Tahukah anda bahawa kata-kata positif yang diucap setiap hari kepada anak, bakal membentuk perangai yang baik? Kadang-kadang ibu bapa yang sibuk bekerja tidak sedar bertapa bermaknanya untuk anak mendengar ucapan manis daripada mereka.
1. “Saya bangga dengan kamu.”
Sememangnya kita semua ibubapa yang bangga. Tetapi apabila anak teruja menunjukkan prestasinya di sekolah, adakah kita memberitahunya yang kita bangga dengan keputusan mereka?
Adakalanya anak berusaha bersungguh-sungguh untuk membanggakan ibu dan ayah tetapi kecewa apabila tidak diberi perhatian.
Jangan selalu menganggap anak tahu bila kita rasa bangga dengan mereka. Ibubapa perlu ambil perhatian apabila anak sedang bekerja keras atau berusaha untuk mencuba sesuatu yang baru. Itulah masanya untuk memuji dan menunjukkan anak betapa gembiranya kita atas usaha mereka. Cari keseimbangan antara pujian yang terlalu sedikit dan pujian yang terlalu banyak.
Tumpuannya bukan untuk mendapat tempat pertama setiap kali, sebaliknya tujukan rasa bangga atas usaha gigih mereka sambil memberi semangat dan keyakinan.
2. “Sayang ingin dengar cerita kamu”
Semua anak ingin mempunyai ibubapa yang sentiasa mengambil berat tentang kehidupan mereka. Oleh itu, luangkan masa untuk berbual dengan anak dan berikan peluang untuk mereka berkongsi pandangan.
Walaupun banyak masalah pejabat yang belum selesai lagi, lupakan seketika dan lemparkan senyuman yang manis untuk anak-anak sekalian. Tunjukkan minat dan berikan tumpuan sepenuhnya apabila mereka sedang menceritakan pengalaman mereka hari itu.
Dengan adanya aliran komunikasi dua hala ini, anak boleh menjadi orang yang senang dibawa berbual dan berkongsi perasaan. Ini juga boleh mengeratkan hubungan dan meyakinkan anak bahawa ibubapa akan sentiasa berada disisi mereka apabila menghadapi masalah.
3. “Saya sayang kamu”
“Ibu masih sayang lagi, walaupun kamu telah menyakiti hati Ibu.” Kata-kata ini selalu saya gunakan apabila bercakap dengan anak sulung saya.
Semenjak adik dia lahir, dia selalu menuduh saya tidak lagi menyayangi dia seperti dulu. Lebih-lebihan, selepas melakukan kesalahan.
Sudah tentu, ini tidak benar dan seringkali selepas dimarah, saya akan mengingatkannya yang saya masih sayang pada dia. Tindakan disiplin perlu dijalankan kerana saya sayang dia dan mahu dia membesar menjadi seorang yang baik.
4. “Terima Kasih”
Ucapkan terima kasih apabila anak ingin memberi bantuan. Walaupun kerja itu akan mengambil masa yang lama untuk disiapkan, bayangkan senyuman yang bakal terukir di wajah mereka kerana telah memberi pertolongan.
Bantuan mereka, tak kira betapa kecil, dihulurkan dengan hati yang tulus dan ikhlas. Bersyukurlah dan katakan terima kasih kerana mereka pembawa kebahagiaan ke dalam hidup anda.
Walau sesibuk manapun, kita sebagai ibubapa jangan lupakan tanggungjawab utama memberi kebahagian kepada anak kita. Kasih sayang yang mencukupi dari ibubapa akan membolehkan anak membesar dengan seimbang daripada segi emosi dan jasmani.