Memang sudah menjadi sifat semulajadi agaknya, menyelamatkan nyawa menjadi kewajipan walau dalam apa juga keadaan. Kisah jururawat mendakap tiga bayi baru lahir ketika kejadian letupan gudang di sebuah pelabuhan di Beirut berlaku menarik perhatian ramai.
Menurut laporan CNN, kejadian itu diceritakan seorang wartawan foto, Bilal Jawich yang ada menyaksikan kejadian ketika berusaha menyelamatkan diri selepas insiden letupan yang meragut banyak nyawa itu.
Katanya beliau mengikut arah asap sehingga menemui puncanya dan akhirnya ia membawanya ke hospital Al-Roum dalam daerah Ashrafieh. Banyak kawasan musnah akibat letupan itu.
Jururawat ditemui dakap tiga bayi dalam letupan di Beirut
Keadaan di hospital berkenaan kucar kacir. Bagaimanapun katanya apa yang menarik perhatiannya ketika itu adalah seorang jururawat mendakap tiga bayi yang baru dilahirkan.
Katanya jururawat berkenaan kelihatan sangat tenang dan sangat fokus kepada tugasnya menyelamatkan bayi-bayi itu.
“Saya lihat jururawat itu sangat tenang, sangat ‘kontra’ dengan apa yang berlaku dalam jarak satu meter dari kami yang sudah musnah dengan mereka yang meninggal dunia dan cedera parah,” katanya.
Katanya, jururawat berkenaan dilihat seperti mempunyai kekuatan dalaman yang sangat tinggi sehingga dia boleh bertenang dalam keadaan huru-hara yang sangat dasyat itu.
“Orang lain pada ketika itu mungkin sedang fokus menyelamatkan diri kerana berhadapan dengan ledakan letupan gergasi yang sangat menakutkan, tetapi jururawat itu masih fokus dengan tugasnya.
“Orang lain pada waktu itu sedang berhadapan dengan detik ganas ledakan letupan yang gelap dan jahat, manakala dia pula masih berada pada tugasnya.”
Jururawat mengaku ‘tak sedar’ selamatkan bayi
Mungkin kerana terlalu tekad, jururawat itu mengakui dia seperti tidak sedang bagaimana boleh mendakap ketiga-tiga bayi itu.
Katanya dia membang berada di wad bersalin ketika letupan berkenaan berlaku dan menjadi seperti ‘tidak sedar diri’ kerana terlalu tekad mahu menyelamatkan nyawa bayi itu.
Ibu dan bayi berkenaan kini sudah dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan lanjut.
Letupan gergasi ragut puluhan nyawa
Dua letupan kuat dilaporkan berlaku di Pelabuhan Beirut, itu mengakibatkan puluhan terbunuh manakala lebih 2,000 lagi cedera.
Kesan letupan itu juga menyebabkan beberapa bangunan di sekitar kawasan pelabuhan, termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri musnah serta mengalami kerosakan teruk.
Letupan itu bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan di lokasi kejadian tetapi impaknya turut menyebabkan kerosakan bangunan lain yang terletak beberapa kilometer dari kawasan letupan itu.
Kepulan asap hitam tebal dapat dilihat sejauh kira-kira 10 kilometer.
Cara lindungi diri ketika berlaku gegaran
Apabila berlakunya letupan pasti akan wujud gegaran di kawasan yang berhampiran. Mungkin tips hadapi gempa bumi boleh diaplikasikan ketika anda menghadapi gegaran susulan letupan.
Menurut MetMalaysia seperti dilaporkan Berita Harian yang memetik Bernama, sekiranya ketika kejadian gempa anda berada di dalam bangunan, antara langkah perlu diambil adalah:
#1. Jika di dalam bangunan
- Kekal tinggal kekal di dalam bangunan, ambil perlindungan di bawah meja, meja tulis atau bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.
- Bergerak ke arah laluan sebelah dalam (ambang pintu atau bingkai berstruktur atau sebelah dalam bangunan iaitu pusat paling kuat dan kurang kemungkinan untuk runtuh).
- Pilih lokasi boleh memberikan udara untuk bernafas dan jauhkan diri daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat.
- Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api disebabkan ada kemungkinan kebocoran gas.
- Sekiranya berada di dalam stor yang sesak, jika perlu meninggalkan bangunan, pilih jalan keluar dengan berhati-hati.
- Bertenang
- Jauhkan diri daripada rak-rak peragaan mengandungi objek-objek yang mungkin jatuh.
- Jangan tergesa-gesa keluar memandangkan tangga mungkin rosak dan sesak dengan penghuni lain, jangan gunakan lif.
#2. Jika di luar bangunan
- Pindah ke kawasan terbuka dengan berhati-hati jauh daripada talian kuasa, tiang elektrik, pokok, bangunan tinggi, dinding dan tiang lampu, jauhi talian elektrik yang jatuh serta tinggal kekal di kawasan terbuka hingga gegaran berhenti.
- Sekiranya berada di laluan pejalan kaki dekat bangunan antara langkah perlu diambil ialah berjalan masuk ke arah muka pintu untuk melindungi diri anda daripada batu bata, kaca, kepingan simen dan sampah sarap lain yang jatuh.
- Jika berada di dalam kereta yang bergerak, berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti selamat di kawasan sesuai.
- Jangan berhenti di bawah jambatan, lintasan atas, rentangan kabel atau berdekatan bangunan yang boleh runtuh.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: edition.cnn, Berita Harian
Baca juga:
https://my.theasianparent.combateri-mainan-meletup