapi, demi merai sebuah cinta suci lagi murni, semuanya berjaya diatasi!
Tamargo berkongsi rakaman manis yang berjaya disunting beliau walaupun melalui pelbagai kesukaran di sini.
Dapat ilham daripada perkahwinan luar biasa yang dijalankan oleh pasangan ini? Beri suntikan luar biasa dalam perkahwinan anda juga! Terdapat pelbagai idea unik lagi kreatif yang mampu membuatkan perkahwinan anda dikenang selamanya. Antaranya ialah:
- Serlahkan gaun pengantin anda. Ada pelbagai gaun pengantin yang dibuat dari belon, kertas terpakai, coklat Ferrero Rocher dan bulu burung! Atau gaun pengantin bercahaya?
- Pengantin bersanding di atas buaian. Tema perkahwinan mungkin tema taman.
- Guna mesin asap untuk buat tema ala-ala pertunjukan pentas.
- Majlis dengan tema bola sepak EPL atau Piala Dunia?
- Ubah menu hidangan — mungkin western food atau makanan mamak
Usah tertekan sangat untuk menjadikan perkahwinan anda satu kenangan yang tidak akan dilupakan. Cuba rancang satu per satu sebelum mula mencari apa yang anda perlukan. Okay?
Kredit gambar: Del Sol Photography
Sumber rujukan: The Huffington Post