Jangan MENGARUT, Uri Melekat Selepas Bersalin Tiada Kaitan Dengan Pemakanan!

Adakah anda merasakan kurang selesa selepas kelahiran anak? Hati-hati ia mungkin petanda uri masih melekat di dalam rahim. Jom ikuti artikel ini

Perjalanan semasa mengandung dan bersalin tidak sama bagi setiap wanita. Bagi bakal ibu, anda sering diberikan gambaran melalui video pendek kelahiran anak yang dikongsikan di media sosial dan paparan kaca televisyen.

Namun, pada realitinya hanya ibu-ibu sahaja merasai kesukaran berhadapan dengan sakit melahirkan zuriat buat suami tercinta.

Dalam pada itu, tidak kira bagaimana cara anda bersalin, mesti anda tidak terlepas dengan menghadapi beberapa masalah antaranya uri terlekat dalam rahim.

Menurut perkongsian artikel di Facebook oleh Muhammad Izzat Abdul Razak, dia mengatakan bahawa ibu bersalin berhadapan dengan masalah tumpah darah adalah disebabkan oleh kegagalan rahim untuk mengecut (uterine atony).

Kelahiran anak dan risiko uri melekat (Retained Placenta

Baru-baru ini, terdapat beberapa perkongsian mengenai fakta palsu uri melekat selepas kelahiran anak yang heboh di media sosial.

Seorang ibu telah memberikan pesanan kepada orang ramai agar tidak mengambil sotong apabila tarikh bersalin kian hampir.

Ternyata, fakta yang dikeluarkan oleh pengguna media sosial berkenaan adalah salah dan tidak berdasarkan kajian perubatan.

Uri melekat tiada kaitan dengan pemakanan

Pengambilan makanan harian ataupun makanan laut langsung tidak akan menyebabkan berlakunya retained placenta (uri melekat) ini.

Biarpun kes sebegini jarang berlaku, namun anda perlu mempunyai pengetahuan berkenaan hal ini.

 Ia tiada berkaitan langsung dengan tabiat ibu makan sotong ketika hamil. Diharapkan dengan penjelasan daripada Dr Izzat ini sedikit sebanyak memberi informasi tentang keadaan uri melekat yang berlaku kepada ibu yang melahirkan.

Uri adalah organ yang terbentuk di dalam rahim bagi membolehkan pemindahan nutrien, oksigen dan air yang diterima ibu kepada bayi.

Apabila bayi dilahirkan, uri sudah tidak lagi diperlukan dan ia secara spontan akan merekah dari rahim dan keluar semasa pengecutan rahim.

Walaubagaimanapun, tidak semua wanita melalui proses ini dengan mudah dan segelintirnya terpaksa berhadapan dengan kes uri terperangkap dalam rahim.

Uri boleh terlekat secara keseluruhan atau cuma sebahagian kecil sahaja yang tertinggal.

Jika sedikit uri sahaja yang tertinggal, ia mungkin sukar dikesan pada peringkat awal sehinggalah anda mula mengalami simptom uri tertinggal.

Uri keluar dengan sendiri

foto: care

Selepas bayi keluar, doktor akan menunggu selama tempoh 5 hingga 30 minit bagi membolehkan uri keluar secara baik dengan sedikit bantuan iaitu controlled cord traction.

Namun, jika keadaan uri didapati masih “tersangkut” di dalam rahim anda, maka doktor terpaksa mengeluarkannya menggunakan tangan (manual removal of placenta).

Prosedur ini agak kurang selesa kerana ia perlu dijalankan dalam bilik pembedahan. Anda juga akan diberikan ubat bius terlebih dahulu bagi mengurangkan kesakitan.

Uri melekat kuat pada dinding rahim sebenarnya disebabkan oleh ’akar’ uri telah masuk jauh ke dalam dinding rahim. Ia dikenali sebagai placenta accreta.

Punca berlakunya uri melekat

Risiko uri melekat menjadi lebih meningkat sekiranya rahim anda pernah dibedah seperti caesarean, pembedahan fibroid (myomectomy) dan juga pernah menjalani D&C.

Mempunyai anak ramai dan umur meningkat juga menyebabkan masalah uri melekat. Anda juga perlu berhati-hati jika pernah mengalami sejarah uri lekat dari kehamilan yang sebelum ini.

Bukan itu sahaja, masalah uri boleh melekat kuat juga boleh berlaku kerana placenta accreta. Kelahiran bayi pra matang kebiasaannya menyebabkan tali pusat bayi terputus ketika prosedur mengeluarkan uri dilakukan.

Maka, uri terpaksa dikeluarkan dengan tangan secara manual.

Tanda-tanda uri melekat

foto: eldiariodelcentrodelpais

Antara salah satu petanda uri tertinggal yang boleh anda kesan ialah:

#1. Berlaku pendarahan berterusan selepas bersalin atau tumpah darah

#2. Demam

#3. Darah nifas berbau busuk

#4. Rasa sakit perut yang berterusan

Prosedur rawatan yang dilakukan

Terdapat dua cara untuk mengeluarkan uri yang melekat, iaitu dengan:

#1. Prosedur D&C

Sekiranya didapati cuma sebahagian kecil uri tertinggal, doktor mungkin akan menyarankan prosedur D&C.

Ia dibuat dalam keadaan bius dan anda tidak akan merasa sebarang kesakitan semasa prosedur pembuangan uri berjalan.

#2. Manual Removal of Placenta atau MRP

Prosedur ini melibatkan pengeluaran uri dengan menggunakan tangan. Ia selalunya dilakukan dalam keadaan anda telah dibius.

Tangan akan dimasukkan dengan perlahan- ahan ke dalam rahim dan uri akan dikeluarkan dengan berhati hati dari dinding rahim.

Placenta Accreta boleh membahayakan nyawa kerana akan berlaku tumpah darah yang banyak. Satu-satunya pilihan rawatan lain adalah melalui pembedahan membuang rahim (Hysterectomy). Jika anda mengalami gejala di atas selepas bersalin, sila berjumpa doktor dengan kadar yang segera.

Sumber: Muhammad Izzat, Alamhamil

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami

Baca juga:

https://my.theasianparent.comcara-tanam-uri