“Bercakap” dengan bayi dan anak kecil kadang-kadang memang sukar. Bila sudah tak larat nak cuba memahaminya, kita mudah putus asa. Tapi ibu ayah wajib tahu kebaikan bercakap dengan bayi.
Terdapat banyak kajian yang menyebut tentang kebaikan bercakap dengan bayi pada seawal usia yang mungkin.
Malah, kajian terbaru yang disiarkan dalam Journal of Infancy ada menerangkan tentang hal ini secara khusus.
Kebaikan bercakap dengan bayi: bagus untuk kemahiran bahasa anak
Menurut kajian, apabila kita ibu ayah memberi tindak balas kepada bebelan bayi, seolah-olah kita memahami apa yang dia sedang “bualkan”, ia boleh mempercepatkan perkembangan bahasa si kecil itu.
Para pengkaji dari Universiti Iowa dan Indiana telah memerhatikan interaksi antara sekumpulan ibu dan bayi mereka semasa sesi bermain secara individu selama 6 bulan.
Kajian ini telah dijalankan ke atas bayi seusia 8 bulan. Hasilnya?
Mereka telah membuat kesimpulan ke atas dua kategori tindak balas iaitu:
- Ibu bayi telah memberi reaksi yang bersifat arahan di mana si ibu telah mengalih perhatian si kecil kepada tempat atau benda lain melalui bahasa tubuh
- Ibu bayi telah memberi reaksi sensitif, iaitu secara lisan dengan menjawab atau meniru “bebelan” bayi, seolah dia mengerti apa yang diperkatakan oleh si kecil itu.
“Meniru perbualan bayi bukanlah sekadar mengulang bebelannya, tetapi juga memperkembangkan perbualan tersebut. Contohnya, apabila si kecil anda berkata ‘pa-pa-pa’, si ibu perlu membalas dengan ‘Pa-pa pergi kerja, ini mama sayang.'”
Itu penerangan kajian tersebut seperti di petik dalam TheAtlantic.com.
Hasil kajian apabila ibu ayah melayan perbualan bayi
Sebulan selepas sesi terakhir kajian itu, para ibu yang terlibat dalam kajian ini mengisi borang survey yang bertanyakan tentang keadaan kemahiran bahasa anak mereka.
Keputusannya adalah, bayi yang ibunya telah menunjukan reaksi sensitif menunjukkan perkembangan vokal yang lebih baik.
Ia membawa maksud yang bebelan bayi itu menyerupai suku kata yang sebenar!
“Bayi menggunakan komunikasi secara vokal, dengan makna yang jelas, kerana mereka telah belajar secara komunikatif (perbualan aktif),” jelas penulis kajian ini, Julie Gros-Louis, Profesor Psikologi di Universiti Iowa.
Dalam erti kata lain, dengan memberi tindak balas kepada “percakapan” bayi anda seolah-olah anda memahami apa yang dia katakan, dan anda memberi reaksi perbualan yang sewajarnya, anda telah membantu memperkenalkan kepadanya satu konsep baru.
Konsep itu adalah: suara menjadi lebih dari sekadar alat untuk mengeluarkan bunyi, tetapi juga boleh menjadi medium interaksi sosial buat bayi.
Antara perbualan yang boleh dicuba
Anggota badan
Ibu bapa hanya perlu sebutkan nama anggota badan sambil memegang atau menunjukkan kepada bayi anggota badan berkenaan. Selain itu, kita boleh memberitahu anak tentang kegunaan setiap anggota badan tersebut dalam kehidupan seharian.
Bagi yang beragama Islam, selitkan juga tentang pencipta anggota tubuh badan kita ini. Lebih menarik lagi, jika ibu bapa boleh menyanyikan lagu-lagu ringkas tentang anggota badan. Tentu anak kecil ini berasa seronok dan gembira mendengar nyanyian itu sambil belajar tentang anggota badan.
Aktiviti harian
Apa juga perkara yang sedang kita lakukan terhadap bayi, beritahu kepada bayi. Beritahu kepada bayi sama ada kita sedang memakaikannya pakaian, memandikannya, menyapu losyen pada badan bayi, memakaikan lampin pada bayi, dan sebagainya agar mereka belajar bahawa ibu atau bapa mereka sedang merapikan diri mereka.
Selain itu, kita juga boleh memberitahu kepada bayi perkara yang sedang kita lakukan seperti sedang mengemas beg, menutup almari, menyidai tuala, menyangkut baju dan sebagainya.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia
Rujukan: The Asian Parent Indonesia
Baca juga: Ajari Si Kecil Anda Dwibahasa, Otak Bayi Boleh Terima Pelbagai Bahasa!