Ada banyak sebab kenapa isteri selalu marah. Kadang-kadang, ia mungkin berpunca daripada sikap anak dan suami itu sendiri.
Isteri akan mengalami emosi yang tak menentu hingga terluah dengan rasa marah terutama bila ada suami yang tak memahami dan kurang membantu.
Ini antara saranan Ustaz Ebit Lew kepada para suami yang selalu menjadi punca isteri selalu marah. Berikut perkongsiannya.
Jom kita hayati dan selami kisah ini…
Kenapa isteri selalu marah anak-anak?
Satu hari, seorang suami telah meminta nasihat tentang isterinya yang asyik marah anak-anak hingga membuatnya rasa kasihan kepada tiga orang anaknya itu. Menurutnya, tiada hari yang anaknya tidak dimarahi.
Kadang-kadang, dia merasakan isterinya itu hanya sayang pada anak yang kecil saja. Manakala, kakak yang sulung selalu kena marah. Bagi isterinya, semua salah si kakak.
“Saya takut anak trauma sebab bila isteri menjerit marah. Kalau saya pertahankan anak, dengan saya sekali kena marah.”
Jawapan dari Ustaz Ebit Lew untuk isu isteri selalu marah anak
1# Isteri selalu marah itu maknanya dia dahagakan kasih sayang
Bila saya dengar ketua keluarga bertanya soalan sebegini, itu tandanya dia seorang yang baik dan bertanggungjawab.
Punca utama isteri selalu marah apabila tidak bawa berbincang dengan suami.
Wanita yang selalu marah anak dan tak boleh kawal emosinya adalah kerana dia dahagakan perhatian dan cinta suaminya. Isteri ini diciptakan Allah dengan perasaan sensitif dan berjiwa lembut. Mereka dahagakan kasih sayang dan ingin bersama-sama dalam menguruskan rumahtangga.
Selalu tawan hati isteri, nescaya seluruh kasihnya akan dicurahkan pada anak dan suami.
Bila kita sudah dapat tambat hati wanita, semuanya akan jadi mudah. Berjuta kali layanan dan kasih sayang akan dicurahkan kepada suami dan anak-anak.
Tapi bila terluka, hatinya akan berubah!
Kita harus sedar, isteri itu bukanlah bibik atau orang gaji kita. Dia adalah wanita yang dinikahi untuk dicintai, disayangi, dibimbing dan pembantu kita hingga Syurga Allah.
Mereka bukan milik kita tapi amanah dari Allah SWT.
Kata ulama, pintu agama dalam keluarga ialah ayah manakala pintu agama anak-anak adalah ibu. Jika kita bimbing isteri dengan Islam, maka dia akan mendidik anak-anak untuk cintakan Islam.
2# Peluk dan sayangi isteri anda. Mereka sebenarnya amat tertekan!
Apabila suami peluk isteri, percayalah dia juga akan peluk dan sayang anak-anak. Sebab itu, sunah untuk beri salam dan peluk cium ahli keluarga.
Ibu kepada anak-anak penat sepanjang hari. Mereka dahagakan ciuman, pelukan dan ucapan sayang terima kasih daripada suaminya.
Sebab itu, cinta ialah pendidikan utama dalam keluarga selepas iman.
Paling penting adalah jangan bergaduh depan anak-anak, nanti dia akan stress dan jadi hipokrit. Jangan sampai anak-anak terpaksa memilih antara kedua ibu bapanya.
3# Jangan marah isteri depan anak-anak
Bila isteri marah, anda jangan marahnya kembali depan anak-anak tapi bantu apa yang patut.
Mungkin masa itu dia tengah susukan anak tapi dalam masa yang sama anak yang lain bergaduh dan jatuhkan makanan.
Sebagai suami, anda tolong kutip makanan yang jatuh itu dan bersihkan.Biasanya isteri marah ketika sedang masak lauk di dapur seorang diri. Suami pula leka tengok tv atau bermain telefon bimbit. Manakala anak-anak pula sepahkan rumah saja.
Para suami, renung-renunglah tindakan harian anda…
Sebab itu isteri yang dahulunya lemah lembut akan berubah karakternya terutama bila suami buat hal ada perempuan lain. Mungkin isteri akan maafkan, tapi dia akan jadi seorang pemarah dan kuat mengamuk. Dia akan mula fikir bukan-bukan, sebab hati sudah terluka.
Ubatnya adalah amalkan ta’lim dalam rumah seperti bawa isteri belajar mengaji, pergi umrah, ziarah kaabah dan keluar dating berdua.
Paling tidak pun, selalu solat berjmaah bersama-sama. Semua ini adalah kunci kebahagiaan dan kesabaran.
Kemudian panjat doa ini kehadra Ilahi, Ya Allah Sayangilah isteri kami yang tercinta. Maafkan segala salah silap mereka kerana ia berpunca dari kami yang belum menjadi suami yang baik.
Cara pujuk isteri yang selalu marah dan mengamuk
- Suami perlu mendiamkan diri dan doa minta Tuhan tolong kuatkan hati dan jiwanya.
- Ajak isteri membeli belah atau keluar makan di tempat yang ada makanan kegemarannya.
- Bertanyakan pada isteri masalah yang dihadapi hingga membuatnya marah setiap hari.
- Bila isteri sudah memulakan cerita, tugas suami mendengar dan bantu apa yang perlu.
Bila isteri memulakan bicara dan meluahkan apa yang terbuku di hati kepada suaminya, itu tanda anda adalah insan yang dia percaya.
Oleh itu, sabar dan bertahanlah tatkala isteri sedang marah. Rajuk, leteran dan marahnya itu tidak lama. Akhirnya nanti dia akan sejuk seperti sedia kala.
Akhir kata, selamat berjuang para suami semua!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Mingguan Wanita, Ustaz Ebit Lew
Baca juga: Aktiviti Bersama Anak Di Rumah Semasa PKP, Waktu Inilah Ibu Ayah Kena Main Peranan!