Hati diruntun duka apabila membaca post dalam Facebook yang ditulis oleh seorang ibu — Suzie Adnan. Beliau kehilangan anak keduanya, yang diberi nama Muhammad Ali – selepas bertarung dengan penyakit Atresia Bilier.
Muhammad Ali dilahirkan pada tanggal 13 September 2014. Ketika berusia 72 hari, bayi comel ini disahkan menghidap penyakit Atresia Bilier (Biliary Atresia). Pembedahan bypass dijalankan, namun ia gagal.
Doktor kata beliau hanya ada masa 18 bulan saja lagi. Namun, Ali kanak-kanak hebat! Walaupun masih kecil, dia berjuang demi ibu bapanya!
Berkat rahmat Tuhan, Ali sempat menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-dua.
Ali dirawat di Hospital Selayang dan menjadi antara kegemaran jururawat. Kebanyakan kanak-kanak dengan penyakit Atresia Bilier akan kelihatan lemah, tapi tidak Ali. Ali kuat! Atas sebab itu, Ali dipilih menjadi poster bagi pejuang penyakit Atresia Bilier.
Menurut ibunya, Ali seorang kanak-kanak bijak yang gemar menonton filem Monster. Beliau juga gemar dibawa berjalan-jalan di dalam kereta sambil melihat burung dan kapal terbang. Cebisan post ibu mangsa disertakan di bawah:
Betapa sucinya kanak-kanak ini. Tetapi, ajal menjemput Ali pada tanggal 3 April lalu, di pangkuan ayahnya. Coretan ibu Ali nyata merentap jiwa. Pemergian Ali akan sentiasa dikenang oleh ibu bapanya. Semoga keluarga Muhammad Ali kekal tabah mengharungi dugaan ini!
Muhammad Ali, kanak-kanak kuat yang harus dibanggakan!
Apakah penyakit Atresia Bilier?
Atresia Bilier adalah sejenis penyakit hempedu yang jarang kali berlaku pada kanak-kanak. Penyakit ini melibatkan hati dan saluran hempedu.
Menurut Children’s Hospital of Pittsburgh, sel-sel dalam hati akan menghasilkan cecair yang diberi nama bile. Bile akan menghadam lemak dan membawa bahan-bahan buangan dari hati ke usus untuk proses penghadaman.
Sistem ini digelar sebagai sistem biliary. Sistem biliary yang lancar akan memproses penghadaman. Akan tetapi, jika sistem ini gagal – terjadinya penyakit Atresia Bilier.
Atresia Bilier terjadi apabila cecair bile dari hati tersekat untuk ke pundi hempedu. Akibatnya, bile tersekat di dalam hati dan mengakibatkan kerosakan. Antara kerosakan yang disebabkan sekatan ini adalah kerosakan sel hati (cirrhosis) dan kegagalan hati berfungsi.
Mengapa ia terjadi?
Punca bagi penyakit ini masih belum diketahui. Akan tetapi, sesetengah kanak-kanak menghidap penyakit Atresia Bilier kerana saluran hempedu tidak terbentuk dengan betul selepas dilahirkan.
Sesetengah kanak-kanak lagi menghidap penyakit ini kerana saluran hempedu telah rosak kerana jangkitan selepas lahir.
Akan tetapi, penyakit ini bukanlah penyakit keturunan.
Tanda-tanda Atresia Bilier pada kanak-kanak
Terdapat beberapa tanda yang boleh dikesan pada kanak-kanak dengan penyakit ini, seperti:
- Penyakit kuning – kulit dan mata bewarna kuning. Ia kerana bilirubin (pigmen bile) yang ada dalam darah. Penyakit kuning biasanya disebabkan oleh hati yang tidak matang. Kanak-kanak dengan penyakit BA biasanya akan kelihatan normal, tapi mendapat penyakit kuning selepas dua atau tiga minggu dilahirkan.
- Air kencing warna gelap – disebabkan oleh pengumpulan bilirubin dalam darah.
- Najis berwarna gelap – kerana tiada pewarna bilirubin yang dikosongkan dari usus. Malah badan kanak-kanak juga boleh membengkak kerana hati semakin besar.
- Turun berat badan dan cepat meragam
Bagaimana penyakit Atresia Bilier dirawat?
Biasanya, terdapat tiga cara untuk merawat penyakit ini. Jika kanak-kanak telah disahkan menghidap penyakit kuning, pemeriksaan lanjut akan dijalankan.
Penyakit Atresia Bilier akan dirawat dengan menggunakan kaedah:
- Pembedahan
- Prosedur Kasai
- Pemindahan Hati
Pembedahan akan dijalankan untuk memeriksa hati dan hempedu bagi memastikan kanak-kanak tersebut menghidap penyakit hempedu. Selepas pembedahan dijalankan, prosedur Kasai akan mengambil tempat seterusnya.
Prosedur Kasai adalah sebuah pembedahan yang akan “mewujudkan semula” aliran bile daripada hati ke usus. Prosedur ini mendapat nama dari doktor Jepun yang menjalankannya. Akan tetapi, prosedur ini memiliki kekurangan yang tersendiri.
85% pembedahan prosedur Kasai berjaya, tetapi hampir 15% pesakit yang menjalani prosedur ini gagal disembuhkan. Jika prosedur ini gagal, pemindahan hati akan mengambil tempat.
Pemindahan hati adalah pilihan terakhir. Hati yang rosak akan dibuang dan digantikan dengan hati yang baru (diderma).
Selepas pemindahan, kanak-kanak terbabit harus sentiasa menjalani pemeriksaan dan penjagaan sepanjang hayat yang teliti.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda dan anak-anak. Mari sedekahkan Al-Fatihah kepada adik Muhammad Ali. Semoga tenang kamu di sana, wahai si comel.
Kredit gambar: Facebook Suzie Adnan
Sumber rujukan: Facebook Suzie Adnan, Liver Transplant Center, Children’s Hospital of Pittsburgh, Kasai Procedure, dan Cincinnati Childrens