Pantau Pergerakan Anak Ketika Bercuti, Sedikit Kecuaian Boleh Buat Mereka Jatuh Dari Tempat Tinggi!

Jatuh dari tempat tinggi merupakan kemalangan yang tidak dijangka. Kebanyakan kes berlaku berakhir dengan kematian akibat kecederaan kepala

Kediaman di bandar kebanyakannya jenis bangunan tinggi. Ini termasuklah penginapan seperti hotel atau homestay yang menyediakan pemandangan begitu mengagumkan. Walau bagaimanapun bagi anda yang ada anak kecil, sedikit kecuaian boleh menyebabkan mereka jatuh dari tempat tinggi.

Beberapa tahun yang lalu, seluruh negara dikejutkan dengan berita duka apabila anak Watie Elite jatuh bangunan tingkat 11 di sebuah kondominium mewah di Taman Sri Intan, Jalan Ipoh.

Difahamkan kanak-kanak lelaki tersebut, Adam Raslan telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak jatuh dari tempat tinggi ketika bercuti

Jika dahulu, berita mengerikan seperti jatuh dari tempat tinggi ini sering berlaku di luar negara. Namun kini kita acap sekali dikejutkan dengan insiden yang berlaku di Malaysia.

Lebih menyedihkan lagi apabila ia terjadi di depan mata ibu ayah sendiri. Begitula yang berlaku pada sebuah keluarga yang berasal dari Johor.

Percutian mereka bertukar menjadi satu tragedi apabila anak kecil jatuh dari tempat tinggi dan meragut nyawanya. Tambah kecewa, ia berlaku akibat kecuaian pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

Siapa yang menyangka situasi tersebut boleh berlaku padahal si ibu sedang berjalan di belakang anak-anaknya sahaja. Namun ia berlaku terlalu pantas!

Jatuh dari tempat tinggi ketika ibu sedang rakam video kenangan

keselamatan anak

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.40 petang 1 Disember 2019 di sebuah bangunan di Penampang, Sabah, keluarga yang berasal dari Batu Pahat, Johor itu sedang menikmati makan tengah hari di tingkat 5 sebuah bangunan tinggi.

Kemudiannya dua orang anak kecil yang berusia 3 tahun dan 1 tahun 7 bulan ingin berjalan-jalan di sekitar bangunan tersebut.

Si ibu menemani mereka sambil merakamkan video anak-anaknya yang berlari berpegangan tangan untuk kenangan, tanpa mengetahui bahaya yang menunggu jambatan penghubung dengan bangunan tinggi bersebelahan. 

Namun, si adik tiba-tiba melepaskan tangan kakaknya lalu berlari ke bahagian hujung sebelum terperosok dalam celah lubang di hujung jambatan dan terjatuh ke bawah!

Tiada siapa dapat menjangka keadaan ini tambahan lagi apabila berada di kawasan yang tidak dikenali.

Anak meninggal di tempat kejadian, ibu dituduh cuai

Kejadian tersebut berlaku di depan mata si ibu dengan terlalu pantas, menyebabkan si ibu tidak sempat menyelamatkan anaknya.

Dia terus bergegas mendapatkan si kecil namun semuanya sudah terlambat apabila doktor mengesahkan anaknya meninggal dunia akibat jatuh dari tempat tinggi.

keselamatan kanak-kanak

Menurut laporan Daily Express Sabah, ibu mangsa dituduh tidak menjaga anaknya pada waktu kejadian. Malah menggunakan perkataan ‘membiar’ di mana mereka memetik perkataan itu dari kenyataan polis.
 
Ibu mana yang tidak sedih apabila dituduh sedemikian padahal sentiasa berada bersama anak-anak pada ketika itu. Mujurlah ada bukti video yang menunjukkan ibu ada bersama anak-anaknya semasa kejadian tersebut berlaku, namun malang tidak berbau.
 
Bukankah sepatutnya pengurusan bangunan tersebut meletakkan papan tanda yang menyatakan tempat tersebut bahaya untuk dilalui?
 

jatuh dari tempat tinggi

 
Akibat tuduhan ini juga, laporan polis juga telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa.

Langkah yang perlu ibu ayah lakukan apabila anak terjatuh

Walaupun kejadian di Penampang telah menyebabkan kanak-kanak tersebut meninggal dunia, namun ibu bapa boleh mengambil pengajaran dari kisah ini.
 
Tidak dinafikan ia merupakan kecuaian pihak pengurusan kerana mengabaikan keselamatan orang ramai, namun anda perlu tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya anak jatuh dari tempat tinggi.
 
Anak jatuh adalah perkara yang biasa berlaku terutamanya dalam keadaan si kecil yang lasak dan sering berlari tanpa mengetahui risiko. Ada yang menyebabkan luka kecil, namun ada juga yang menyebabkan  kecederaan yang lebih serius.
 
Ikut panduan di bawah sekiranya berlaku kejadian anak jatuh:

Apa yang perlu dilakukan?

Hubungi talian kecemasan untuk bantuan dan jangan angkat @ gerakkan anak jika dia:

  • Mengalami kecederaan serius kepala, leher, belakang, tulang pinggul atau paha
  • Tidak sedarkan diri
  • Sukar untuk bernafas
  • Tidak bernafas (lakukan CPR jika anda tahu bagaimana untuk melakukannya)
  • Kekejangan

Sekiranya anak tidak muntah dan tidak mempunyai gejala di atas:

  • Tenangkan anak dan cari sebarang kecederaan.
  • Letakkan kompress sejuk atau pek ais pada mana-mana benjolan atau lebam.
  • Berikan acetaminophen atau ibuprofen untuk sakit jika anak sedar diri.
  • Biarkan anak anda berehat untuk beberapa jam.
  • Perhatikan anak dengan lebih dekat selama 24 jam untuk sebarang gejala atau tingkah laku yang luar biasa.

Dapatkan Bantuan Perubatan Jika Anak Anda:

  • Menjadi sangat mengantuk atau sukar untuk bangun
  • Mudah terganggu atau kecewa dan tidak boleh dihibur
  • Muntah lebih dari sekali
  • Mengadu kepala, leher, atau sakit belakang
  • Mengadu kesakitan yang semakin meningkat di sebarang bahagian tubuh.
  • Tidak berjalan dengan normal
  • Tidak menumpukan perhatian pada matanya secara normal
  • Menunjukkan sebarang tingkah laku atau gejala yang membimbangkan anda

Kesan kepala terhantuk kuat

Anak-anak yang sedang membesar akan melalui fasa terjatuh ketika berjalan, bermain atau berlari. Jika kerap kali berlaku, ibu ayah semestinya risaukan kesan kepala terhantuk kuat di lantai mahupun dinding.

Menurut Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Tawakkal Dr Faisal Mohd Fadzli, kesan kepada kulit saja tanpa kecederaan kepada otak biasanya tidak serius.

Walau bagaimanapun, kesan kepala terhantuk kuat boleh menyebabkan kecederaan pada tengkorak dan otak. Ia adalah keadaan lebih serius berbanding kecederaan kulit saja dan berlaku tanpa apa-apa kesan pada kulit.

Ini bermakna, jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa tiada luka atau benjol atau sebarang tanda kecederaan, ia tidak bermaksud tiada pendarahan atau kesan pada otak.

Keretakan tengkorak menjadi salah satu kesan kepala terhantuk kuat yang begitu bahaya kerana ia boleh:

  • Menjejaskan saraf dan otak
  • Otak terdedah kepada risiko jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui keretakan itu
  • Kecederaan otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman otak. Bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman otak boleh berlaku di mana-mana di dalam otak

Tanda pendarahan dalam otak yang perlu anda waspada

Bagi anda yang baru berdepan anak terjatuh tempat tinggi mungkin tidak begitu tahu apakah yang akan berlaku sekiranya seseorang mengalami kecederaan otak.

• Pengsan selepas trauma

• Otot menjadi lemah atau sebahagian/semua badan tidak boleh bergerak

• Amnesia/hilang ingatan

• Keliru

Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya

• Pendarahan dalam otak mengakibatkan sawan

• Muntah lebih dari sekali

• Tidak dapat bercakap dengan betul atau muka menjadi senget sebelah

• Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga

• Pupil atau mata hitam tidak sama saiz

• Pendarahan dalam otak menyebabkan penglihatan kabur 

Punca pendarahan otak

Punca pendarahan otak terjadi apabila terdapat kecederaan di kepala ataupun tekanan darah yang terlalu tinggi hingga memecahkan saluran darah di bahagian otak. Saluran darah yang pecah ini disebut sebagai strok berdarah.

Penekanan struktur otak oleh darah berlebihan ini akan mengakibatkan oksigen tidak dapat mengalir ke otak dan menyebabkan otak membengkak (cerebral edema).

Selain itu, darah yang terkumpul di bahagian otak juga boleh menjadi beku (hematoma). Jika punca pendarahan otak ini tidak dirawat dengan cepat, ia boleh menyebabkan kematian.

Bahaya bayi jatuh katil

Bayi yang sudah pandai bergerak menggunakan kaki atau tangan seperti merangkak, bergolek atau bertatih perlu diberikan perhatian yang lebih daripada orang dewasa.

Hal ini kerana sofa atau katil antara perkara paling kerap menjadi punca anak terjatuh dan menyebabkan si manja mengalami kecederaan terutama di kepala.

Bagi kanak-kanak yang masih kecil dan belum mampu berjalan stabil, kemalangan lebih kerap berlaku di dalam rumah.

Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, bagi bayi jatuh katil atau tempat tinggi, pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan terhadap kecederaan yang mungkin dialami mereka.

Ia perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam. Sebarang kelakuan yang tidak normal seperti anak jatuh katil dan kepalanya terhentak, perlu segera dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Menurut Dr Zubaidi, antara kecederaan serius yang mungkin terjadi kepada kanak-kanak atau baby jatuh katil mahupun tempat tinggi adalah gegaran otak.

“Gegaran otak adalah kecederaan pada fungsi otak, bukan pada struktur anatomi otak. Oleh itu, bayi yang mengalami gegaran otak, tidak dapat dikesan melalui ujian sinar-X atau imbasan CT.”

“Bayi jatuh katil atau tempat tinggi mungkin mengalami rasa pening, tidak memberikan tumpuan pada permainan mereka, mudah lupa, tidak dapat berjalan dengan betul dan seperti hendak jatuh apabila berjalan atau bangun,” katanya.

Anak terjatuh dan ada benjolan di kepala

Jelas Dr Faisal, seseorang yang terjatuh boleh mengalami benjolan di kepala. Hal ini kerana adanya pendarahan di bawah kulit.

Namun ibu ayah jangan risau kerana biasanya ia boleh hilang dengan sendiri dan mengambil masa satu hingga dua minggu untuk hilang sepenuhnya.

”Anak mungkin akan rasa sakit di tempat benjolan itu dan mungkin lebih sakit jika benjol ditekan.”

”Tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan di kepala itu reda atau berkurang manakala tuaman panas dapat mengurangkan sakit tetapi perlu disusuli tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak.”

“Darah beku itu akan perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dan benjol atau bengkak pula surut dan hilang,” katanya.

Semoga bermanfaat.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Bayi Dalam Fasa Aktif Kena Lebih Jaga-Jaga, 7 Kecederaan Ini Boleh Berlaku Jika Terjatuh Kerusi Makan

Baca juga: Anak Jatuh Tersembam Hingga Lidah Terbelah & Kena Jahit, Ibu Trauma Tragedi Dekat Gelongsor

Baca juga: Ibu Keluar Ambil Juadah Berbuka, Balik Rumah Meraung Anak MAUT Terjatuh Tingkat 12!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!