Sekali lagi warganet dikejutkan dengan video yang tidak masuk akal! Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilihat bebas memandu dengan laju tular di Facebook.
Betullah orang cakap, budak-budak zaman sekarang memang terlebih advanced ya. Bukan dari segi bagaimana mereka membawa diri di media sosial, tapi juga di luar!
Dan kini polis sedang mengesan kanak-kanak lelaki terbabit yang mana kejadian ini dipercayai bertempat di Rembau.
Memetik laporan dari Harian Metro, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, mereka sedang berusaha untuk mengesan kanak-kanak tersebut serta ibu bapa budak terbabit kerana membenarkan anak bawah umur memandu kenderaan.
Melihat pada video tersebut, pemanduannya tidak nampak kekok langsung! Seperti sudah biasa pula. Disebabkan itu dipercayai ibu bapa kanak-kanak terbabit yang membenarkan kanak-kanak tersebut memandu.
Berdasarkan video itu juga kanak-kanak itu ada menyatakan ayahnya yang mengajar dia memandu, ekoran apabila ditanya perakam video berkenaan. Oh, apakah yang si bapa ini fikirkan?!
“Kami sedang mengesan mereka untuk menjalankan siasatan lanjut berdasarkan maklumat video tular itu dan tindakan akan diambil.
Bagaimanapun setakat ini kami belum menerima sebarang laporan polis mengenainya,” kata Ketua Polis Daerah Rembau, tadi.
Walaubagaimanapun, mereka menyatakan bahawa pihak polis masih tidak lagi mengesan suspek berkenaan.
Video berdurasi 53 saat itu tular di media sosial dengan tajuk ‘Handa Orang Rombau Haa’. Kanak-kanak lelaki itu memandu sebuah Proton Saga lama yang dipercayai milik bapanya.
Siapa yang patut dipersalahkan?
Kejadian yang berlaku ini telah membuatkan ramai terfikir siapa yang patut dipersalahkan dalam hal ini. Kanak-kanak atau ibu bapa mereka?
Tapi patutkah anak-anak yang dipersalahkan sekiranya yang menjadi punca kejadian ini adalah kerana ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Anak-anak tahu apa kan? Mereka memang suka mencuba sesuatu yang baru malah jika bapanya yang mengajar anak memandu pada usia awal sebegitu, ia sememangnya tindakan yang patut dihukum.
Tetapi, sekiranya kesilapan itu secara terang-terangan dilakukan oleh anak mereka, maka tidak disangkal lagi ibu bapa atau penjagalah yang sepatutnya bertanggungjawab.
Kanak-kanak boleh dihukum?
Bolehkah kanak-kanak dihukum sekiranya masih di bawah umur? Ya, memang sudah terang lagi bersuluh anak-anak yang melakukan kesilapan namun adakah undang-undang kita boleh menghukum kanak-kanak?
Ada yang menyatakan apabila kanak-kanak di bawah umur melakukan kesalahan, mereka akan diberi perlindungan atau pengecualian.
Namun itu bergantung kepada usia! Apabila kanak-kanak itu telah mencapai umur 10 tahun, mereka sebenarnya sudah boleh dipertanggungjawabkan dengan kesalahan yang dilakukannya. Dan akan difailkan dibawah kes Juvana.
Ketahui kesalahan jalan raya
Peringatan untuk anda yang ingin mengajar anak-anak membawa kereta mahupun motor, ibu bapa perlu sentiasa ingatkan mereka mengenai kesalahan dan hukuman yang boleh dikenakan sekiranya melanggar undang-undang jalan raya dan memandu di bawah umur. Jadi kalau nak mengajar setakat suka-suka lupakanlah ya.
Telah termaktub dalam undang-undang sudah bahawa sekiranya anak masih berumur 15 tahun ke bawah, anak-anak anda tidak di boleh memandu motosikal atau pemacu empat roda.
Malah sekiranya anak berumur 17 tahun ke bawah, anak anda juga tidak dibenarkan memandu kereta kerana kesalahan memandu di bawah umur sama sekali telah melanggar Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan yang mana kes akan dihadapkan ke mahkamah.
Kesalahan memandu bawah umur, akan dikenakan denda RM1,000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya sekali.
Jadi ingat, jangan tak tahu dan memandang enteng undang-undang yang sedia ada di negara kita ini. Setiap kesilapan yang dilakukan memang wajar diambil tindakan!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The Asianparent Malaysia
Sumber: Harian Metro, Apa Orang Kata
Baca juga: