Kehilangan orang tersayang bukanlah suatu yang mudah untuk diterima lebih-lebih lagi insan paling rapat. Bagi kanak-kanak ini pula, walaupun kematian insan disayangi pada usia 8 tahun, dia tetap tabah turut membantu kafan jenazah bapa yang terlibat kemalangan.
Penerimaan kanak-kanak dalam menghadapi peristiwa sedih kematian tidak sama dengan orang dewasa. Justeru, sikap kanak-kanak ini harus dijadikan teladan. Seperti yang diceritakan oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM), kanak-kanak itu sendiri yang menawarkan diri untuk membantu.
Tak kekok bantu kafan jenazah bapa
Bercerita kisah tersebut, SPJM memaklumkan pihaknya selesai menguruskan satu jenazah berusia 47 tahun yang terlibat dalam kemalangan kerana serangan jantung.
Arwah dikatakan terlibat dalam satu kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Hospital Ampang dan disahkan meninggal dunia setelah hampir 3 jam diberi rawatan di hospital.
Jenazahnya diuruskan di Forensik Hospital Ampang oleh skuad tersebut serta dibantu waris. Ketika skuad sedang menyiapkan kain untuk mengkafan jenazah bapa mereka, datang dua orang anak arwah menawarkan diri untuk membantu.
“Bang, boleh tak saya nak tolong,” kata anak arwah yang membantu bentangkan baju terakhir (kain kafan) buat ayahnya seperti diceritakan SJMP.
“Masya-Allah beruntungnya arwah mempunyai anak yang begitu menyayanginya dan berani tidak seperti kanak kanak yang seusia dengannya tidak mengerti apa-apa”.
Beruntung arwah anak bantu kafan jenazah
Seperti sudah mengetahui ajalnya makin hampir, arwah sudah berpesan kepada anak sulungnya supaya membatalkan hasrat untuk ke Kuala Lumpur pada minggu lalu.
“Alhamdulillah, skuad tiba di rumah arwah pada jam 4 pagi tadi (5 Mac) dan dibawa untuk disolatkan di masjid berdekatan rumahnya pada waktu subuh dan selamat dikebumikan lebih kurang pukul 9 pagi tadi.
“Berdepan hari kematian ibu bapa bagaikan satu mimpi ngeri buat setiap insan yang bergelar anak. Mahu atau tidak, tiada siapa mampu menghalang ketentuan itu.”
“Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” demikian kisah diceritakan pihak SPJM.
Jenazah almarhum dikebumikan di kampungnya di Pekan Nanas, Johor.
Menghadapi kehilangan dan berkabung
Seperti yang diterbitkan pada laman portal MyHEALTH tulisan Dr Suraya Yusoff, kematian orang yang tersayang boleh menimbulkan pelbagai keadaan dan perasaan bercampur-baur. Reaksi kepada situasi ini dikenali sebagai berkabung.
Berkabung merupakan satu reaksi yang sihat dan semula jadi di dalam menghadapi kematian orang tersayang. Setiap individu melalui saat berkabung dengan cara yang berbeza.
Reaksi dalam proses berkabung dipengaruhi oleh:
- Cara kematian itu terjadi sama ada secara mengejut atau selepas sakit berpanjangan.
- Serapat mana perhubungan antara individu dengan si mati
- Personaliti individu dan kemahiran menangani masalah dan situasi
- Pengalaman hidup individu yang melalui saat kehilangan
- Jalinan sokongan ahli keluarga dan orang sekeliling
Tiga fasa lazim dilalui semasa proses berkabung
-
Kejutan boleh berterusan dalam beberapa minit atau hari
Dalam fasa ini, individu biasanya berada di dalam keadaan seperti tidak percaya bahawa dia telah kehilangan orang yang disayanginya.
Malah kehilangan waktu ini boleh mengganggu keupayaan individu tersebut untuk bekerja atau membuat sebarang keputusan.
-
Merana boleh berterusan untuk beberapa minggu atau bulan
Dalam fasa ini pula individu boleh merasai gejala emosi seperti keliru, gelisah, marah pada diri sendiri atau orang di sekelilingnya, takut atau murung, gejala fizikal seperti susah untuk tidur, sering terjaga dari tidur pada awal pagi, kurang selera makan dan masalah tingkah laku seperti perasaan yang tidak stabil serta kurang tumpuan.
-
Penyembuhan
Individu akhirnya dapat menerima hakikat kehilangan orang tersayang dan mampu meneruskan kembali kehidupannya.
Tiada tempoh yang ditetapkan bagi masa berkabung yang normal. Bagi kanak-kanak, reaksi berkabung boleh dilihat sebagai masalah kelakuan seperti sering menyendiri, memberontak, gagal menurut perintah, enggan ke sekolah atau prestasi pelajaran yang mula merosot.
Semoga bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: 9 Persediaan PENTING Isteri Wajib Buat Sebelum Pasangan Meninggal Dunia, No #1 Paling Mustahak!
Baca juga: Ibu Telah Meninggal Dunia, Kanak-Kanak Ini Sudah Pandai Memasak & Jaga Adik-Adiknya