Ramai yang fikir insurans nyawa hanya penting bila dah berkeluarga atau bila umur dah cecah 40-an. Tapi realitinya, kemalangan atau penyakit serius tak kenal usia. Hari ini kita sihat, esok lusa belum tentu.
Jadi, kalau sekarang kita masih muda dan sihat, inilah masa terbaik untuk ambil perlindungan. Bukan sebab kita nak jangka perkara buruk berlaku tetapi kerana kita mahu bersedia, sebelum segalanya terlambat.
5 Sebab Perlu Ambil Insurans Nyawa Dari Muda
Antara 5 sebab kenapa insurans nyawa patut diambil lebih awal, terutamanya ketika masih muda, ialah:
1. Kos Insurans Lebih Murah
Percaya atau tidak, salah satu kelebihan besar bila ambil insurans nyawa awal ialah harga premium yang jauh lebih rendah. Ini kerana syarikat insurans melihat risiko kesihatan kita sebagai rendah semasa masih muda dan sihat.
Bila umur meningkat atau jika kita sudah mula menghidap penyakit tertentu, premium akan jadi lebih mahal atau lebih sukar untuk diluluskan.
Contohnya, seseorang berumur 25 tahun dengan gaya hidup sihat mungkin hanya perlu bayar RM50–RM100 sebulan. Tapi jika mula ambil pada usia 45 tahun, jumlah itu boleh jadi dua kali ganda, malah ada syarat tambahan.
Makin awal kita mula, makin kurang beban kewangan jangka panjang.
2. Lindungi Orang Tersayang
Walaupun masih muda, ramai antara kita sudah menjadi tulang belakang keluarga baik dari segi kewangan mahupun emosi. Kalau sesuatu terjadi seperti kematian mengejut atau hilang upaya kekal, bayangkan bagaimana keluarga kita perlu menanggung segalanya tanpa kita.
Insurans nyawa berfungsi sebagai ‘jaring keselamatan’ untuk mereka yang kita sayangi.
Pampasan kematian contohnya, boleh digunakan untuk menanggung kos pengebumian, pinjaman tertunggak atau meneruskan kehidupan harian keluarga.
Insurans bukan untuk kita semata-mata, tapi demi mereka yang kita tinggalkan.
3. Perlindungan Jangka Panjang
Kita selalu disarankan untuk ada simpanan kecemasan. Tapi bila sesuatu yang besar berlaku, simpanan itu mungkin tak cukup.
Di sinilah insurans nyawa memainkan peranan penting untuk memberi bantuan kewangan besar tanpa perlu sentuh duit simpanan sendiri.
Sebagai contoh, jika anda mengalami hilang upaya akibat kemalangan, pampasan lump sum daripada insurans boleh digunakan untuk rawatan, terapi atau kelangsungan hidup tanpa perlu berhutang.
4. Kesihatan Boleh Berubah Bila-Bila Masa
Bila muda dan sihat, kita rasa tak perlukan insurans. Tapi hakikatnya, penyakit kritikal seperti kanser, strok atau serangan jantung boleh menyerang tanpa tanda awal malah ramai yang mula menghidapnya sebelum usia 35 tahun.
Yang paling menakutkan, bila dah ada rekod penyakit, permohonan insurans boleh ditolak atau dikenakan premium sangat tinggi. Jadi ambil peluang semasa kita masih sihat untuk dilindungi sepenuhnya.
5. Bina Disiplin Kewangan Dari Awal
Ambil insurans nyawa bukan sekadar perlindungan, tapi juga latihan untuk mengurus kewangan dengan lebih berdisiplin. Kita belajar mengasingkan sebahagian pendapatan untuk masa depan, bukan hanya untuk hari ini.
Malah, jika ambil polisi yang ada elemen simpanan atau pelaburan, kita dapat pulangan jangka panjang yang boleh bantu capai matlamat hidup seperti beli rumah atau simpanan pencen.
Kita tak pernah tahu bila musibah akan datang, tapi kita boleh pilih untuk bersedia. Jangan tunggu sakit baru nak cari perlindungan. Jangan tunggu usia lanjut baru fikir soal insurans.
Kalau sekarang kita masih muda, sihat dan berkemampuan, itulah masa terbaik untuk lindungi masa depan kita dan keluarga.
Ingat, insurans nyawa bukan tentang kematian. Ia tentang tanggungjawab, perlindungan dan kasih sayang yang kita berikan untuk mereka yang paling kita sayang, walaupun bila kita sudah tiada.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Pelaburan vs Simpanan: Mana Lebih Menguntungkan Untuk Masa Depan Kewangan Anda?
Baca juga: 10 Jenis Insurans Di Malaysia Yang Perlu Anda Pertimbangkan Untuk Diri Sendiri & Keluarga
Baca juga: Perlindungan Insurans Untuk Bayi Sejak Hamil? Ini 4 Pelan Insurans Materniti Terbaik Untuk Anda!
Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!