Saya pasti semua ibu bapa sudah tahu mengapa ia sangat penting kanak-kanak mendapatkan rehat dan tidur yang secukupnya.
Ha… tetapi untuk ibu bapa yang tidak pernah risau sama ada anak mereka cukup tidur atau tidak, baik baca artikel ini!
Kajian terbaru dari Amerika Syarikat, telah mendapati bahawa kanak-kanak yang kurang tidur mungkin akan lebih cepat tua pada tahap selular (tahap sel badan).
Kajian ini telah dijalankan oleh penyelidik Sarah James dan Daniel Notterman dan pasukan mereka dari Princeton University, untuk melihat kaitan antara corak masa tidur dan pengaruhnya atas telomer (bahagian penting dalam sel badan) kanak-kanak.
Mereka telah mengumpul data dari 1,567 kanak-kanak yang berusia 9 tahun dari bandar-bandar di seluruh Amerika, termasuk purata jangka masa tidur mereka.
Sebelum itu, mungkin ada ibu bapa yang tertanya-tanya, apakah itu telomerTelomer adalah bahagian dalam sel.
Ia terletak di hujung setiap bahagian kromosom, yang melindungi penghujung kromosom daripada kerosakan atau dari gabungan dengan kromosom jiran.
Secara amnya, telomer-telomer ini akan semakin pendek setiap kali sel badan kita membahagi dan apabila kita lebih tua.
Tetapi faktor gaya hidup yang tidak baik juga boleh mempercepatkan proses ini seperti kurang tidur, diet yang kurang baik, dan kurang senaman.
Apabila telomer terlalu pendek, sel-sel tidak dapat membahagi lagi untuk membaiki semula tubuh badan dan ini diagap sebagai tanda penuaan.
Hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mempunyai tempoh tidur yang lebih pendek, juga mempunyai telomer yang pendek!
Kalau anda hendak tahu, kajian ini menyatakan yang untuk setiap jam kanak-kanak itu kurang tidur, panjang telomer mereka akan semakin pendek sebanyak 1.5 %.
Wah, banyak juga tu!
Penemuan ini sebenarnya sangat penting untuk kesihatan serta masa depan kanak-kanak, kerana telomer pendek sebelum ini pernah dikaitkan dengan kanser, penyakit jantung dan penurunan kognitif, iaitu kemahiran berfikir.
Walaupun terdapat banyak pendapat yang bercanggah mengenai berapa lama seseorang dewasa perlu tidur atau sama ada mereka memerlukan masa tidur tersebut, untuk kanak-kanak, tidak syak lagi:
Mereka perlu cukup tidur!
Selepas melihat keputusan kajian ini, sudah ternyata yang anda sebagai ibu bapa perlu memastikan yang anak anda tidur secukupnya.
James mengesyorkan anak anda tidur sebanyak 9 – 11 jam setiap malam.
Kita mudah untuk memandang remeh tentang masa tidur anak-anak, terutamanya di hujung minggu, kan?
Mungkin selepas membaca penemuan kajian yang dikongsikan dalam artikel ini, kita akan mula berubah. Mari pastikan anak kecil kita cukup tidur ya, ibu ayah sekalian!
Sumber: New Scientist, Huffingtonpost