Bayi dengan jantung diluar dada
Vanellope Hope benar-benar keajaiban yang menyinari bulan Disember kali ini. Bayangkanlah, bayi istimewa ini telah lahir dengan keadaan jantung diluar dari dada!
Doktor memberitahu kedua ibu bapa Vanellope, Naomi dan Dean Wilkins yang Vanellope mungkin tak berpeluang untuk selamat kerana keadaannya.
Namun kedua-dua ibu bapa Vanellope tidak berputus asa. Doktor meminta Naomi menggugurkan kandungan, tapi Naomi nekad melahirkan bayi pramatang mereka 22 November tempoh hari melalui kaedah c-section.
Vanellope dilahirkan dengan masalah ectopia cordis, satu keadaan yang jarang berlaku di mana bayi lahir dengan jantung diluar dada. Kes seumpama ini pernah berlaku di Amerika Syarikat, namun Vanellope adalah bayi pertama yang berjaya diselamatkan di United Kingdom.
Bayi dengan jantung diluar dada selamat menjalani pembedahan
Selepas dilahirkan, bayi ajaib ini terus melalui 3 pembedahan major untuk menyelamatkan nyawanya.
Semuanya bermula ketika imbasan ultrasound yang dilakukan Naomi pada minggu ke-9 kehamilan. Ketika itu, doktor mendapati jantung dan sebahagian perut bayi dalam kandungannya telah membesar di luar badan.
Imbasan kedua dijalankan ketika kandungan mencecah minggu ke-16. Waktu ini, Dr. Frances Bu’Lock, pakar kardiologi kanak-kanak dari Glenfield mendapati bahagian bawah perut Vanellope telah kembali ke tempat asal.
Namun, jantungnya masih berada di luar dada. Semua doktor menjangkakan bayi ini tidak dapat diselamat kerana pelbagai komplikasi yang muncul.
Dalam kebanyakan kes, jika ada sebarang masalah pembentukkan dikesan awal ketika dalam kandungan, janin itu mungkin akan mati dalam kandungan atau harus digugurkan.
Ini kerana proses kelahiran mungkin tak berjaya kerana faktor jangkitan bakteria atau mana-mana gangguan. Namun, Naomi dan suaminya nekad ingin menyelamatkan anak mereka.
Selepas menjalani pembedahan c-section kecemasan, Vanellope diletakkan dalam beg plastik yang telah disteril untuk mengelak risiko jangkitan.
Selepas 50 minit, beliau dimasukkan ke dewan bedah semula untuk menjalani 3 pembedahan major bagi memasukkan jantungnya ke dalam badan dan menyambung semua urat saraf yang diperlukan.
Kes kelahiran bayi dengan jantung diluar tubuh
Ectopia cordis, atau dikenali sebagai satu keadaan “jantung diluar dari bahagian badan” adalah satu gangguan jantung yang terjadi ketika awal perkembangan janin.
Keadaan ini menyebabkan jantung pesakit terbentuk sama ada di bahagian luar dada, leher, perut atau serviks. Keadaan ini juga boleh mendatangkan kecacatan. Oleh itu, ramai pesakit dengan ectopia cordis tidak berjaya diselamatkan.
Namun Vanellope benar-benar dilindungi Tuhan. Semoga beliau kembali sihat seperti sediakala dan diberi peluang meneruskan hidup ini.
Sumber rujukan: CNN Health, NY Post
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comibu-terkecil-di-dunia-hamil/