Dalam dunia serba moden ini, kuasa internet boleh dicapai oleh semua ibu bapa di Malaysia dan ini telah mempengaruhi cara perbelanjaan mereka.
Ibu bapa zaman sekarang selalu merujuk pendapat ibu bapa lain melalui internet dan membaca review tentang produk bayi yang terkini.
Kos Pencapaian Yang Baik
Semua ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak mereka.
Apabila taraf hidup kita naik, begitu juga kos, dan harapan ibu bapa untuk anak mereka. Kanak-kanak kini dihantar ke pelbagai jenis program pengayaan dalam, dan di luar sekolah seperti muzik, sukan dan kelas akademik.
Kebanyakan program luar dan program cuti sekolah jenis ini, berkos tinggi.
Ada pula ibu bapa yang berpendapat permainan yang berjenama lebih baik daripada permainan murah. Ramai juga yang rela membeli gajet-gajet seperti tablet atau Ipad sebagai alat untuk mengajar kerana ingin mengikut zaman teknologi sekarang.
Tekanan Dari Media Sosial
Bagaimana pula tekanan dari media sosial? Kadang kala kita akan terbaca di Facebook, ibu-ibu yang mengesyorkan macam-macam produk kanak-kanak dan bayi yang baik.
Memang teringin juga hati untuk cuba, kerana tidak mahu rasa ketinggalan. Lebih-lebih lagi, apabila saya melihat berapa banyak duit yang dilaburkan ibu-ibu lain untuk anak mereka.
Saya akan rasa kagum apabila membaca tentang kejayaan anak sesetengah ibu bapa di dalam media sosial, dan mengenai kehidupan keluarga mereka yang seolah-olah sempurna. Alangkah baiknya, kalau keluarga saya juga perfect gitu.
Tetapi realitinya, kita tidak tahu berapa banyak wang dan masa yang dihabiskan. Kita tidak lihat dengan mata sendiri pengorbanan serta tekanan yang dialami keluarga itu kerana ingin mengejar kecemerlangan.
Memang benar ilmu tambahan boleh memberi manfaat kepada anak. Tapi semak diri dulu, adakah niat itu betul? Ataupun kerana sikap suka bersaing antara satu sama lain, yang akhirnya menyebabkan ibu bapa berbelanja dengan banyak?
Keibubapaan tidak memerlukan wang yang banyak
Adakah semua ini memenuhi keperluan seorang anak?
Ibu bapa sepatutnya menumpukan perhatian dalam mengeratkan hubungan dan menghabiskan masa yang berkualiti dengan anak-anak, melalui aktiviti yang menyeronokkan, tanpa memerlukan banyak perbelanjaan. Pencapaian seorang anak tidak bergantung kepada nilai duit.
Kegiatan yang mudah seperti meneroka persekitaran yang baru, boleh menggalakkan rasa ingin tahu dan kesediaan untuk belajar dalam anak.
Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu melaburkan banyak wang untuk memastikan pencapaian yang cemerlang dari anak. Terdapat beberapa jenis permainan yang boleh membina keyakinan diri dan mengajar tentang kesabaran, kejayaan dan kegagalan.
Jangan bandingkan keluarga diri dengan keluarga yang mampu. Banyak juga ilmu lain yang boleh diturunkan kepada anak yang tidak memerlukan perbelanjaan besar-besaran.
sumber: Star2