Penggunaan media sosial semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira umur. Tidak hairanlah anak yang masih kecil pada zaman kini sudah memiliki akaunnya sendiri bagi tujuan tertentu. Justeru Instagram Malaysia melancarkan Panduan Ibu Bapa bagi meningkatkan pemahaman anda dalam menjaga keselamatan anak-anak di media sosial.
Tidak dinafikan pengaksesan dunia tanpa batasan pada hari ini turut berupaya mendedahkan diri kanak-kanak kepada umum serta memberikan tekanan kepada mereka akibat ketagihan atau masalah sosial.
Instagram Malaysia melancarkan Panduan Ibu Bapa
Bersempena dengan lanjutan kempen #RealTalk Instagram, sebuah inisiatif iaitu Panduan Ibu Bapa telah diperkenalkan pada November tahun lalu. Ia adalah bertujuan untuk memastikan pengalaman positif serta panduan untuk memulakan perbualan di rumah mengenai keselamatan dan kesejahteraan anak-anak.
Bukan itu sahaja, ia dihasilkan dalam dua bahasa iaitu Inggeris dan Bahasa Melayu. Panduan Ibu Bapa menjadi sumber rujukan baharu, iaitu umpama buku kecil dalam talian.
Semenjak dilancarkan tahun lepas, kempen ini telah berjaya menerima maklum balas daripada golongan remaja mengatakan bahawa mereka amat memerlukan sokongan ibu ayah dalam memastikan kesejahteraan mental.
Justeru Instagram Malaysia mengambil langkah dengan melibatkan ibu ayah dalam kempen tahun ini kerana mereka merupakan insan penting mengubah stigma berkaitan masalah kesejahteraan mental dalam kalangan anak kecil dan dewasa.
Panduan Ibu Bapa ini turut dihasilkan dengan kerjasama badan NGO, MIASA Malaysia yang turut mencadangkan beberapa langkah perlindungan kesihatan emosi dan mental. Panduan ini juga bertujuan melengkapkan ibu ayah sebelum memulakan perbualan mengenai emosi dan mental anak-anak di rumah, terutamanya ketika melalui fasa sukar dalam hidup
Pautan muat turun Panduan Ibu Bapa Instagram boleh dimuat turun secara percuma di akaun MIASA dan laman web Panduan Ibu Bapa Instagram tidak lama lagi.
Langkah proaktif yang diambil oleh Instagram Malaysia
Menurut Ketua Dasar Awam Instagram, Philip Chua, ibu bapa memainkan peranan besar dalam mengubah persepsi berhubung kesejahteraan mental dalam kalangan anak remaja.
”Dengan situasi pandemik hari ini, kebanyakan anak-anak dan keluarga amat bergantung kepada penyelesaian digital bagi tujuan belajar, bermain dan bersosial. Kami amat menyokong ibu ayah mengadakan perbualan secara terbuka agar kesejahteraan dalam talian dan mental mereka sentiasa terjaga,” jelasnya.
Manakala berdasarkan tinjaun yang dilakukan oleh World Vision Household Survey menunjukkan bahawa 19 peratus kanak-kanak berdepan tekanan yang teruk, manakala 5 peratus mengalami penyakit mental ketika tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.
Menurut MIASA, sesetengah anak-anak yang mengalami masalah ini tidak dapat menghadiri proses terapi kerana ia memerlukan persetujuan daripada ibu ayah. Akibat kekurangan pengetahuan tentang isu ini, ibu ayah tidak dapat mengesan atau memberikan tindak balas yang sewajarnya.
Keadaan ini turut didorong oleh rasa kurang pasti betapa seriusnya penyakit mental terhadap perkembangan anak sehingga tidak mengambil tindakan yang sepatutnya.
Ibu ayah perlu memainkan peranan dalam menangani masalah mental
”Sebenarnya remaja mengalami masalah kemurungan lebih lama daripada jangkaan ibu ayah. Ada beberapa faktor ia berlaku iaitu persepsi terhadap gangguan mental, kurang pengetahuan dan anak tidak mahu berinteraksi kerana takut menyusahkan ibu ayah mereka.”
”Oleh itu amat penting bagi ibu ayah mengenal pasti tanda-tanda, sikap inklusif sekiranya terdapat permintaan pertolongan serta ada bersama ketika proses pemulihan. Anak-anak perlu dipastikan mereka berasa selamat bagi mendapatkan bantuan,” jelas Presiden Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA), Anita Abu Bakar.
Kempen ini turut mengadakan perbincangan panel bertemakan ”Ibu Bapa Membantu Remaja Membina Pengalaman Positif Dalam Talian”, mengadakan kerjasama dengan Les Copaque serta melibatkan komuniti di Facebook bagi memperluaskan penyebaran mesej mengenai Panduan Ibu Bapa.
Memandangkan berlaku peningkatan anak-anak yang aktif dalam talian ekoran pandemik hari ini, penglibatan ibu ayah dalam topik keselamatan dalam talian dan kesejateraan mental menjadi lebih penting berbanding dengan sebelumnya.
Kredit foto: freepik
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Inspiring Instagrammers In Malaysia