Ramai orang terkejut apabila seorang anggota parlimen BN telah mencadangkan perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur, dengan perogolnya, dalam persidangan Dewan Rakyat.
Shabudin Yahya (BN-Tasek Gelugor) telah berkata,”Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.
“Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh jadi suaminya pada ketika itu. Ini adalah satu remedi kepada masalah sosial yang berlaku,” katanya.
Setelah saya membaca apa yang telah dikatakan, marah betul hati saya. Dalam era ini, mengapa masih ada orang yang berpendapat demikian? Bagaimanakah pernikahan antara perogol dan mangsa boleh menjadi remedi dan macam mana ini boleh menjadi satu penyelesaian yang positif?
Rogol
Mengikut Kamus Dewan, takrif untuk rogol adalah:
“perbuatan memperkosa atau mencabul kehormatan perempuan: berlakulah perkara-perkara sumbang spt ~ dan zina; merogol memperkosa atau mencabul kehormatan perempuan: kesalahan spt menipu, ~, dsb adalah menjadi kesalahan jenayah; perogolan perbuatan merogol “
Adakah kanak-kanak itu akan rasa gembira kerana dapat berkahwin!? Perlukah ibu bapanya rasa bersyukur kerana mereka tidak perlu tangung malu dan anak mereka tidak akan mempunyai kehidupan masa depan yang gelap? Bagaimana pula haknya untuk hidup bergembira, berseronok, dan membesar untuk mencapai impiannya?
Kesan Mental dan Fizikal
Sebagai seorang wanita dan seorang ibu, saya berpendapat cadangan ini sangat keji and tidak masuk akal. Kesucian dan hak kanak-kanak itu telah dirampas darinya, dan perogol tersebut senang saja lari dari kesalahan.
Jika mereka dikahwinkan, kehidupan kanak-kanak itu akan tertakluk kepada kehendak suaminya, dan kita tiada jaminan perogol itu akan menjadi suami yang baik kepadanya.
Bayangkan mangsa rogol itu anak sendiri. Sampai hati ke minta dia jadi isteri kepada orang yang telah mencabul kehormatannya? Bagaimana pula dengan kesan trauma yang dialami kanak-kanak itu?
Kesan mental dan fizikal selepas serangan seksual dan rogol boleh meresap ke dalam kehidupan seharian mangsa. Mereka boleh mengalami:
- gangguan tekanan selepas trauma
- kemurungan
- penceraian diri dari kehidupan harian
Peranan Ibu bapa
Sebagai ibu bapa ia adalah penting untuk memberi sokongan yang diperlukan kepada anak kerana, mereka pasti rasa keliru selepas mengalami trauma sebegitu.
Ia juga sangat penting bagi kanak-kanak itu untuk menjalani sesi kaunseling, supaya mereka boleh mula sembuh dari segi mental. Ibu bapa juga perlu mendapatkan kaunseling supaya mereka boleh belajar cara terbaik untuk menyokong anak mereka.
“Walaupun menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan kehidupan yang baik untuk anak-anak, kerajaan dan penggubal undang-undang bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan kanak-kanak Malaysia,” Datuk Abdul Rahman Dahlan telah berkata dalam catatan Facebooknya.
Ini bukan cara penyelesaian untuk mangsa rogol dan ia tidak akan menyelesaian masalah sosial masyarakat. Kita tak boleh kata kahwinkan saja, dan lepas tangan hal itu. Ada cara lain yang lebih baik untuk mengharungi cabaran ini dan memberi peluang kebahagiaan kepada mangsa rogol dibawah umur.
Sumber: Malaysiakini