Pengorbanan seorang kakak demi adik yang tercinta
Masih ingat hadiah paling berharga yang pernah diberikan oleh adik beradik anda? Baju sejuk? Surat yang ditulis dengan tangan?
Untuk Melissa Kayser, kakaknya, Lisa Auten telah memberi satu hadiah yang amat dinanti-nantikan oleh beliau – seorang anak perempuan. Melissa tidak boleh hamil. Selepas 3 tahun melalui pelbagai rawatan kesuburan, IVF dan 9 kali keguguran, Melissa 33 tahun sudah tidak berharap apa-apa lagi.
Impiannya untuk menjadi seorang ibu mungkin harus dilupakan. Tetapi Lisa, kakaknya tak sanggup untuk membenarkan Melissa berputus asa. Atas sebab itu, apabila doktor pakar mencadangkan agar Melissa mempertimbangkan idea untuk mengambil “ibu tumpang“, Lisa pantas menawarkan dirinya secara sukarela.
Lisa dalam InsideEdition.com menjelaskan perbuatannya itu dilakukan demi adiknya yang tercinta.
Saya tak tahan tengok Melissa asyik terseksa. Dia kehilangan banyak perkara. Dia sangat terluka. Dia hanya ingin jadi seorang ibu. Kalau saya boleh berikan dia sebuah keluarga, saya sanggup!
Betapa kasihnya seorang kakak kepada adiknya. Lisa belum berkahwin dan tidak merancang untuk memiliki anak sendiri. Oleh demikian, dia bertekad untuk menunaikan hajat adiknya itu.
Selepas keputusan diambil, dua embrio Melissa ditanam dalam rahim Lisa. Hal ini kerana doktor percaya salah seorang daripada embrio yang ditanam “mungkin tak cukup kuat untuk berjaya”. Tapi, tak lama kemudian… Lisa diumumkan hamil anak kembar! Kasih dua beradik itu akan melahirkan dua anak yang menjalinkan kasih sama!
Melissa yang kegembiraan dipetik mengatakan –
Rasanya semua orang sedikit terkejut. Kakak saya suruh mereka kira semula!
Syukurlah, sepanjang kehamilan itu, anak kembar yang dikandung oleh Lisa tidak mengalami sebarang komplikasi rumit. Ketika Lisa di dalam dewan bersalin, Melissa tidak renggang dari sebelah kakaknya. Melissa juga akan sentiasa menemani Lisa ke semua pemeriksaan ultra.
Anak kembar itu telah berusia 6 minggu sekarang. Mereka diberi nama sebagai Tierney dan Ashlynn.
Pengorbanan Lisa amat dihargai oleh adiknya. Melissa tidak berhenti mengucapkan ribuan syukur atas segala pengorbanan yang telah dilalui kakaknya.
“Tiada perkataan mampu menggambarkan rasa berterima kasih saya padanya. Beliau telah berkorban selama setahun supaya saya ada anak. Ada keluarga sendiri. Demi saya.”
– Melissa
Istilah “Ibu Tumpang”
Istilah ini diberikan kepada wanita yang telah menghamilkan bayi untuk pasangan suami isteri yang tidak berkeupayaan untuk melakukannya dengan sendiri. Pasangan suami isteri terbabit akan memberi sperma dan telur mereka untuk disenyawakan dalam rahim wanita tersebut. Ia akan melalui proses IVF.
Ibu tumpang di Malaysia
Kes ibu tumpang adalah sesuatu yang agak janggal di Malaysia. Ia jarang dilakukan di sini. Di Malaysia, tiada undang-undang sivil khas yang membicarakan tentang ibu tumpang.
Dan hakikatnya, kes ibu tumpang adalah diharamkan oleh agama Islam di Malaysia. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kaedah Khidmat Ibu Tumpang (Surrogate Motherhood) Untuk Mendapatkan Zuriat. Dan keputusannya adalah haram walaupun sperma dan telur diambil daripada suami isteri yang sah.
Hal ini kerana kes ibu tumpang akan mencetuskan kekeliruan ke atas nasab anak yang dilahirkan. Dalam pelbagai kes ibu tumpang, hubungan genetik membawa masalah yang paling rumit.
Walau apa pun, kami di theAsianparent mengucapkan tahniah kepada Melissa dan Lisa kerana sanggup berjuang demi si manja yang tercinta. Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada anda untuk berbuat baik kepada semua wanita, bahkan manusia di luar sana yang kurang bernasib baik.
Ada banyak baju kanak-kanak yang sudah tidak dipakai? Jom derma semua pakaian ini kepada badan amal yang memerlukan! Apa yang penting, anda pastikan baju-baju yang ingin diderma itu bersih. Mudah saja kan?
Sumber rujukan: Today’s Parent, Inside Edition dan Jabatan Mufti Negeri Pahang