Kanak Kanak Muntah Tiba-Tiba? Ibu Jangan Panik Dulu! Ini Cara Hilangkan Mual Dengan Berkesan Di Rumah
Apabila anak tiba-tiba muntah, pasti ibu bapa mula risau, bukan? Jika kanak kanak muntah berterusan mungkin tanda kepada masalah kesihatan
Kanak-kanak muntah adalah salah satu masalah kesihatan biasa pada peringkat usia mereka membesar, namun jika ia berlaku secara tiba-tiba pasti akan membuatkan ibu ayah berasa risau.
Isi Kandungan
Memahami Punca Kanak-Kanak Muntah Tiba-Tiba
Muntah biasanya berlaku apabila perut cuba menyingkirkan bahan yang mengganggu atau merosakkan sistem pencernaan.
Beberapa punca utama kanak-kanak muntah termasuklah:
- Jangkitan virus atau bakteria: Seperti gastroenteritis (keracunan makanan atau perut masuk angin).
- Keracunan makanan: Makanan yang tercemar boleh menyebabkan muntah serta cirit-birit.
- Alergi makanan: Tubuh bertindak balas terhadap makanan tertentu seperti susu, telur, atau kacang.
- Mabuk perjalanan: Pergerakan kenderaan yang tidak stabil boleh menyebabkan rasa loya.
- Demam tinggi atau jangkitan: Penyakit seperti jangkitan telinga atau jangkitan saluran kencing juga boleh menyebabkan muntah.
Gejala Anak Muntah
Muntah biasanya tidak datang secara bersendirian. Anak anda mungkin menunjukkan beberapa gejala berikut:
- Perut kembung atau sakit: Anak kelihatan tidak selesa dan sering mengadu sakit perut sebelum muntah.
- Loya: Mereka mungkin menolak makanan dan kelihatan mual sebelum muntah.
- Demam: Jangkitan virus atau bakteria sering disertai suhu badan yang tinggi.
- Dehidrasi: Tanda-tanda dehidrasi termasuk bibir kering, kurang buang air kecil, mata cengkung atau kulit badan yang kering.
- Lesu: Kanak-kanak yang muntah berulang kali akan menjadi lemah dan lesu.
Jika anak anda menunjukkan gejala ini secara berterusan, ia mungkin petanda masalah yang lebih serius.
Berapa Lama Anak Cirit-Birit?
Cirit-birit yang berlaku bersama muntah lazimnya berlangsung selama 2 hingga 3 hari, tetapi ini bergantung kepada tahap kesihatan anak dan punca masalah.
Sekiranya cirit-birit berlanjutan lebih daripada 5 hari atau najis anak mengandungi darah, segeralah berjumpa doktor.
Ubat Muntah Kanak-Kanak
Rawatan muntah bergantung pada punca utamanya. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil:
- Berikan Larutan ORS (Oral Rehydration Salt)
Larutan ini membantu menggantikan cecair dan elektrolit yang hilang. Pastikan anak minum secara perlahan-lahan tetapi kerap.
- Ubat Anti-Muntah
Doktor mungkin akan memberikan ubat ini jika muntah terlalu kerap, terutamanya jika ia mengganggu pengambilan makanan atau minuman anak. Jangan berikan ubat tanpa nasihat doktor.
- Makanan Yang Mudah Dicerna
Selepas muntah reda, mulakan dengan makanan ringan seperti bubur, roti bakar atau sup yang tidak berempah.
Petua Hentikan Muntah Kanak-Kanak Dengan Mudah
Selain menggunakan ubat-ubatan yang disarankan doktor, ibu bapa juga boleh mencuba beberapa langkah mudah di rumah untuk membantu menghentikan muntah anak. Berikut adalah beberapa petua yang boleh dicuba:
1. Rehatkan Perut Anak
Jangan paksa mereka makan segera selepas muntah. Biarkan perut mereka berehat selama 1 hingga 2 jam sebelum memberi makanan ringan.
2. Minum Air Dalam Jumlah Kecil Tetapi Kerap
Selepas muntah, pastikan anak diberi cecair untuk menggantikan air yang hilang. Walau bagaimanapun, elakkan memberi air dalam jumlah yang banyak sekaligus kerana ini boleh mencetuskan muntah semula.
Sebaliknya, berikan mereka minuman seperti air kosong, larutan Oral Rehydration Salt (ORS) atau jus yang dicairkan dalam kuantiti kecil tetapi kerap.
3. Baring Dengan Kepala Sedikit Tinggi
Posisi ini membantu mengurangkan rasa loya dan mengelakkan muntah semasa tidur. Letakkan bantal kecil atau lapisan tuala di bawah kepala mereka untuk meningkatkan ketinggian.
4. Halia
Halia adalah bahan semula jadi yang terkenal kerana khasiatnya dalam merawat rasa mual. Jika anak sudah besar dan mampu minum air halia suam, anda boleh mencuba memberikan secawan kecil air halia yang dicampur dengan madu untuk melegakan rasa loya mereka.
Walau bagaimanapun, langkah ini tidak disarankan untuk bayi bawah setahun.
5. Elakkan Makanan Bergas Atau Berlemak
Selepas muntah, perut anak sangat sensitif. Makanan yang bergas, berminyak atau berlemak seperti makanan segera, kerepek atau makanan pedas boleh memperburukkan keadaan perut mereka dan mencetuskan muntah semula.
Fokus pada makanan yang lembut dan mudah dicerna sehingga anak kembali normal.
Adakah Normal Cirit-Birit Dan Muntah Kanak-Kanak?
Cirit-birit dan muntah sering berlaku serentak, terutamanya apabila anak mengalami gastroenteritis atau keracunan makanan. Ia dianggap normal jika berlaku dalam tempoh yang singkat dan anak masih aktif serta boleh menerima cecair.
Namun, anda perlu berjaga-jaga jika terdapat tanda seperti:
- Najis berdarah atau berwarna hitam.
- Anak kelihatan terlalu lesu atau mengantuk.
- Dehidrasi yang ketara.
Bila Perlu Bawa Anak Muntah Ke Hospital?
Muntah sesekali mungkin tidak merisaukan, tetapi jika anak anda menunjukkan tanda-tanda berikut, bawa mereka ke hospital dengan segera:
- Muntah berulang kali sehingga lebih daripada 3 kali sehari.
- Tidak boleh makan atau minum selama lebih 8 jam.
- Muntah berwarna hijau, kuning pekat, atau mengandungi darah.
- Gejala dehidrasi yang serius seperti tiada air kencing selama lebih 8 jam, bibir sangat kering, atau kulit yang kecut.
- Demam tinggi melebihi 39°C atau disertai sawan.
Muntah pada kanak-kanak boleh berlaku atas pelbagai sebab, tetapi kebanyakan kes dapat diuruskan dengan langkah penjagaan di rumah seperti memastikan anak kekal terhidrasi dan rehat secukupnya.
Walaupun begitu, jangan teragak-agak untuk mendapatkan rawatan perubatan jika keadaan anak semakin teruk.
Ibu bapa yang peka dan pantas bertindak adalah kunci untuk memastikan kesihatan anak anda sentiasa dalam keadaan terbaik.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Anak Cirit Birit Tapi Aktif? Ibu Ayah, Ini Cara Pastikan Anak Tidak Dehidrasi & Selesa
Baca juga: Air Masak Untuk Bayi Bawah 6 Bulan TIDAK BOLEH Diberikan Lagi Ya, Bahaya Untuk Nyawa Si Kecil!