Hari Raya Puasa atau Hari Raya menandakan berakhirnya Ramadhan dan bulan puasa bagi umat Islam di seluruh dunia. Pastinya ada yang risau jika berat badan ideal akan terganggu akibat terlalu banyak makan!
Untuk mereka yang berjaya menurunkan berat badan sambil berpuasa, pasti gembira kerana puas dengan pencapaian sendiri.
Berkat amalan berpuasa tempoh sebulan, membolehkan saluran pencernaan untuk beristirehat setelah bekerja keras terus-menerus selama lebih kurang 18 jam sehari, hampir sepanjang tahun.
Badan tidak perlu mengeluarkan asid dan lain-lain enzim untuk memproses makanan semasa berpuasa.
Fungsi perkumuhan yang semakin berkesan membolehkan sel badan untuk memberikan tumpuan terhadap proses pembuangan toksin melalui pembakaran lemak.
Namun, disiplin dan faedah ini tidak kekal lama apabila nafsu kita tidak mampu menolak keinginan untuk menjamah variasi makanan yang disaji di rumah-rumah terbuka.
Rendang, lemang, ketupat, kuih-muih serta air pelbagai perisa yang dihidangkan memang sukar untuk ditolak.
Tetapi tahukan anda bahawa semua ini mengandungi kadar lemak, gula, garam serta kolesterol yang agak tinggi?
Ia adalah satu cabaran normal untuk menghalang diri dari menjamu pelbagai makanan ketika hari raya.
Lebih-lebih lagi apabila kita perlu berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan.
Sebenarnya, ia tidak salah untuk mencuba semua makanan dengan syarat ia diambil dalam kuantiti sederhana.
Menurut Perunding Kardiologi, Hospital KPJ Ampang Puteri, Datuk Dr. Ismail Yaakob, sekiranya pemakanan pada musim raya tidak dikawal, ia mampu mengundang pelbagai jenis penyakit.
Malah, kalori berlebihan yang tidak digunakan akan bertukar kepada lemak dan secara tidak langsung ini akan meningkatkan berat badan.
“Kalau boleh, kurangkan minuman berkarbonat atau kordial,” jelas Lim Ai Leng, Ketua Pakar Pemakanan, Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
“Makanan berkuah perlu diselaraskan dengan betul kerana ia mengandungi minyak yang banyak berbanding makanan kering lain.”
Jangan lupa kebanyakkan makanan ini juga mengandungi lemak tepu di dalamnya disebabkan santan yang digunakan.
Jadi cuba kawal nafsu apabila melihat makanan terhidang dan ambil dalam jumlah yang sedikit dan mulakan dengan makanan yang mengenyangkan.
Walaupun air putih jarang dihidangkan berbanding minuman lain, tetapi ia tidak salah juga untuk meminta air putih sahaja semasa berkunjung.
Selain dari menikmati makanan secara bersederhana serta mengambil makanan yang betul, aktiviti fizikal juga menyumbang kepada badan yang sihat.
Cuba tonton video senaman di bawah yang boleh dilakukan di rumah untuk 30 minit sahaja.
Senaman jenis circuit training ini tidak berapa susah dan boleh dilakukkan sekeluarga.
Sememangnya musim perayaan tidak akan lengkap tanpa rendang, kari serta makanan yang lemak bersantan, tetapi anda boleh membuat pengubahsuaian yang bijak dan lebih sihat.
Modifikasi makanan bukan hanya untuk individu yang berpenyakit sahaja, sebaliknya ia juga sesuai untuk orang yang ingin pemakanan yang lebih sihat.
Contohnya menggunakan beras perang yang kaya dengan serat yang tinggi, untuk memasak nasi tomato.
Atau campuran santan dengan yogurt rendah lemak untuk mengurangkan kandungan kolestrol yang tinggi.
Memang pun rasanya akan sedikit berbeza tetapi dengan pengubahsuaian ini, orang ramai boleh menikmati makanan yang lebih baik hasil air tangan anda.
Sediakan jag air kosong di meja untuk tetamu anda, agar mereka mempunyai pilihan antara air atau minuman lain.
Walaupun menghidangkan minuman berkarbonat adalah mudah dan popular, hidangkan juga pilihan yang lebih sihat seperti jus buah segar (tanpa gula) atau minuman yang tidak terlalu manis.
Kunci kesihatan setiap orang bergantung kepada disiplin diri dalam mengawal kuantiti makanan yang diambil serta berapa cepat seseorang itu membakar jumlah kalori yang diambil.
Kita perlu mengikut konsep ‘makan untuk hidup’ dan bukan ‘hidup untuk makan’.
Selalunya kita kerap mengamalkan konsep ‘hidup untuk makan’ sehingga mendapat pelbagai penyakit kronik.
Masa sihatlah kita makan apa sahaja yang kita hendak makan. Sudah sakit nanti apa-apa pun tidak boleh dimakan.
Ini pemikiran dan pendekatan yang salah.
Masalahnya, kita masih lagi tidak memandang serius apa yang kita makan setiap hari, walaupun diri sedar makanan yang dimakan itu berlemak dan tinggi kolesterolnya.
Makan tu boleh makan, cuma jangan over pulak makan.
Puasa enam yang disunatkan kepada setiap umat Islam sesungguhnya memberi banyak manfaat.
Pelakon dan penyanyi, Elly Mazlein, 36, pernah memilih untuk mengekalkan kesihatan tubuh badannya dengan berpuasa enam.
Walaupun tidak meletakkan apa-apa pantang makan, dia telah menetapkan hari raya pertama waktu untuk menikmati segala juadah yang ada dengan keadaan terkawal.
“Masuk hari raya kedua, saya akan mula berpuasa enam. Selain untuk mendapat keberkatan pahala pada puasa enam, ia juga dapat mengelakkan berat badan saya naik mendadak.”
“Niat berpuasa enam tu biarlah betul, bukan sahaja disebabkan mahukan tubuh badan cantik, tetapi juga untuk beribadah dan mengekalkan kesihatan,” ujarnya.
Sumber: Utusan, Purely B, Kosmo