Sebak! Pelajar Ini Sanggup Pakai Kasut Koyak Rabak Dari Darjah 6 Sehingga Tingkatan 2

Kasut sekolah adalah antara keperluan yang sangat diperlukan oleh setiap pelajar. Namun, tidak semua ibu ayah mampu untuk mendapatkannya dek kesusahan hidup

Sedang anak-anak lain riang menjalani proses pembelajaran di sekolah dengan memakai kelengkapan sekolah yang baru dan kemas, namun sebenarnya masih ada lagi segelintir pelajar yang hanya ”kitar semula”  kasut sekolah yang ada.

Sebagai anak, mereka mungkin perlu memahami keadaan ibu ayah yang tidak mampu untuk membeli keperluan sekolah baru.

Justeru, mereka terpaksa pakai apa sahaja yang ada selagi boleh biarpun kelihatan seperti bila-bila masa sahaja akan terputus.

Kasut sekolah yang uzur

Begitulah dengan perkongsian seorang guru, Maisarah Hanna. Pada minggu terakhir persekolahan sebelum bermulanya cuti Tahun Baharu Cina, dia telah memanggil pelajar tingkatan 2 dalam kelasnya.

Hal ini bertujuan untuk menyerahkan surat kebenaran ibu bapa dan penjaga bagi para pelajar menyertai program yang diadakan di luar sekolah.

Namun, apabila tiba sahaja giliran salah seorang pelajar perempuan ini, cikgu Maisarah tiba-tiba melihat sesuatu yang cukup menyedihkan.

”Bila saya lihat dia, macam dirinya sedikit pelik kerana saiz badan dan kasut sekolah yang dipakai tidak seimbang.”

Setelah mendekati pelajar berkenaan, rupa-rupanya bahagian kasut yang dipakai jelas terlihat seperti menggelembung kerana begitu ketat.

Lalu, ditanya mengenai keadaan pelajar berkenaan dan mendapati bahawa dia telah memakai kasut yang sama sejak dirinya berada darjah 6.

Menyedari pelajar ini mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan, timbul hasrat cikgu Maisarah untuk membelikan kasut baharu yang selesa.

Namun, kekangan masa dan tugas yang lain telah menghalang cikgu Maisarah untuk bertindak dengan segera kerana pada waktu berkenaan sudah mula cuti Tahun Baru Cina.

Setelah selesai semua urusan aktiviti luar sekolah, cikgu Maisarah telah memanggil semula pelajar berkenaan dan meminta dia membuka kasut bagi mendapatkan anggaran ukuran saiz yang tepat.

”Ketika dia buka kasut yang dipakai bertahun-tahun lamanya, hati saya seolah-olah tersentak kerana keadaan kasutnya begitu teruk,”

”Saya tidak menyangka bahawa bahagian belakang kasut juga telah terkoyak luas begitu sekali biarpun pelajar berkenaan menjaga sehabis mungkin kasut miliknya.”

Dikelilingi insan yang bermurah hati

Menggunakan platform Facebook untuk berkongsi kisah dan aktiviti bersama para pelajar dari golongan ini, cikgu Maisarah mengatakan bahawa ramai yang tampil memberikan sumbangan.

”Biarpun dana yang diperoleh bukan nilai yang begitu besar, namun ia sangat membantu golongan kurang bernasib baik.” Ujarnya.

Rakan-rakan Facebook turut bersama-sama menyokong usaha murni guru ini dalam membantu anak didiknya agar dapat hadir ke sekolah seperti pelajar yang lain.

Kami di theAsianparent Malaysia mengucapkan tahniah kepada cikgu Maisarah atas keprihatinannya tentang kebajikan setiap anak-anak pelajar. Semoga urusan cikgu dipermudahkan agar dapat terus berbakti dalam bidang pendidikan.

Tips bajet keperluan sekolah anak

foto: Astro Awani

#1. Beli lebih awal

Apa yang penting, ibu ayah jangan menunggu hingga akhir bulan Disember untuk menyiapkan semua kelengkapan sekolah anak-anak.

Kelengkapan tersebut disarankan beli lebih awal kerana selepas itu anda perlu memikirkan pula yuran persekolahan dan buku anak-anak.

#2. Elak tamak ketika berbelanja 

Sempena musim cuti sekolah, banyak pasar raya menawarkan harga-harga diskaun terhadap kelengkapan persekolahan termasuklah kasut sekolah.

Jadi ibu ayah perlu membuat bajet sendiri untuk setiap anak mengikut keperluan dan bukannya kehendak mereka semata-mata.

#3. Sediakan senarai keperluan

Senarai barang dan harga adalah perkara yang perlu diutamakan agar ibu ayah boleh menilai dengan jelas jumlah wang yang perlu dikeluarkan bagi mendapatkan setiap keperluan sekolah setiap anak.

Bukan itu sahaja, jangan lupa untuk memeriksa semula sama ada barangan sudah dibeli atau belum agar anda tidak membazir wang membeli kelengkapan sekolah yang sudah ada.

#4. Alat tulis

Peralatan menulis sama ada pensil, pen, pembaris, pemadam dan pensil warna juga antara yang perlu disediakan untuk kegunaan anak-anak.

Sebagai pembeli yang bijak, ibu ayah perlu merebut setiap tawaran diskaun dan simpan di tempat khusus kerana biasanya barang-barang yang dibawa murid sekolah rendah ini akan kerap ‘hilang’ sama ada mereka lalai atau tersalah letak di kelas. 

#5. Pakaian seragam yang masih elok 

Bagi anak-anak yang sudah melalui proses persekolahan sebelum ini, mungkin uniform mereka masih dalam keadaan yang baik.

Justeru, memasuki tahun yang baru ibu ayah mungkin boleh bertimbang rasa dengan hanya menambah satu atau dua helai sahaja pakaian yang baru.

Sumber: Maisarah Hannan, Mstar

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.

Baca juga:

https://my.theasianparent.comderma-hati