Lazatnya Epal Hijau, Bagus Untuk Sistem Pencernaan Si Manja - Ini Kelebihan Epal Hijau
Si manja yang suka makan buah-buahan akan menyenangkan hati ibu bapa oleh sebab kandungan khasiat yang tinggi yang berada di dalam buah tersebut. Salah satu buah yang kaya dengan kebaikan adalah epal hijau. Ketahui khasiatnya dan bagaimana untuk galakkan anak memakan epal hijau.
Kebanyakan dari kita sentiasa memilih untuk membeli epal merah ketika berada di pasar raya, tetapi tahukah anda bahawa epal hijau membawa kebaikan yang sama seperti epal merah atau mungkin lebih? Oleh sebab itu, anda boleh memperkenalkan si manja anda kepada epal hijau supaya mereka dapat menyerap khasiat dari buahan tersebut.
Pertama sekali, mari kita ketahui apakah kelebihan epal hijau bagi si manja?
Kebaikan Epal Hijau Kepada Si Manja Anda
Secara amnya, epal hijau dan epal merah tidaklah mempunyai terlalu banyak perbezaan dari segi khasiatnya, tetapi menurut laman web Reckon Talk, epal hijau masih mempunyai kelebihan yang tinggi berbanding epal merah. Contohnya, epal hijau mengandungi dua kali ganda Vitamin A berbanding epal merah dan lebih rendah kandungan gula.
Kami faham, bahawa sesetengah individu tidak gemar membeli epal hijau kerana rasanya yang lebih masam dari epal merah, tetapi kandungan nutrisi yang dibawa oleh epal hijau terlalu bagus! Walaupun begitu, kedua-dua epal sebenarnya membawa kebaikan am yang sama.
1# Membantu menaikkan kesihatan jantung
Memakan buah epal berwarna hijau telah dibuktikan untuk membantu menyihatkan jantung dan mengurangkan risiko penyakit-penyakit kardiovaskular.
Faktor yang menyumbang kepada kesihatan jantung dan memakan epal hijau dikaitkan oleh kandungan serat yang tinggi yang berada di dalam buah epal.
2# Membantu kesihatan penghadaman
Epal hijau mengandungi kompaun yang dikenali sebagai pectin atau pektin, sebuah sumber fiber yang bertugas sebab probiotik untuk membantu pertumbuhan bakteria baik di dalam usus kita. Pektin ini dapat membantu mencerna makanan dengan lebih mudah supaya dapat mengelakkan untuk mengalami sembelit atau cirit-birit.
3# Dapat membantu menguatkan sistem imunisasi
Walaupun dia tidaklah mempunyai kesan yang kuat seperti buah oren, tetapi epal juga boleh dikatakan sebagai penguat sistem imunisasi oleh sebab kandungan Vitamin C mereka yang juga agak tinggi.
4# Kelebihan tambahan epal hijau
- Epal hijau mengandungi 22% lebih serat berbanding epal merah, dan juga kurang kandungan gula
- Epal hijau menawarkan 63% lebih protein dari epal merah
- Memakan epal hijau dapat mengurangkan kandungan gula dalam badan anda kerana secara am, epal hijau rendah dalam kandungan gula
- Berbanding epal merah yang lebih manis, epal hijau mengandungi lebih banyak: zat besi, Niasin, Potassium, Vitamin A (2 kali ganda!), Vitamin B6 serta Vitamin K
Kini anda sudah mengetahui kebaikan epal hijau secara amnya yang juga dapat membawa kebaikan kepada si manja anda. Persoalannya sekarang adalah, bagaimana anda boleh menggalakkan bayi anda untuk memakan epal hijau yang mempunyai rasa yang lebih masam berbanding epal merah?
Galakkan Si Manja Anda Memakan Epal Hijau Dengan Cara Ini!
Ketika si manja anda mula mencapai usia 6 bulan, mereka sudah boleh mula memakan makanan dalam bentuk pepejal dan puri. Secara mudahnya, si manja tidak lagi perlu bergantung 100% kepada susu ibu dan susu formula!
Disebabkan rasa epal hijau yang lebih masam, si manja anda mungkin sukar untuk menerimanya. Oleh sebab itu, ibu atau ayah perlulah menjadi kreatif dalam menyediakan makanan yang pasti disukai oleh bayi. Lagipun, siapa sahaja yang akan menolak makanan sedap-sedap?
1# Puri epal bersama perasa kayu manis
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 6 biji buah epal (Sekiranya terlalu banyak, anda boleh mengurangkan kuantiti atau simpan lebihan puri di dalam peti sejuk)
- ¼ sudu kecil serbuk kayu manis
- ½ cawan air
Cara penyediaan:
- Sediakan epal hijau anda dengan membuang kulit dan biji di dalamnya, serta potongkan ia secara dadu
- Panaskan air sehingga mendidih dan masukkan epal yang telah dipotong tadi
- Rendahkan api sehingga kehangatan sederhana dan masukkan serbuk kayu manis untuk perasa. Tunggu hingga epal mula melembut
- Setelah epal mula lembut, toskan epal dan masukkan ke dalam mesin pengisar bersama ½ air rebusan epal. Kisar hingga lumat
- Hidangkan!
Dengan resepi ini, anda boleh memilih untuk membuang kulit buah epal atau tidak kerana kulit epal sebenarnya mengandungi kandungan serat yang tinggi yang dapat membantu sistem penghadaman si manja anda.
2# Biskut pai epal hijau
Bahan-bahan yang diperlukan:
Pastri:
- 300 gram (2 cawan) tepung
- 120 gram (½ cawan) mentega
- 3-4 sudu besar air
Inti epal hijau:
- 6 biji buah epal
- 1 sudu besar madu
- 1 ½ sudu kecil serbuk kayu manis
Cara penyediaan:
- Panaskan oven hingga 180 darjah Celsius.
- Masukkan bahan kering (tepung dan mentega) ke dalam mangkuk besar dan gaulkan menggunakan tangan sehingga ia menjadi seakan-akan serbuk.
- Sambil-sambil itu, masukkan 1 sudu besar air dan gunakan untuk menggaul hingga ia menjadi doh. Letakkan di dalam peti sehingga waktu untuk digunakan.
- Untuk membuat inti, buangkan kulit epal dan masukkan ke dalam periuk bersama-sama madu dan serbuk kayu manis. Biarkan ia mendidih, kemudian rendahkan api sehingga sehingga ia mula menggelegak selama 10 minit, sekadar untuk melembutkan epal.
- Toskan epal dan hancurkan menggunakan garfu sehingga ia menjadi tekstur seakan-akan inti.
- Keluarkan doh dan gulingkan ia di atas permukaan yang bertepung, kemudian potongkan ia kepada 16 bahagian.
- Doh yang telah dipotong, jadikan ia kepada bentuk bulat yang kecil dan leperkan ia sebelum diletakkan di atas dulang pembakar yang telah dialas kertas minyak.
- Menggunakan sudu kecil, letakkan inti epal tadi di atas bulatan doh dan tekankan sedikit menggunakan belakang sudu. Tetapi, jangan sampai ia terkeluar dari tepian bulatan doh tersebut!
- Menggunakan lebihan doh, anda boleh memotong ia menjadi bahagian yang kecil sebelum membentukkan ia menjadi panjang seakan-akan cacing dan leperkan ia. Letakkan 4 barisan doh leper seperti anyaman di atas doh asal yang mempunyai inti.
- Bakar hingga masak dan hidangkan!
Anda boleh juga mencuba resepi sendiri menggunakan epal hijau, tetapi pastikan anda menambah sedikit perasa pemanis supaya ia tidak terlalu masam bagi selera si manja.
Selamat mencuba!
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Baby Led Feeding, Baby Foode
Baca juga: Makan Pelbagai Jenis Buah-Buahan Menjadikan Anak Bijak? Ibu Hamil Elok Amalkan!