Tompok putih pada lidah bayi
Anda selalu nampak tompok-tompok putih pada lidah bayi? Hati-hati, ia mungkin kerana jangkitan kandida.
Jangkitan kandida nampak seperti lapisan atau tompok putih pada lidah bayi, tapi bagaimana anda boleh memastikan ia betul-betul jangkitan dan bukan hanya sisa-sisa susu?
Jangan panik, jangkitan ini adalah jangkitan yang biasa dialami oleh bayi.
Namun, ibu bapa perlu tahu serba sedikit tentang jangkitan ini seperti punca, tanda-tanda dan cara merawatnya, agar kesihatan si comel anda tidak terjejas.
Jangkitan kandida itu apa dan apa penyebabnya?
Jangkitan kandida adalah jangkitan yang biasa dialami bayi baru lahir dan bayi kecil kerana sejenis kulat yang bernama Candida Albicans.
Menurut pakar perubatan di National Health Service, UK (NHS), kulat ini hadir secara semulajadi dalam mulut individu yang sihat dan biasanya tidak akan menimbulkan sebarang masalah.
Tapi apabila ia berkembang dengan terlalu banyak, ia boleh menjangkiti membran dalam mulut.
Jangkitan ini disebabkan sistem imun bayi yang belum cukup kuat. Ia juga boleh berlaku semasa bayi sedang mengambil ubat antibiotik.
Apabila kita mengambil ubat antibiotik, bakteria “baik” dalam mulut akan berkurang jadi ia memudahkan kulat ini berkembang dengan banyak.
Dr. Pratibha Agarwal, seorang pakar pediatrik untuk Kinder Clinic, menjelaskan bayi juga senang berjangkit apabila ibunya mempunyai jangkitan kulat faraj atau ibunya telah lama mengambil ubat antibiotik.
Jangkitan ini juga boleh merebak kepada bayi semasa penyusuan jika puting ibu itu turut terjangkit.
Tanda-tanda jangkitan kandida mulut
Jangkitan ini kelihatan seperti krim putih yang bertompok-tompak pada lidah, bahagian dalam pipi atau pada lelangit mulut bayi anda, kata Dr Agarwal.
Rupa jangkitan kandida tidak sama seperti sisa susu kerana apabila ia digosok, ia tidak akan tertanggal dan mungkin akan berdarah!
Jangkitan kandida mungking tidak akan mengganggu sesetengah bayi dan mereka akan berkelakuan normal.
Tapi, ada juga bayi yang kehilangan selera makan, tidak ingin menyusu dan cepat merengek kerana tidak selesa.
Bayi mungkin juga akan ada ruam lampin sambil menunjukkan tanda-tanda jangkitan kandida di dalam mulutnya.
Ruam ini boleh disebabkan oleh kulat yang sama dan perlu dirawat juga.
Rawatan untuk jangkitan kandida
Ibu, tidak perlu terlalu bimbang kerana jangkitan ini tidak berbahaya.
Jangkitan kandida mulut jarang memudaratkan pesakit yang ada sistem imun badan yang sangat lemah sehingga mengakibatkan penyakit sistemik yang melibatkan organ dan tisu.
Ubat untuk jangkitan ini mungkin dalam bentuk gel antikulat mulut yang boleh disapu pada bahagian dalam mulut.
Ubat lain termasuk sirap anti kulat yang juga boleh diberi melalui mulut.
Langkah-langkah pencegahan
Berikut adalah beberapa tips untuk membantu menghalang kejadian jangkitan kandida mulut pada bayi anda:
- Sekiranya ibu mengandung terkena jangkitan yis faraj, ibu harus dirawat supaya ia tidak merebak ke bayi semasa melahirkan anak.
- Jika ibu menyusu ada jangkitan kulat di kawasan puting payudara, jangan lengah untuk terima rawatan serentak dengan bayi bagi mengelak jangkitan dari berulang-alik antara ibu dan bayi.
- Jika kanak-kanak perlu ambil ubat antibiotik untuk jangka masa panjang, berikan probiotik yang boleh membantu memulihkan keseimbangan flora bakteria “baik” dalam mulut dan usus anak.
- Basuh tangan anda dengan baik selepas menukar lampin bayi kerana jangkitan kulat boleh merebak melalui sistem pencernaan bayi.
Jangkitan kandida mulut tidak berbahaya dan ibu-ibu tidak perlu terlalu bimbang.
Jika bayi menunjukkan tanda-tanda jangkitan, atau terdapat jangkitan kulat pada puting payudara, jumpa doktor dengan segera untuk mendapat rawatan.
Sumber: National Health Service, UK (NHS)
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga: