Shuib Pilih Sepupu Jadi Ibu Susuan Ayash Affan, Fikir Panjang Demi Masa Depan Anak

Kepentingan susu ibu untuk bayi pramatang adalah lebih baik berbanding susu formula. Justeru Shuib telah memilih sepupu sebagai ibu susuan untuk bayinya

Pemergian penyanyi dan usahawan, Siti Sarah telah meninggalkan kesan mendalam terhadap seluruh rakyat Malaysia. Jangkitan Covid-19 yang dialaminya telah memaksa doktor mengeluarkan bayi lebih awal melalui pembedahan. Justeru kepentingan susu ibu diperlukan untuk menyokong tumbesaran bayi pramatang.

Pastinya membesarkan anak-anak seorang diri bukan sesuatu yang mudah. Pelawak popular, Shuib Sepahtu mengakui berdepan cabaran membesarkan empat cahaya mata dan risau bagaimana untuk menguruskan bayi pramatang, Ayash Affan.

Kepentingan susu ibu untuk bayi pramatang, Shuib pilih sepupu sebagai ibu susuan

kebaikan susu ibu

Menurut Shuib, sejak dilahirkan Ayash bergantung kepada susu formula. Doktor telah menyarankannya untuk mendapatkan bekalan susu daripada ibu susuan agar memperoleh nutrisi yang mencukupi.

Hal ini telah membuatkan Shuib berfikir panjang dan perlu merujuk kepada ustaz untuk mendapatkan jalan penyelesaian mengenai ibu susuan.

Justeru usahawan berusia 37 tahun berkenaan telah memilih untuk mendapatkan susu ibu dalam kalangan keluarga sendiri untuk anak pramatangnya.

”Menerusi satu sesi temu bual TV baru-baru ini, Shuib memutuskan untuk menjadikan sepupunya sebagai ibu susuan kepada Ayash Affan.”

Shuib turut mengatakan bahawa keputusan tersebut dibuat setelah perbincangan sesama ahli keluarga.

Bapa kepada empat orang anak itu turut meluahkan rasa syukur kerana ada dalam kalangan keluarga iaitu sepupunya yang baru sahaja melahirkan anak dalam enam bulan.

Bukan itu sahaja, Shuib turut berasa bimbang akan masa depan Ayash sekiranya anaknya mendapatkan susu badan daripada orang luar.

”Takut juga kemudian hari nanti kita tidak tahu apa yang jadi. Takut terkahwin dengan darah daging sendiri, boleh jadi masalah nanti. Jadi, saya telah buat keputusan untuk ambil ibu susuan dalam kalangan ahli keluarga,” jelasnya.

Shuib sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan artis dan semua yang berniat membantunya bagi mendapatkan susu ibu. 

”Saya berharap Allah membalas ganjaran kepada semua yang ada sejak hari pertama bersama-sama dengan saya. Terima kasih juga kerana mendoakan kekuatan untuk diri saya,” kata Shuib.

Terdahulu Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, 36 telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5.13 pagi pada 9 Ogos 2021 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kepentingan susu ibu, bayi memerlukan nutrisi yang lengkap

susu ibu untuk bayi pramatang

credit to sources

Menjaga dan menguruskan bayi pramatang tidak sama dengan bayi yang cukup bulan kerana ibu ayah perlu lebih berwaspada dalam segenap perkara. 

Disebabkan oleh usia yang belum matang, bayi mungkin berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi kerana sistem ketahanan tubuh masih belum kuat.

Penggunaan susu formula dan supplemen sebenarnya tidak dapat menyediakan antibodi dan faktor pelindung lain seperti yang terdapat dalam susu ibu.

Pakar menegaskan bahawa susu ibu adalah ‘ubat’ paling mujarab untuk bayi pramatang terutamanya yang berdepan masalah kurang berat badan.

Antara kepentingan susu ibu adalah: 

#1. Bayi pramatang mempunyai sistem pencernaan yang belum matang. Susu ibu adalah makanan paling sempurna untuk perut kecil mereka. Hasil kajian mendapati bahawa bayi pramatang mampu mencerna susu ibu dengan lebih baik berbanding susu formula.

manfaat susu ibu

credit to sources

#2. Mengurangkan risiko jangkitan. Kandungan karbohidrat dalam susu ibu dapat membantu mencegah bakteria yang ‘melekat’ pada membran mukus bayi. Bukan itu sahaja, susu ibu dapat mengelakkan bayi kerap jatuh sakit.

#3. Menurunkan risiko masalah penyakit. Penyusuan susu ibu dapat menurunkan risiko penyakit seperti sepsis, meningitis dan pernafasan bayi pramatang (radang paru-paru dan bronkiolitis).

#4. Susu ibu kaya dengan pelbagai nutrien yang membantu menyokong pertumbuhan otak dan sistem saraf.

Ia turut mempunyai sel kekebalan dan bahan lain dalam mencegah jangkitan. Sudah tentu susu ibu menjadi makanan pertama yang sempurna untuk membantu si manja anda mencapai perkembangan ideal.

Kajian mendapati lebih banyak lemak, protein, mineral natrium, klorida dan zat besi dalam susu ibu berbanding susu formula. Variasi ini adalah baik untuk bayi pramatang.

Gambar bayi sekadar hiasan

Di theAsianparent Malaysia, penting bagi kami untuk membekalkan anda maklumat yang betul, penting dan tepat pada masanya. Tetapi ini tidak berfungsi sebagai alternatif untuk nasihat perubatan atau rawatan perubatan. theAsianparent Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap mereka yang memilih untuk mengambil ubat berdasarkan maklumat daripada laman web kami. Jika anda mempunyai sebarang keraguan, kami mengesyorkan agar anda berunding dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca juga: Sebelum Sanggup Menderma @ Menjadi Ibu Susuan, Teliti Dahulu Perkara Penting Ini!

Baca juga: Susu Ibu Bagus Untuk Nutrisi Anak & Mampu Merawat Kulit Kering? 

Baca juga: Wanita Lepas Bersalin Digalak Makan 8 Jenis Sayuran Ini, Ia Boleh Tambah Susu Ibu!

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!