Anda Telah Lakukan Yang Terbaik, Ini Punca Keguguran & Cara Atasi Yang Anda Perlu Tahu
Ketika hamil, perkara yang para ibu paling takutkan adalah keguguran. Walaupun ada cara untuk mengelakkan keguguran, jika ia terjadi, di sini kami kongsikan tindakan-tindakan seterusnya yang para ibu boleh ambil.
Apabila hadirnya nyawa baru dalam rahim kita, tentu berbagai emosi dan perasaan yang kita akan rasakan. Pastilah perasaan gembira tetapi kegembiraan tersebut pasti bercampur-baur juga dengan perasaan risau dan takut. Ketika hamil, pasti ada si ibu akan fikirkan senario paling teruk seperti keguguran. Namun bagaimana pula jika ia keguguran bayi berulang?
Keguguran adalah isu yang perit untuk dibicarakan kerana wanita masih merasakan bahawa ini semua adalah salah mereka. Bahkan mereka juga dicemuh dan dipandang serong oleh komuniti yang beranggapan bahawa mereka tidak menjaga diri mereka sebaik mungkin.
Tidak sama sekali! Ingat, ini bukan salah anda. Setiap badan wanita berbeza, apa lagi rahim dan bahagian peranakan anda. Anda harus ingat bahawa ini bukan penghujung, anda masih lagi boleh cuba untuk mendapatkan zuriat yang lain.
Sekiranya anda atau kenalan anda telah mengalami keguguran berulang, pertama sekali anda hendaklah mengenali punca-punca perkara ini terjadi.
Punca Keguguran Bayi Berulang dan Bagaimana Untuk Mengatasi
Sebelum itu, anda perlulah faham bahawa terdapat banyak faktor mengapa keguguran bayi berulang boleh berlaku dan kadang kala, pakar sakit puan juga tidak dapat mengetahui punca sebenar mengapa ini berlaku. Tetapi, ketahui juga bahawa jika anda mengalami keguguran berulang, tidak semestinya ia akan kekal sebegitu. Moga dengan izin-Nya, anda akan memperoleh rezeki bercahaya mata.
1# Faktor umur
Semakin berusia seseorang wanita, dia semakin cenderung untuk mengalami keguguran. Peratusan keguguran bagi wanita berusia akan menaik selari dengan peningkatan usia juga. Jika seseorang wanita itu berumur 35, peratusnya adalah 20% dan 80% bagi wanita yang sudah berumur 45. Keguguran pada wanita berusia sering berlaku ketika janin di dalam rahim baru berusia 13 minggu.
2# Masalah pada rahim
Secara kebiasaannya, wanita yang mengalami keguguran berulang pasti ada masalah pada rahim. Salah satu contoh permasalahan pada rahim ialah sindrom Asherman yang menyebabkan rahim mempunyai bentuk yang lain, atau rahim wanita tersebut memang lemah secara asalnya. Akibatnya, janin tidak dapat bertahan di dalam rahim disebabkan permasalahan-permasalahan ini walaupun sudah terbentuk.
3# Gaya hidup yang tidak sihat
Jika anda seorang perokok aktif atau pernah merokok, serta meminum alkohol dan mengambil terlalu banyak kafein (caffeine), ia juga dapat meningkatkan risiko keguguran. Seperti yang kita ketahui, ketiga-tiga perkara ini mempunyai kandungan bahan yang boleh menjadi beracun, bukan sahaja pada badan kita sendiri, tetapi dan terutamanya kepada janin yang baru hendak membentuk. Walaupun ia tidak membunuh janin tersebut, tetapi ia akan menyebabkan kualiti dan jumlah telur di dalam rahim berkurang.
Kami tahu, ibu yang pernah mengalami keguguran pasti akan berusaha lebih kuat untuk memastikan penjagaan janin dan rahim yang lebih rapi dari sebelum ini, tetapi jika perkara tersebut tidak dapat dielakkan, apa lagi kita boleh buat?
Walaupun terdapat cara-cara mengatasi, ia tetap tidak menjamin apa-apa. Justeru, para ibu (dan bapa juga!) haruslah mengetahui langkah untuk berhadapan dengan keguguran.
Bagaimana Untuk Menghadapi Keguguran
Ibu mana yang hendak mengalami keguguran, apatah lagi keguguran yang berulang. Bagai sudah jatuh, ditimpa tangga pula. Apabila si ibu mengalami keguguran, tentulah berbagai-bagai perasaan negatif bercampur, antaranya:
- Putus asa
- Kesedihan
- Serba salah
- Kemarahan
- Cemburu (terhadap ibu bapa lain)
- Kesunyian
Kami faham bahawa perasaan sebegini adalah normal, tetapi jangan biarkan ia menguasai diri anda. Jadi, bagaimana anda boleh membantu diri sendiri untuk terus kekal positif untuk berusaha lagi?
- Jangan menolak emosi anda
Anda mungkin berasa bahawa jika anda menunjukkan terlalu banyak emosi negatif ia akan memberikan impak yang lebih teruk. Tetapi, ia lebih elok jika anda menerima dan meluahkan emosi anda. Jika anda rasa hendak menangis, menangislah. Tetapi, jika anda rasa akan membawa bahaya pada diri sendiri, segeralah berbalik kepada-Nya.
- Meminta bantuan orang yang dipercayai
Apabila mengalami perkara besar seperti keguguran, ia pasti akan menganggu dengan kehidupan harian. Sedangkan ketika kita berasa sedih pada hari biasa pun sudah rasa ingin duduk dalam bilik sahaja, apatah lagi dengan perkara sebesar ini. Jika anda tidak mampu untuk melakukan rutin harian seperti biasa, mintalah bantuan dari kaum keluarga atau rakan-rakan yang anda percayai buat seketika sehingga anda mampu untuk bangun semula.
- Berbual dengan mereka yang senasib
Anda boleh mencuba membuat kajian tentang support group atau kumpulan sokongan. Ketika melayari sosial media seperti Facebook atau Twitter, cubalah cari kumpulan-kumpulan yang menawarkan sokongan kepada mereka yang senasib. Berbual dengan mereka yang lebih memahami akan lebih mudah membuatkan anda berasa lebih tenang seraya berasa empati terhadap mereka yang juga mengalami perkara sama seperti anda.
Walaupun kami faham bahawa emosi yang dibawa oleh keguguran tidak dapat diungkapkan oleh kata-kata, tetapi kami berharap bahawa apa yang kami kongsikan sedikit sebanyak dapat membantu anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Healthline
Baca juga: Cara Mengelak Keguguran Dari Berlaku Di Awal Kandungan, Ini Masa Yang Tepat Untuk Jaga Kehamilan