Bercakap mengenai keluarga sihat ini, mesti ramai yang beranggapan bahawa ia ada kaitan secara terus mengenai kesihatan dan gaya hidup sihat. Keluarga sihat, badan pun cergas kan? Tetapi, ia bukan hanya merangkumi aspek membuat latihan kecergasan dan sebagainya.
Sebaliknya, ia juga melibatkan aspek rohani, jasmani dan fizikal individu dalam satu unik keluarga.
Agak-agak faham tak tu? Tidak mengapa! Tidak kira sama ada anda ialah ketua keluarga yang menginginkan keluarga sihat atau pun individu yang mengimpikan untuk memiliki keluarga yang mengamalkan gaya hidup yang aktif, kami akan kongsikan kepada anda beberapa panduan penting.
Sebelum itu, sabar dahulu. Kita kena faham terlebih dahulu apa maksud keluarga sihat.
Maksud atau definisi keluarga sihat
Keluarga sihat ialah keluarga yang mengamalkan gaya hidup sihat serta memiliki hubungan interpersonal yang baik. Bukan sahaja keluarga perlu mempunyai ciri-ciri keluarga sihat tetapi pada masa yang sama juga, setiap individu dalam keluarga sihat juga saling mempunyai hubungan yang baik antara sesama ahli keluarga.
Sebagai sebahagian daripada ahli keluarga, anda bukan sahaja perlu menjaga kesihatan anda tetapi pada masa yang sama anda juga perlu bertanggung jawab untuk menjaga kesihatan mental anda.
Ciri-ciri keluarga sihat
Ini adalah ciri-ciri keluarga sihat mengikut buku Panduan Kesihatan yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan.
- Menginap dalam rumah yang selamat dan sempurna
- Mempunyai pendidikan yang sewajarnya/mencukupi
- Mengamalkan cara hidup sihat seperti makan secara sihat, bersenam secara tetap, tidak merokok dan mengamalkan kesihatan pergigian yang baik
- Memupuk keselamatan emosi
- Berkomunikasi secara positif
- Menunaikan peranan dan tanggung jawab masing-masing
- Beriadah bersama
- Mempunyai sumber/pendapatan yang mencukupi
- Mengamalkan nilai agama dan moral
- Memupuk sokongan sosial
Kalau anda sedang tertanya-tanya macam mana nak amalkan gaya hidup terbaik untuk membentuk keluarga sihat, anda tidak keseorangan. Semuanya mestilah bermula dengan anda terlebih dahulu.
Panduan penting yang anda perlu tahu
#1 Amalkan pemakanan yang seimbang
Ini adalah antara perkara yang paling penting bagi sesiapa yang ingin mengamalkan gaya hidup sihat. Yalah, anda jangan ingat jika anda hanya memakan multivitamin atau supplemen sahaja tanpa menjaga makanan anda betul-betul, kesihatan anda boleh terus terjaga. Yang sebetulnya, baik makanan ataupun anda nak makan multivitamin ke, kedua-duanya perlu seimbang.
Pastikan anda dan ahli keluarga mengamalkan cara permakanan mengikut piramid makanan. Tahukah anda bahawa sudah terdapat piramid makanan baru tahun 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia?
Sumber makanan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan berada pada tahap yang paling bawah bermaksud anda kena makan kumpulan makanan ini dengan lebih banyak berbanding karbohidrat. Malah, anda juga perlu minum air yang banyak sebanyak 6 hingga 8 gelas sehari.
Antara tips penting yang anda boleh amalkan dalam pemakanan makanan seimbang dalam menjamin keluarga sihat adalah:
- Makan makanan yang dimasak sendiri kerana ianya lebih menyihatkan.
- Kurangkan pengambilan gula, garam, lemak atau minyak dalam makanan.
- Jangan makan secara berlebihan. Cukuplah makan sekadar kenyang.
- Makan bersama ahli keluarga. Pupuk hubungan mesra di antara ahli keluarga.
#2 Membuat senaman atau aktiviti menyihatkan tubuh
Anda dan keluarga sudah mula menjaga badan? Bagus! Sekarang anda perlu mula untuk membuat senaman. Banyak manfaat senaman pada tubuh. Antaranya ialah:
- Menyingkirkan toksin dalam badan
- Membantu mengurangkan berat badan
- Menjadikan anda rasa lebih bahagia dan gembira
- Membantu kesihatan dan memori otak
Dan banyak lagi lah! Senaman adalah aktiviti fizikal dan pergerakan badan yang dilakukan secara berulang-ulang dengan tujuan untuk meningkatkan dan mengekalkan satu atau lebih komponen fizikal.
Terdapat banyak jenis senaman yang anda boleh lakukan iaitu senaman kardio seperti berlari, berjoging dan berjalan cepat. Anda juga boleh berbasikal serta melakukan kerja-kerja rumah sebagai satu bentuk senaman.
#3 Buat aktiviti bersama keluarga dan galakkan ahli keluarga menjalani gaya hidup sihat
Salah satu ciri keluarga sihat adalah ahli keluarga yang memiliki kesihatan mental dan emosi yang positif serta hubungan yang baik sesama ahli keluarga. Anda nak rasa lebih rapat dengan keluarga anda? Mudah sahaja! Buat aktiviti bersama. Tidak kiralah sewaktu bersukan, membeli belah, makan bersama ataupun sewaktu membuat kerja rumah. Lakukannya bersama dengan ahli keluarga anda!
Antara tabiat baik yang anda perlu amalkan bersama seisi keluarga.
- Masak dan makan bersama untuk merapatkan hubungan.
- Belajar untuk mendengar
- Hormat masa privasi dan peribadi ahli keluarga
- Pergi melancong
- Jadikan penjagaan kesihatan sebagai satu budaya yang mesti diikuti
- Jujur dan sentiasa terbuka
Ibu bapa berperanan penting dalam menentukan hala tuju keluarga dan dari segi keharmonian keluarga. Jika anda bekerja, anda harus pandai mengimbangi antara tugas dan keluarga.
Semoga panduan keluarga sihat ini dapat membantu anda.
Sumber: Mypositiveparenting
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca Juga: Keluarga Lebih Bahagia Jika Anda Amalkan 5 Perkara Penting Ini, No 1 WAJIB Tau!