Budak perempuan 11 tahun ini dirogol bergilir-gilir oleh empat lelaki!

Seorang kanak-kanak dirogol secara bergilir-gilir oleh empat orang lelaki selepas dia mengikut lelaki yang dikenalinya ini ke rumah mereka.

Sedih bila berita tentang kanak-kanak dirogol makin sering kita lihat di dada akhbar.

Baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun didakwa dirogol bergilir-gilir oleh empat orang lelaki di Perlis pada 2 September lepas.

Kanak-kanak dirogol secara bergilir-gilir oleh empat lelaki

Kejadian ini didakwa berlaku pada pukul 2.3o pagi pada 2 September 2018.

Kanak-kanak perempuan ini telah keluar dari rumahnya di Felda Chuping dengan tiga orang suspek lelaki berumur antara 15 dan 20 tahun yang dikenalinya pada bulan Mei tahun ini.

"Mereka menaiki dua motosikal menuju ke rumah di Taman Bersatu di mana seorang lagi suspek berusia 15 tahun sedang menunggu mereka," kata ketua polis daerah Nanda Maarof.

Nanda berkata, 4 lelaki ini mengambil giliran untuk merogol kanak-kanak perempuan ini di dalam bilik di rumah tersebut sebelum menghantarnya pulang kembali ke rumahnya.

Kanak-kanak dirogol ini kemudiannya tidak menceritakan perkara ini kepada sesiapa kecuali pada rakan-rakan rapatnya.

Tapi seorang cikgu di sekolahnya telah berjaya mengorek maklumat darinya selepas melihat seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Selepas mengetahui kisah kanak-kanak ini, guru tersebut terus menghubungi ibu bapa kanak-kanak ini yang kemudiannya membuat laporan polis pada Rabu lepas.

Kesemua empat suspek yang tak bekerja ini telah dikesan dan ditahan. Mereka ditahan reman sehingga 19 September.

Kes ini juga sedang disiasat mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan atas kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimun 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabit kesalahan.

Kanak-kanak dirogol: Apa yang ibu bapa boleh lakukan untuk mencegah perkara ini?

Dalam pendedahan yang mengejutkan, statistik mengatakan 73% kes rogol dilaporkan di Malaysia melibatkan kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah, dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa.

Asas penderaan seksual pada kanak-kanak

Kebanyakan kes penderaan kanak-kanak terjadi kerana masih ramai ibu bapa yang tak ambil tahu kerana menganggap yang perkara ini tak akan terjadi kepada anak mereka.

Lengkapkan diri anda dengan kebenaran tentang penderaan seksual untuk menghalang penindasan ini dari berlaku.

  1. Penderaan seksual adalah perbuatan seksual

Penderaan seksual termasuklah semua perbuatan seksual terhadap kanak-kanak seperti sentuhan pada kemaluan secara langsung dan tidak langsung seperti menunjukkan gambar porno pada kanak-kanak, mengambil gambar porno dan lain-lain.

2. Kanak-kanak yang suka simpan rahsia dan patuh adalah mangsa paling mudah

Penderaan seksual boleh terjadi kepada setiap kanak-kanak tak kira umur dan jantina. Kanak-kanak yang tak suka berkongsi cerita atau sentiasa patuh kepada arahan adalah mangsa yang mudah kepada penderaan seksual.

Penting untuk anda mengetahui setiap pergerakan anak anda dan memastikan mereka tak keluar ke mana-mana seorang diri.

3. Kebanyakan mangsa kenal dengan pemangsa mereka

Pemangsa biasanya dikenali oleh mangsa; mereka mungkin dalam kalangan ahli keluarga, jiran, cikgu atau orang yang mereka kenal dan percaya.

Pemangsa biasanya akan memujuk dan memanipulasi mereka dan jarang memaksa mereka secara fizikal.

4. Perhatikan perubahan sikap anak anda

Mangsa biasanya akan menunjukkan perubahan sikap seperti menjauhkan diri dari keluarga atau rakan, prestasi pembelajaran merosot, mengalami depresi, mula bersikap aggresif atau mula buat perkara yang merosakkan diri sendiri.

5. Penderaan biasanya berlaku berulang kali

Penderaan seksual kanak-kanak biasanya melibatkan lebih dari satu kejadian dan boleh berterusan selama berbulan atau bertahun.

6. Penderaan boleh dirakam dan digunakan sebagai ugutan

Kejadian rogol juga boleh berakhir dengan dirakam dan digunakan untuk ugutan pada masa hadapan.

Ia boleh membawa kepada pemerdagangan kanak-kanak jika tak ditangani dengan lebih awal.

Dengan mengetahui dan mengajar anak tentang penderaan seksual, anak kita boleh mengetahui cara untuk menghalang perkara ini dari terjadi.

Penting juga untuk anda sentiasa percaya kepada anak anda supaya mereka boleh berkongsi apa yang berlaku pada diri mereka dan percaya yang anda mampu melindungi mereka.

 

 

 

 

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber: NST

Baca juga: 

Penulis

Nadia Ghafar