Apabila vagina terasa gatal ketika anda di luar, tentu mengundang rasa tak selesa dan resah bagaimana nak menggaru di tengah-tengah khalayak ramai. Sebenarnya kemaluan wanita gatal seperti digigit semut ini sangatlah biasa dialami.
Masalah kegatalan vagina bukan sahaja terjadi di kalangan orang dewasa, malah kanak-kanak juga mengalaminya. Dan yang pasti ketika mengandung, peratusan untuk anda mengalami rengsaan vagina amatlah tinggi akibat hormon ketika hamil.
Terdapat banyak punca atau sebab mengapa vagina terasa gatal. Dan bukanlah semuanya menjadi penyebab masalah yang serius. Anda perlu tahu seberapa kerap ia terjadi supaya anda dapat mengenal pasti punca dan cara mengatasinya.
Penyebab kemaluan wanita gatal seperti digigit semut
Gatal pada vagina dapat terjadi mungkin daripada satu atau kombinasi beberapa penyebab. Oleh itu, doktor perlu melakukan pemeriksaan untuk ketahui apa puncanya. Berikut ini adalah beberapa punca yang biasa terjadi, di antaranya:
#1. Penggunaan bahan kimia
Kemaluan wanita gatal seperti digigit semut ini boleh terjadi kerana penggunaan bahan kimia yang terdapat di dalam kondom, krim vagina, pembersih vagina atau penggunaan panty liner atau pad. Disebabkan itu sekiranya anda tahu jika anda mempunyai vagina yang sensitif penting untuk anda memilih produk-produk yang bebas dari bahan pewangi atau caroi produk yang organik.
#2. Vaginal candidiasis
Atau dikenali sebagai kandidiasis vagina. Ia adalah satu jangkitan yang disebabkan oleh penghasilan yis (yeast) yang berlebihan. Antara simptom kandidiasis vagina ini adalah rasa sakit, kemerahan dan kegatalan di bahagian vagina serta keputihan yang berlebihan. Mengikut artikel dari Center For Disease Control and Prevention dalam topik 2015 Sexually Transmitted Diseases Treatment Guidelines, lebih 75% wanita akan mengalami sekurangnya satu episod kandidiasis vagina ini. Dan lebih 45 % wanita akan mengalami dua episod jangkitan ini. Malah wanita hamil juga mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk terkena jangkitan kandidiasis vagina. Ubatan di kaunter farmasi dapat mengurangkan kegatalan vagina akibat jangkitan ini, tapi ia tidak boleh digunakan selalu.
#3. Bakteria vaginosis
Kehadiran bakteria yang sihat adalah biasa di bahagian vagina. Namun dengan kehadiran bakteria jahat akan mengakibatkan jangkitan dan rasa gatal-gatal. Selain daripada rasa gatal, nyeri dan kemerahan, anda juga akan mengalami pengeluaran keputihan yang pekat dan bau yang kurang enak.
#4. Penyakit kelamin (STD)
Penyakit kelamin seperti Herpes, klamidia, trikomoniasis dan gonore adalah beberapa jenis penyakit kelamin yang juga boleh menyebabkan vagina gatal. Namun ini adalah antara penyakit yang dikira serius. Untuk mengetahuinya anda perlu berjumpa doktor bagi mengambil sampel dari vagina anda. Barulah dapat dilakukan ujian.
#5. Menopaus
Dengan pengurangan estrogen di dalam sistem reproduksi wanita ia dapat menyebabkan dinding vagina menjadi nipis dan kering, lantas mengakibatkan iritasi dan vagina gatal. Selain itu ibu yang menyusu juga boleh menghadapi masalah yang sama.
#6. Psoriasis
Untuk wanita yang mengalami masalah kulit seperti psoriasis juga mempunyai risiko alami kegatalan di bahagian sulit. Psoriasis adalah satu penyakit kulit yang tiada penawarnya, ia adalah kegatalan pada bahagian siku, lutut dan kulit kepala. Namun ia lebih kepada bermusim, datang dan pergi pada sesuatu masa.
#7. Kanser vulva
Kegatalan vagina yang dialami juga ada kemungkinan dari kanser vulva. Kanser vulva adalah kanser kemaluan luar yang meliputi kawasan lubang untuk membuang air kecil, lubang faraj, klitoris, labia majora dan labia minora.
Sekiranya ini menjadi sebabnya, rawatan yang khusus perlu dilakukan segera. Ada kemungkinan doktor akan menyarankan pembedahan bagi membuang kanser tersebut. Namun ia hanya biasa terjadi dikalangan wanita yang berusia 60 tahun ke atas. Dan kanser ini juga terbahagi kepada empat tahap yang berbeza. Tahap satu kebiasaannya hanya kan menerima rawatan biasa tanpa pembedahan. Berbeza dengan tahap dua, tiga dan empat yang mana memerlukan pembedahan dan kemoterapi.
Bila perlu berjumpa doktor?
Sekiranya anda mengalami masalah kegatalan dalam tempoh yang lama dan keputihan anda mulai berubah warna serta berbau bolehlah segera rujuk kepada doktor. Sementara gejala seperti itu mungkin normal bagi sesetengah wanita namun ia perlu dipantau dengan teliti. Bahagian intim kita ini bukanlah boleh diambil enteng, hendak pula ia mungkin menjejaskan hubungan kelamin antara anda dan suami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Harian Metro, Alodoktor
Baca juga:
Selalu rasa gatal pada faraj seperti wanita ini? Hati-hati dengan risiko kanser vulva!