Pada 27 Disember 2016, bayi Hanna dilaporkan meninggal dunia secara tiba-tiba akibat jangkitan paru-paru.
Masih cuba untuk menerima anak bongsunya yang sudah tiada, beberapa minggu selepas itu, ibu bapa bayi Hanna mendapat berita seorang bayi berusia 12 bulan di tempat jagaan yang sama mengalami kecederaan patah tangan.
Lebih mengejutan, selang beberapa hari, ibu bapa bayi Hanna dihubungi dengan maklumat baru yang mengatakan bayi mereka sebenarnya dibunuh oleh suami pengasuh tersebut!
Ikuti kronologi kejadian ini berdasarkan status yang dimuat naik oleh bapa saudara bayi Hanna sendiri, Syedferdaus :
Kronologi kejadian
27 Disember 2016
Ibu mangsa mendapatkan panggilan daripada pengasuh perempuan anaknya di Kondo Laksamana Puri dengan makluman untuk mengambil anaknya yang sudah tidak bergerak dan badannya sudah sejuk. Apabila ibu mangsa bertanya mengapa anaknya tidak dibawa ke klinik atau menghubungi ambulans, dia memberi alasan tidak mempunyai kereta.
Apabila ibu bapa mangsa tiba, mereka mendapati anak mereka sudah tidak bernyawa dan cubaan CPR gagal. Kemudian ibu bapa mangsa membawanya ke bahagian kecemasan Hospital Selayang dan disahkan sudah meninggal dunia. Laporan polis (Selayang/031480/16) telah dibuat.
28 Disember 2016
Hasil laporan awal bedah siasat sementara menunggu laporan kimia, menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat pneumonia dan tiada sebarang tanda fizikal untuk dikaitkan dengan dera. Pengasuh dan suami tidak hadir semasa bedah siasat serta semasa pengebumian. Sebarang rakaman percakapan pengasuh juga tidak di ambil.
18 Januari 2017
Seorang bayi berusia 12 bulan telah dilaporkan mendapat kecederaan patah tangan di rumah pengasuh yang sama. Laporan polis telah dibuat di Hospital Selayang oleh ibu mangsa.
20 Januari 2017
Ibu bayi Hanna telah dihubungi melalui telefon awam oleh seorang perempuan (saksi) yang identitinya minta dirahsiakan, mengajak berjumpa untuk berbincang tentang kematian Hanna. Ibu bapa bayi Hanna telah berjumpa saksi di sebuah restoran di Gombak.
Saksi telah memberitahu yang si mati telah meninggal dunia bukan semasa tidur tetapi akibat perbuatan suami pengasuh yang berwarganegara Bangladesh dengan menekup muka mangsa dengan tapak tangan sehingga lemas kerana si mati sering menangis.
Saksi beritahu yang pengasuh perempuan itu sendiri telah beritahu tentang kejadian tersebut. Saksi juga beritahu sering dengar perbualan pengasuh dan suami semasa bergaduh dengan pengasuh keluarkan perkataan “kau yg bunuh Hanna” terhadap suaminya. Saksi mohon kepada ibu bapa Hanna supaya tidak mengaitkan dirinya dengan pihak polis kerana menjaga hubungan kekeluargaan antara suspek dan saksi.
21 Januari 2017
Laporan polis GOMBAK/00738/17 telah dibuat bersabit repot awal di IPD Gombak berdasarkan maklumat baru saksi tersebut.
22 Januari 2017
Pengasuh perempuan telah ditangkap oleh pasukan polis berhubung kes patah tangan. Bagaimanapun, suami pengasuh memberi alasan berada di Johor kerana mengikut lori milik abang iparnya yang membuat penghantaran. Namun menghilangkan diri semasa menurunkan barang di Segamat.
24 Januari 2017
Saksi memberitahu bapa Hanna yang suami pengasuh sebenarnya tidak pergi ke Johor. Bapa Hanna meminta untuk berjumpa abang ipar yang kononnya telah membawa suspek ke Johor untuk mendapat tahu lokasi terakhir dia menghilangkan diri.
Pada lewat petang, pihak polis mengesahkan yang suspek utama telah menyerah diri di IPD Gombak.
Kini, Syedferdaus meminta agar suspek disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan demi menegakkan keadilan terhadap kes pembunuhan bayi Hanna. Semoga keadilan berpihak kepada keluarga arwah bayi Hanna dan semoga suspek menerima pembalasan yang setimpal dengan perbuatannya.
Berikutan tragedi yang menakutkan ini, perkongsian kali ini ialah berkenaan bagaimana mengenali taska atau pusat jagaan kanak-kanak yang baik. Hasil perkongsian dari babycentre, the national dan mumsnet. Apa yang perlu dilihat semasa memilih taska atau pusat jagaan kanak-kanak?
1. Lesen
Setiap taska atau pusat jagaan kanak-kanak MESTI berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
2. Polisi keselamatan, kesihatan, kebersihan dan pemakanan
Periksa polisi taska atau pusat jagaan tersebut. Adakah mereka mempunyai pelan kecemasan? Adakah mereka mempunyai peti pertolongan kecemasan? Adakah pengasuh atau penjaga di sana mempunyai sijil pertolongan cemas? Apakah polisi taska atau pusat jagaan tersebut sekiranya salah seorang anak jagaan mereka sakit? Adakah mereka menyediakan makanan lain untuk anak jagaan mereka yang mempunyai alergi?
Ini adalah sebahagian soalan-soalan yang boleh anda tanya kepada taska atau pusat jagaan yang anda bakal pilih. Contoh pelan kecemasan ialah, tindakan mereka sekiranya terjadinya kebakaran. Mereka sepatutnya sudah merangka laluan kecemasan sekiranya terjadi kecemasan seperti kebakaran.
Begitu juga dengan peti pertolongan cemas. Setiap taska pasti ada peti pertolongan cemas yang isinya lengkap dan selamat, serta jauh dari tempat yang kanak-kanak boleh capai. Selain itu, pengasuh atau penjaga juga harus mempunyai sijil pertolongan cemas untuk membuktikan mereka bersedia menghadapi keadaan cemas seperti membuat bantuan pernafasan buat bayi yang lemas.
Hal yang demikian juga, jika taska atau pusat jagaan tersebut mempunyai polisi jika salah seorang anak jagaan mereka sakit atau mempunyai alergi, mereka pasti akan mempunyai prosedur yang akan dijalankan seperti penyediaan makanan asing, atau bilik asing untuk anak yang sakit atau anak yang sakit diminta untuk tidak di hantar ke taska atau pusat jagaan.
3. Pengasuh atau penjaga
Periksa dengan pemilik taska tentang latar belakang pengasuh atau penjaga. Seharusnya, mereka tidak mempunyai rekod yang buruk dengan taska lain, tidak mempunyai rekod jenayah serta mempunyai penampilan yang bersih.
4. Sekuriti
Pastikan susun atur taska atau pusat jagaan menepati keperluan keselamatan, laluan kecemasan tidak terhalang. Di dalam panduan taska, telah dinyatakan syarat-syarat taska contohnya, taska kediaman MESTI berada di lot hujung sahaja dibenarkan. Lot tengah atau lot hujung tengah (end lot) tidak dibenarkan.
Serta tidak mudah untuk orang luar keluar masuk sesuka hati setiap masa. Ini penting bagi mengelakkan kejadian tidak dikehendaki seperti penculikan atau orang jahat memasuki premis tersebut. Selain itu, mereka juga harus mempunyai nombor telefon kecemasan di tempat yang senang dilihat.
5. Aktiviti
Periksa senarai aktiviti yang disediakan taska atau pusat jagaan tersebut untuk anak anda. Jika ada aktiviti yang anda tidak setuju atau faham, suarakan kepada mereka yang minta penjelasan mereka. Mereka pasti akan menjelaskan mengapa aktiviti itu disediakan untuk anak anda.
Tujuan perkongsian ini bukanlah menunding jari ke mana-mana pihak siapa yang bersalah. Hanya sekadar, pandangan seorang ibu yang risau dengan keselamatan anak berikutan terlampau banyak kes kematian melibatkan tempat jagaan. Biarlah kita berhati-hati dari menyesal dikemudian hari.
Jika ada pemilik taska yang membaca perkongsian ini, berlapang dada menerima isi perkongsian ini sebagai medium untuk membaik pulih apa yang perlu. Semua orang mahukan yang terbaik, tiada siapa harap sesuatu yang buruk jadi pada anak mereka.