Sedihnya apabila sebuah sambutan hari jadi anak tersayang bertukar menjadi satu kemalangan. Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun cedera parah dan kini dirawat di pusat penjagaan rapi (ICU) akibat digigit anjing peliharaan ketika sambutan hari jadinya.
Kanak-kanak lelaki yang dipanggil Little Yegor itu ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di tepi kolam rumahnya selepas diserang dua ekor anjing peliharaan bapanya.
Kanak-kanak lelaki putus alat sulit
Seperti yang dilaporkan Daily Mail, dua anjing spesis German Shepherd ini telah menyerang budak dua tahun ini dengan menggigit alat sulitnya sehingga putus.
Yegor dikatakan sedang berkeliaran di halaman rumah, tanpa disedari kedua orang tuanya yang sedang melayan tetamu. Dan malangnya ketika itu dua ekor anjingnya terlepas dari kandang yang tidak dikunci dengan betul, lantas terus menyerang Yegor.
Yegor mengalami kecederaan parah di dubur dan di bahagian kaki kirinya. Lantas Yegor dikejarkan ke hospital dengan menaiki helikopter dengan segera dan dirawat seramai empat orang doktor yang bertugas.
Kejadian ngeri ini terjadi di Selydove, Timur Ukraine ketika keluarga itu sedang menyambut hari lahir kanak-kanak lelaki tersebut yang ke dua tahun.
Malangnya sambutan yang patut diraikan dengan kemeriahan dan tawa itu bertukar sebaliknya.
Kaki mangsa mungkin dipotong
Yegor dilaporkan telah mengalami kerosakan pundi kencing, saluran darah dan usus. Doktor telah mengeluarkan tisu yang telah rosak akibat terkena jangkitan gigitan anjing, dan masih dirawat di unit rawatan rapi.
Dipercayai doktor kini dalam usaha untuk menyelamatkan kaki kiri Yegor daripada dipotong akibat jangkitan teruk.
Polis juga telah membuka kertas siasatan dan bakal mendakwa ibu bapa mangsa kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.
Jika didapati bersalah, pasangan itu boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun.
Yegor masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya kritikal.
Apa yang perlu dilakukan sekiranya digigit anjing
Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, seseorang individu yang digigit anjing atau binatang peliharaan lain, dinasihatkan untuk ambil langkah terbabit:
- Basuh luka gigitan dengan sabun dan air selama 10 minit dan sapukan ubat antiseptik seperti ubat kuning Flavin. Balut luka itu dengan pembalut yang bersih.
- Segera bawa ke klinik atau jabatan kecemasan berhampiran.
- Memberitahu pihak berkuasa seperti majlis perbandaran dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi membantu mencari anjing atau haiwan itu kerana haiwan itu selalunya akan ditangkap dan dikurung untuk pemerhatian bagi melihat tanda penyakit rabies.
- Jika pemilik anjing atau haiwan yang menggigit itu diketahui mohon kerjasama pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat mengenai haiwan itu termasuk status vaksin dan nama pemilik serta alama.
- Pembasuh luka dengan sempurna akan menghalang virus memasuki saluran darah. Jangan panik dan pastikan luka sudah dicuci sehingga bersih sebelum ke klinik atau hospital berhampiran.
Tanda-tanda dan gejala penyakit rabies
- sakit kepala
- demam
- lesu
- perubahan deria di sekitar tempat gigitan.
- mudah terangsang
- berhalusinasi dan berasa takut pada tiupan angin (aerophobia)
- berasa gerun atau bencikan air (hidrofobia) disebabkan kekejangan otot kerongkong yang sakit ketika menelan. celaru,
- mengalami sawan sehingga boleh membawa maut
Apabila dijangkit, tempoh pengeraman virus ini diantara 3 – 8 minggu dan pesakit hanya akan menunjukkan tanda-tanda 20-60 hari selepas gigitan haiwan.
Bahayanya penyakit rabies dan kanak-kanak
Disebabkan saiz badan kanak-kanak yang lebih kecil, mereka lebih cenderung untuk menjadi mangsa gigitan kerana tidak dapat mengelak dari gigitan.
Bahagian-bahagian yang senang cedera pada kanak-kanak adalah bahagian muka, kepala dan badan mereka.
Kanak-kanak juga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat gigitan anjing liar kerana mereka selalu didapati berbasikal di tepi jalan dan bermain di taman atau kawasan yang terbuka.
Disamping itu, kanak-kanak biasanya tidak akan laporkan dengan segera jika mereka telah digigit atau telah sentuh haiwan jangkitan.
Malah dianggarkan 40-60% mangsa gigitan haiwan adalah kanak-kanak dibawah umur 15 tahun.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Harian Metro, thereporter
Baca juga: