Siapa yang boleh menyangkal khasiat dalam kandungan susu ibu? Sudah terang lagi bersuluh susu ibu mampu menjamin kesihatan bayi sepenuhnya dan disebabkan itulah ia cukup digalakkan untuk ibu-ibu yang baru melahirkan bayi.
Tetapi tidak dinafikan juga, bukan semua ibu mampu menyusukan anak mereka sepenuhnya. Terlalu banyak masalah yang mampu mendorong kepada kesusahan menyusu badan yang dialami ibu-ibu baru bersalin ini.
Antaranya adalah seperti susu tidak keluar, bayi tidak mampu melekapkan mulut sepenuhnya pada puting dan sebagainya.
Namun cukup beruntung untuk ibu-ibu yang mampu menyusu badan anak mereka sepenuhnya, ada yang sampai anak berusia dua tahun pula! Itulah rezeki namanya.
Susu ibu makanan terbaik
Untuk tahun pertama tumbesaran bayi, susu ibu memainkan peranan yang amat penting. Ia mampu menjadikan sistem imunisasi anak lebih kuat malah menjadikan bayi lebih sihat dan terlindung daripada kebanyakan jangkitan penyakit.
Susu badan akan berubah seiring dengan tumbesaran bayi, jadi bayi akan mendapat khasiat dan nutrisi sempurna mengikut usia.
Dan bayi sememangnya patut minum hanya susu ibu sehinggalah mereka berusia enam bulan. Namun ia harus sentiasa diberi sehinggalah bayi berusia 12 tahun walaupun seiring dengan pemberian makanan pejal sebagai pelengkap.
Mengapa susu ibu bagus untuk bayi?
Mesti ramai yang tertanya bagaimana sebenarnya susu ibu ini boleh melindungi bayi dari jangkitan atau penyakit? Apa keistimewaan kandungan susu ibu ini?
- Susu ibu mempunyai hormon dan jumlah protein, gula, lemak dan vitamin yang secukupnya untuk membantu tumbesaran bayi.
- Susu ibu juga mempunyai kandungan antibodi yang mampu melindungi bayi anda dari penyakit. Ini kerana antibodi adalah satu sel di dalam badan yang berupaya melawan pelbagai jenis jangkitan dan virus.
- Bayi yang menyusu badan mempunyai masalah kesihatan yang lebih rendah berbanding bayi yang tidak menyusu badan. Contohnya bayi yang menyusu badan ini jarang terkena jangkitan telinga, jangkitan paru-paru atau jangkitan air kencing.
- Malah mereka juga akan kurang terkena cirit-birit, masalah athma atau pernafasan juga diabetes (ini kerana kebanyakan susu formula mempunyai kandungan gula yang agak tinggi).
- Susu ibu juga mengandungi asid lemak seperti DHA (docosahexaenoic acid), yang membantu perkembangan otak bayi dan mata.
- Ibu-ibu juga perlu tahu bahawa dengan menyusu badan bayi anda, ia dapat mengurangkan risiko sindrom kematian bayi mengejut atau lebih dikenali dengan SIDS (Sudden Infant Death Syndrome). SIDS merupakan kematian mengejut yang tidak dapat diterangkan untuk bayi berusia bawah satu tahun.
- Susu ibu sangat mudah dicerna, disebabkan itu tiada bayi akan mengalami alahan susu ibu berbanding dengan risiko bayi akan alah dengan susu formula. Susu ibu kurang mengakibatkan perut bayi kembung kerana kandungan gas yang rendah.
- Ia akan berubah mengikut usia dan tumbesaran bayi, jadi mereka akan mendapat kuantiti susu ibu yang sempurna mengikut keperluan mereka. Contohnya ketika awal kelahiran, susu ibu lebih pekat dan berwarna kuning, ia dipanggil kolostrum.
- Kolostrum mempunyai kandungan nutrien dan antibodi yang diperlukan bayi pada hari-hari awal mereka lahir di dunia ini. Ia akan bertukar teksturnya dalam tiga hingga empat hari.
- Susu ibu akan sentiasa tersedia apabila bayi anda ingin minum, dan lebih banyak bayi menyusu, lebih banyaklah kandungan susu ibu akan terhasil.
Berapakah kuantiti susu ibu yang cukup untuk bayi?
Tidak kira berapa jumlah susu yang diberikan kepada adalah bagus untuk mereka. Ia berlaku secara semula jadi, apabila bayi anda ingin menyusu mereka akan menyusu sehingga kenyang. Dan isyarat bila bayi sudah kenyang adalah mereka akan melepaskan puting serta merta.
Pentingnya menyusu badan buat ibu
Ya, menyusu badan ini bukan saja memberi kebaikan buat bayi, malah juga untuk ibu-ibu.
#1. Mengecutkan rahim
Ia dapat meningkatkan jumlah hormon (kimia) di dalam badan yang dipanggil oxytocin, yang mana membantu rahim anda kembali ke saiz asal selepas kelahiran bayi. Ia juga dapat membantu menghentikan pendarahan nifas secepat yang mungkin.
#2. Cepat kurus
Membantu membakar kalori berlebihan. Ini dapat memastikan anda kembali ke berat badan anda sebelum mengandung! Dan lebih seronok, anda juga berpotensi makan lebih banyak tanpa kenaikan badan yang mendadak.
#3. Kurang risiko kanser payudara dan kanser ovari
Apabila bayi menyusu badan, secara tidak langsung dapat memastikan payudara anda kurang membengkak. Bengkak susu ini terjadi apabila susu yang dihasilkan lebih banyak daripada yang keluar. Jadi penghasilan susu berlebihan dapat mengakibatkan bengkak susu yang lama kelamaan boleh mengakibatkan jangkitan mastitis. Dijangka masa lama juga mungkin akan mengakibatkan kanser payudara.
#4. Merapatkan hubungan ibu dan anak
Indahnya apabila anda menyusukan bayi ini, ia boleh menjadi satu ‘bonding time’ buat anda dan bayi. Waktu itulah anda berdua akan bertentang mata, dan bayi dapat mengingati wajah dan bau ibunya.
Apa yang anda tidak tahu
Ingat! Apabila anda menyusu badan, anda berkemungkinan tidak akan mendapat haid. Jadi sukar untuk anda ketahui bila waktu subur. Untuk mengelakkan dari berlakunya ‘accident’ anda perlulah ambil pil perancang atau apa-apa yang boleh membantu perancangan keluarga. Haid anda mungkin akan kembali setelah anda tidak lagi menyusukan bayi dengan kerap. Ini biasa berlaku selepas anda mula berkerja.
Apa yang anda makan atau produk yang anda gunakan pada wajah mungkin memberi efek pada bayi! Jadi hati-hati dengan pengambilan ubat saat anda sakit, berbincang dengan doktor tentang apa yang boleh dan tidak boleh diambil ketika menyusu badan.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: WebMD, March Of Dimes
Baca juga: