Seorang remaja dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan motosikal tengah malam tadi. Kejadian dilaporkan berpunca apabila mangsa dilanggar oleh sebuah kereta peronda (MPV) polis.
Menurut Harian Metro, kejadian yang berlaku pada jam 12.05 tengah malam di Kampung Telaga Bata, Tumpat telah menyebabkan seorang remaja berusia 19 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tragedi kemalangan motosikal yang meragut nyawa
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ketika kejadian anggotanya sedang bertugas membuat rondaan dari arah Kota Bharu menghala ke Pengkalan Kubor.
”Namun apabila tiba sahaja di lokasi, sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki dua lelaki telah keluar dari lorong sebelah kanan iaitu Kampung Telaga Bata dan masuk ke laluan MPC yang menuju ke Kampung Nechang.”
”Pemandu MPV telah menekan brek, namun secara tiba-tiba penunggang berkenaan berpatah balik ke sebelah kanan menyebabkan MPV mengelak ke kiri dan tetap melanggar motosikal berkenaan,” katanya.
Ab Rashid berkata, pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat telah dibawa ke Hospital Tumpat bagi membantu proses bedah siasat.
Tambahnya, seorang lagi penunggang motosikal berusia 17 tahun dan juga pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah agama di sini mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta luka di beberapa anggota badan lain.
Dia kini sedang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
”Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.
Tips keselamatan ketika menunggang motosikal
#1. Periksa keadaan motosikal
Ketika menaiki sebarang jenis kenderaan, pembonceng atau pemandu perlu bertanggungjawab bagi menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang. Adalah amalan yang baik untuk anda memeriksa terlebih dahulu keadaan motosikal sekurang-kurangnya sekilas pandang setiap kali sebelum menunggang.
Aspek asas mengenai motosikal adalah periksa tekanan angin tayar dan kedalaman bunga tayar. Pastikan anda menunggang sekiranya kedua-dua belah tayar selamat digunakan.
#2. Pastikan lampu dan brek dalam keadaan baik
Sebenarnya ramai penunggang yang menganggap dua perkara ini adalah remeh. Pastikan anda memeriksa lampu depan, signal dan brek agar ia berfungsi dengan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Gunakan brek dengan berhati-hati ketika hari hujan kerana jalan basah dan licin. Imbangkan tekanan brek serta lebihkan brek belakang sekiranya motosikal anda tidak memiliki sistem anti-kunci ABS.
Manakala menunggang pada waktu malam dikatakan membahayakan keselamatan diri. Ini kerana daya penglihatan lazimnya akan berkurangan apabila umur kian meningkat.
Bukan itu sahaja, kajian Lembaga Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat turut mendapati bahawa 90 peratus daripada tindak balas atau reaksi penunggang adalah bergantung pada penglihatan anda.
#3. Mengenakan pakaian yang sesuai
Sesetengah penunggang motosikal gemar mengenakan jaket bagi mengelakkan rasa panas atau sejuk ketika menggunakan jalan raya. Namun tahukah anda bahawa jika ia tidak digunakan dengan cara yang betul, juga boleh mengakibatkan kemalangan?
Sebelum ini tular mengenai kes kemalangan motosikal yang meragut nyawa apabila seorang penunggang mengenakan jaket secara terbalik dan tidak zip dengan kemas. Kesannya, jaket berkenaan telah terlekat pada sebuah lori dan mengakibatkan kecederaan pada dirinya.
Selain itu bagi wanita pula, pastikan anda memakai seluar yang tidak begitu longgar seperti skirt atau pallazo bagi mengelakkan ia tersekat pada tayar motosikal.
#4. Kurangkan laju dan sentiasa berhati-hati
Disebabkan oleh motosikal sifatnya boleh menyelit ketika berada dalam kesesakan jalan raya, namun ia bukanlah alasan untuk anda menunggang dengan laju. Hal ini kerana tayar akan menjadi kurang cengkaman, lebih-lebih lagi ketika jalan basah.
Bukan itu sahaja, sentiasa menjaga jarak motosikal anda dari belakang kenderaan lain bagi mengelakkan brek secara mengejut. Gunakan lampu signal sekiranya anda ingin menukar lorong dan pastikan melihat titik buta terlebih dahulu bagi mengelakkan anda dilanggar oleh kenderaan lain.
Kesimpulannya, sentiasalah berhati-hati ketika menggunakan jalan raya. Kesilapan sedikit boleh mendatangkan kecederaan atau kehilangan nyawa dalam sekelip mata.
Sumber: Harian Metro, Careta
Kredit foto: Google
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: