“Jangan sentuh bayi saya!”
Comelnya bayi! Siapa sahaja tak geram bila nampak bayi! Rasa macam nak gigit-gigit je kan? Memang seronok sebenarnya bila berjumpa bayi. Dengan telatahnya yang manja, lagat dan ketawanya. Ah, riang betul hati bila nampak bayi. Tapi dekat hujung, anda tengok mak kepada bayi tersebut dah mula rasa serba tak kena. Kenapa agaknya mak budak tersebut rasa begitu?
Lagi-lagi apabila waktu hari raya ke atau waktu sanak saudara berkumpul. Habis bayi jadi mangsa. Manakan tidak, memang bayilah yang paling digemari ramai sewaktu hari raya. Tak perlu tunggu hari raya pun. Kalau anda berjumpa dengan rakan yang mempunyai anak kecil, laju sahaja rasa nak menggomol dan mencium bayi. Comel kan?
Tetapi, tahukah anda wujud bahaya apabila anda buat begitu?
Kalau anda hendak tahu anda sebenarnya tak boleh sewenang-wenangnya sentuh bayi tau. Pernah tak anda mendengar kes bahawa bayi diserang jangkitan kuman selepas disentuh oleh tetamu dan sebagainya? Sebab itulah anda tidak boleh terus memegang, mencium dan memeluk bayi.
Jangan sentuh bayi tanpa tanya – Ini sebab utama anda tidak boleh sentuh atau cium bayi
Bayi mudah terdedah kepada penyakit
Bayi yang masih kecil mudah mendapat jangkitan kuman daripada orang dewasa terutamanya apabila orang dewasa tersebut mempunyai sakit atau membawa kuman yang merbahaya. Tidak, kami bukan mahu menakutkan anda tetapi kita tidak tahu sebenarnya apakah impak sekiranya anak anda bersentuhan dengan orang luar.
Bayi juga mempunyai sistem imunisasi badan yang masih belum matang yang tidak dapat memberikan bayi lebih perlindungan daripada sebarang penyakit. Oleh sebab itulah mereka lebih terdedah kepada jangkitan.
Malah, jika bayi anda baru sahaja lahir dan belum habis menerima suntikan vaksin. Anda lagilah perlu berjaga-jaga kerana anak anda sangat mudah terdedah dengan pelbagai jangkitan.
Apa anda perlu buat apabila berjumpa atau berada dekat dengan bayi?
Ada kalanya ada situasi yang menyebabkan kita perlu berada dekat dengan bayi. Jika anda melalui situasi yang berikut, ada beberapa cara untuk anda melindungi bayi daripada sebarang jangkitan.
#1 Jangan sentuh bayi tanpa basuh tangan
Kita semua sudah terbiasa dengan penjarakan sosial dan mencuci tangan. Perkara yang sama juga anda perlu amalkan apabila bertemu dengan bayi terutama sekali bab basuh tangan.
Pastikan anda memakai sanitiser ataupun mencuci tangan terlebih dahulu dengan menggunakan sabun apabila anda duduk dekat dengan bayi atau ketika bersentuhan.
#2 Jangan kejut bayi yang sedang tidur
Biasalah orang kalau nampak bayi kan. Asyik rasa nak kejut je. Tapi tolonglah jangan mengejutkan bayi yang sedang tidur. Bayi memerlukan rehat dan tidur yang cukup pada setiap hari.
Apabila anda menganggu waktu tidurnya sekali gus anda telah mengganggu rehat bayi. Bayi sangat memerlukan rehat untuk pembesarannya. Jadi jangan sesekali kacau bayi yang sedang tidur ya! Pandang sahaja dari jauh.
#3 Jauhkan diri dengan bayi kalau anda tidak sihat
Kalau anda dah tahu anda tidak sihat, tolonglah jangan dekat dengan bayi terutamanya kalau anda demam dan selsema kerana takut bayi boleh dijangkiti penyakit anda yang akan membuatkannya teruk.
Kasihanilah bayi yang tidak berdosa takut-takut pula dijangkiti dengan penyakit anda. Duduk jauh-jauh dan kalau boleh tolong hindari diri daripada berada di tempat yang mempunyai bayi.
#4 Jangan gomol dan cium bayi di mulut
Nampak seperti tiada apa tetapi tahukah anda akan ada risiko besar apabila ada orang luar mencium bayi pada mulut? Ini kerana kita tidak tahu bahawa adakah mereka mempunyai penyakit yang membawa kepada risiko herpes simplex virus (HSV) atau jangkitan herpes. Mulut mempunyai risiko jangkitan kepada orang lain. Jadi walaupun bayi tersebut comel tolonglah tahan diri anda!
#5 Jangan timang dan lambungkan bayi
Bayi seronok bila kena timang dan kena lambung. Anda pula seronok bila dengar bayi ketawa. Yang jadi tak seronok tu apabila sebenarnya perbuatan anda memudaratkan kesihatan bayi itu sendiri yang boleh mengakibatkan bayi tersebut mengalami shaken baby syndrome disebabkan goncangan yang terlalu kuat.
Pesanan buat ibu bapa
Kadang-kala, anda susah nak elak daripada orang datang berjumpa dengan anak anda ataupun sebagainya. Tetapi ada cara untuk ibu bapa membantu anak anda.
#1 Sediakan sanitiser untuk orang yang datang
Lebih baik beringat daripada kena. Ingatkan tetamu agar membasuh tangan dan memakai sanitiser jika mereka ingin menyentuh bayi anda atau berada dekat dengan bayi.
#2 Jauhi tempat sesak
Sebaiknya anda janganlah membawa bayi anda di tempat yang sesak terutamanya ketika bayi berusia awal 6 bulan.
#3 Ibu bapa perlu jaga kebersihan
Ini termasuklah mencuci tangan dan mandi dan menukar pakaian sekiranya bapa merokok dan sebagainya.
Sumber: Lifestyle.kompas
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Bayi Kurang Sihat & Mudah Sakit- Ini Sebab Orang Luar Tak Boleh Sesuka Hati Menciumnya!