Kanak kanak disleksia sering dikaitkan dengan masalah pembelajaran. Mereka sebenarnya bukan tidak pandai, namun perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi telah menyebabkannya sukar memahami perkara yang dipelajari.
Bukan itu sahaja, ibu ayah mungkin menyedari mereka sering melakukan kesilapan ketika membaca huruf, perkataan atau nombor sehingga hilang minat belajar dan aktif dalam kelas.
Tips mengajar kanak kanak disleksia
Apabila ibu ayah memahami cara mengajar anak disleksia, anda sekaligus dapat membantu membina kesedaran diri dan kemahiran kognitif dengan menggunakan kaedah pengajaran melalui pelbagai deria. Antaranya ialah:
#1. Gunakan pendekatan Multi-sensory Structured Language (MSL)
MSL mengajar kesedaran fonemik, fonik, perbendaharaan kata, ketepatan, kefasihan menulis dan ejaan. Kanak kanak disleksia digalakkan guna semua deria mereka yang melibatkan sentuhan, penglihatan, pergerakan dan suara melalui:
- Tulis kad nota. Ini memberikan sesuatu yang nyata untuk anak melihat dan menyentuhnya. Ibu ayah boleh meminta mereka membaca kad nota dengan kuat bagi menggabungkan kemahiran motor dan pendengaran.
- Menggunakan dulang pasir. Anak disleksia boleh menggunakannya untuk mengeja perkataan atau melukis gambar di pasir bagi merangsang daya sensori mereka.
#2. Ulangi perkara yang sama
Disebabkan oleh kanak-kanak disleksia ini bergelut dengan ingatan jangka pendek, mungkin agak sukar untuk mereka mengingati apa yang ibu ayah ajarkan. Justeru, anda hendaklah mengulangi arahan, kata kunci dan konsep.
#3. Manfaatkan masa dengan bijak
Anak yang mengalami masalah disleksia ini sering bergelut untuk fokus terhadap sesuatu perkara. Perhatian mereka amat mudah terganggu dengan persekitaran, contohnya jika terpaksa mendengar ceramah atau video yang panjang. Kesannya, mereka berdepan kesukaran untuk memahami arahan mudah dan mencatatnya.
Justeru, berikan masa lebih lama untuk kanak kanak disleksia menyelesaikan tugasan. Sekiranya anda memberikan beberapa soalan kuiz, pastikan tidak tergesa-gesa meminta mereka menyiapkannya.
#4. Perhatikan diri dan emosi anak
Ramai kanak-kanak masalah disleksia atau lambat belajar ini bergelut dengan hargaa diri yang rendah. Mereka sering merasakan bahawa tidak pintar seperti pelajar lain atau sering dianggap diri adalah pelajar malas dan bermasalah.
Justeru, ibu ayah hendaklah memberikan galakan dan sokongan moral untuk mereka membina kekuatan agar tidak mudah berputus asa ketika melalui proses pembelajaran.
#5. Beri galakan terhadap minat mereka
Kebanyakan anak dengan masalah disleksia atau lambat belajar amat gemar melukis. Meskipun lukisan mereka mungkin kelihatan aneh dan sukar difahami, ibu ayah hendaklah terus memberikan galakan.
Caranya adalah dengan menyediakan kertas lukisan bersama pensel warna. Bualkan tentang lukisan mereka dan apa maksud di sebalik setiap lakaran tersebut. Sekiranya mereka meminati nombor, beli buku latihan asas dan buat bersama-sama dengannya.
#6. Sentiasa mengawal rasa marah
Kebiasaannya, emosi mereka tidak sama dengan anak-anak normal. Mereka mungkin lebih sensitif, cepat hilang tumpuan dan minat sekiranya ibu ayah sering kali naik angin dan mendenda sahaja.
Namun ketegasan anda dalam mengajar mereka sememangnya tetap kena ada, terutama apabila mereka hilang tumpuan dan banyak bermain.
#7. Duduk belajar bersama-sama
Ibu ayah boleh memberi kebebasan untuk mereka memilih buku kegemaran. Kemudian, sama-samalah membacanya. Ketika mengeja, anda bantu untuk sebut. Proses pembacaan secara berpasangan ini sangat membantu mereka.
Anak-anak juga akan cepat faham dan minatnya semakin meningkat, begitu juga jika mereka membuat latihan menulis ataupun mengira. Jika si manja menulis secara terbalik antara huruf B dan D, atau nombor 6 dan 9, ibu ayah hendaklah membetulkannya dengan segera.
#8. Berikan kata dorongan dan pujian
Walau sekecil manapun kejayaan yang dicapai oleh mereka, ibu ayah pujilah. Setiap hasil kerja comot pada pandangan mata, teruskanlah untuk menyokong, memberi dorongan dan kata-kata pujian.
Ini secara tidak langsung mampu membangkitkan semangat mereka untuk terus belajar. Jauhkanlah kata-kata negatif seperti lembab kerana ia hanya membuatkan si manja berasa tidak dihargai langsung.
#9. Ubah suai jenis tugasan
Kanak-kanak biasa mungkin hanya memerlukan satu jam sahaja untuk menyiapkan tugasan dan menjawab soalan. Namun kanak kanak disleksia ini memerlukan masa sehingga 3 jam.
Ini boleh membuatkan mereka rasa gelisah serta terbeban. Selain memilih soalan yang memerlukan jawapan dalam bentuk penulisan, ibu ayah perlu kreatif membenarkan anak menjawabnya secara lisan atau visual.
Kesimpulannya, setiap anak adalah amanah daripada Allah kepada kita. Teruskanlah memberikan usaha terbaik dan letakkan kepercayaan bahawa mereka juga layak berjaya seperti orang lain.
Sumber: Wikicell, Salina Johari
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga:
https://my.theasianparent.comdisleksia-adalah-masalah-pembelajaran