Hari demi hari, semakin banyak tip dan petua mendidik anak dan menguruskan rumah tangga yang kami kongsikan di theAsianparent Malaysia. Kepentingan ilmu keibubapaan sememangnya tidak dapat disangkal atau diragui.
Sehinggalah, kami terbaca satu perkongsian menarik dari Dr. Zainur Rashid Zainuddin di laman FBnya. Ia membuatkan kami terfikir sejenak tentang kepentingan ilmu keibubapaan dan mengapa kami perlu terus berkongsi tentangnya dengan ibu bapa di luar sana.
Dalam kita asyik berkongsi pengalaman dan petua keibubapaan, ada beberapa perkara yang perlu ditapis dan tidak perlu dihebahkan kepada umum. Apakah perkara tersebut?
Jom kita baca perkongsian Dr. Zainur Rashid.
Kepentingan ilmu keibubapaan dan pantang larang dalam berkongsi petua atau cerita
Beberapa hari yang lalu, saya bertemu dengan sepasang suami isteri hebat yang berjaya dalam kerjaya, rumah tangga dan amal kemasyarakatan.
Mereka juga mempunyai anak-anak yang baik dan berjaya semuanya.
Meskipun saya anggap mereka sebagai pasangan mithali, saya tertanya-tanya dalam hati kenapa mereka begitu berat atau ‘reluctant’ untuk berkongsi kepada orang ramai tentang “rahsia mereka” seperti menceritakan kejayaan pendidikan anak-anak.
Mungkin ia kerana mereka khuatir sesuatu yang sebaliknya boleh berlaku di kalangan anak-anak mereka.
Manakala, sepasang ibu bapa muda yang lain menceritakan betapa mereka sering dihantui kemurungan kerana anak-anak mereka yang masih kecil tidak berjaya memenuhi ‘expectation’ mereka.
Apatah lagi mereka adalah pasangan muda yang dikenali dengan kemampuan yang terserlah dalam perkongsian keibubapaan / ‘parenting tips’ sama ada di media sosial mahu pun dalam wacana keibubapaan dan kekeluargaan.
Saya tidak mempunyai jawapan yang ideal mengenai persoalan ini, melain sekadar ingin memberikan beberapa pandangan.
- Perkongsian keibubapaan adalah satu amalan yang baik kerana ia boleh membantu ramai ibu bapa di luar sana yang ingin mencari contoh ibu bapa yang berjaya.
- Perkongsian sebegini boleh membantu mereka menyelesaikan permasalahan keibubapaan yang mereka hadapi.
- Suntikan motivasi yang diberikan boleh menaikkan semangat mereka yang ‘down’ kerana letih dengan pelbagai masalah anak-anak yang tidak kunjung reda.
- Perkongsian sebegini adalah amalan baik yang berpahala dan menjadi pemberat mizan buat mereka kelak.
- Perkongsian secara ‘live’ dengan berinteraksi bersama ibu bapa mithali adalah jauh lebih berkesan daripada membaca ratusan buku-buku parenting kerana kita belajar daripada contoh hidup di depan mata.
Pesanan orang lama tentang perkongsian parenting tips
Cuma ada beberapa pesanan orang lama dalam perkongsian sebegini.
- Elakkan daripada memuji anak-anak sendiri secara berlebihan kerana kita belum pasti dengan kejayaan anak-anak kita yang masih kecil.
- Anak-anak yang kerap dipuji berlebihan boleh ‘perasan’ dengan kelebihan yang sebenarnya ‘biasa saja’ jika dibandingkan dengan anak-anak hebat di luar sana yang tidak pernah dibicarakan.
- Biar apa yang dikongsikan di media sosial berpadanan di alam nyata. Takut ada yang terkejut apabila melihat realiti sebenar jauh berbeza daripada apa yang diwarwarkan.
Sesungguhnya, sebaik-baik amalan adalah yang pertengahan dan berpasak dalam rangka mencari keredaanNya serta dijauhi anasir halus yang meresap ke lubuk hati.
Semoga Allah mengurniakan kita keluarga mithali yang berkemenjadian pada setiap sosok tubuhnya.
Kita doakan agar Allah mengurniakan keindahan dalaman yang melebihi keindahan luaran yang diperhatikan kenalan dan orang ramai.
Semoga Allah selamatkan perjalanan keluarga kami dan memberkati teman kenalan semua.
Wallahu’alam.
Jadi ibu ayah sekalian, teruskan berkongsi cerita, petua dan pengalaman anda sebagai seorang ibu atau ayah dengan orang lain.
Namun, berpada-padalah dalam bercerita atau menulis pengalaman. Takut-takut, kita terlebih memuji keluarga sendiri ketika kita berkongsi petua.
Kami juga akan melakukan yang sama; terus berkongsi tip tentang kepentingan ilmu keibubapaan, kesihatan, dan petua menjaga anak kecil sehinggalah anak remaja.
Malah, kisah serta panduan rumah tangga dan ilmu seks dalam perkahwinan juga akan turut disentuh.
Teruskan membaca, mencari ilmu, beramal dan berkongsi artikel kami jika anda merasakannya bermanfaat, ya?