Anda Perlu Berjaga-jaga Terhadap Penyakit Ini! Doktor Ini Berkongsi Pengalamannya Dengan Rotavirus

Cirit-birit mungkin sesuatu yang biasa, namun jika anak anda diserang cirit-birit berterusan, ia mungkin petanda jangkitan Rotavirus.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Situasi apabila anak-anak mengalami cirit-birit adalah pengalaman yang pasti tidak menyenangkan bagi setiap ibu bapa. Cirit-birit atau ‘diarrhoea’ ialah keadaan kerap membuang air besar dan pembuangan najis cair yang berlebihan. Kebiasaannya, cirit-birit berlaku sebagai tanda radang pada usus yang disebabkan jangkitan1. Ia menyebabkan usus tidak dapat menyerap cecair dari makanan dan minuman yang dicernakan lalu terus mengeluarkannya melalui najis secara kerap2

Biasanya, cirit-birit adalah sesuatu yang tidak serius dan akan sembuh dengan sendirinya selepas beberapa hari2. Namun, tahukah anda, di Malaysia kira-kira 22% – 50% dari kes cirit-birit yang berlaku pada kanak-kanak adalah disebabkan oleh Rotavirus3?

Jadi sudahkah anda mempertimbangkan imunisasi Rotavirus? Ketahui lebih lanjut tentang penyakit berjangkit ini. 

theAsianparent telah menemubual Dr. JoAnn Rajah, Doktor Pakar Kanak-kanak dari FirstStep Child Specialist Clinic untuk mendapatkan informasi dan pendapat pakar tentang kepentingan vaksinasi berkaitan jangkitan Rotavirus. Ikuti pengalaman doktor pakar ini merawat kes Rotavirus sepanjang kerjayanya.

Punca Rotavirus

Rotavirus ialah virus yang mudah berjangkit dan tersebar melalui najis seseorang yang telah dijangkiti4. Jangkitan rotavirus biasanya dikaitkan dengan persekitaran dan pengendalian makanan yang tidak bersih4.

Cara penyebaran Rotavirus adalah melalui ‘fecal-oral’ iaitu virus merebak melalui pendedahan daripada najis daripada tangan atau permukaan tercemar ke mulut kanak-kanak4. Ini biasanya terjadi sekiranya tangan tidak dicuci dengan bersih atau melalui makanan dan minuman yang telah dicemari virus4.

 Berikut adalah apa yang ibu bapa perlu tahu tentang kitaran penyebaran Rotavirus:

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan
  • Seseorang yang dijangkiti Rotavirus boleh menyebarkan virus daripada najisnya selama 10 hari, walaupun mereka tidak menunjukkan sebarang simptom4.
  • Rotavirus boleh hidup pada permukaan yang kering selama 10 hari dan pada permukaan yang basah selama berhari-hari atau berminggu-minggu5.
  • Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak mengamalkan kebersihan kendiri yang baik selepas menggunakan tandas, mereka boleh memindahkan Rotavirus dari tangan mereka terus kepada anak-anak atau melalui makanan dan minuman4.
  • Kanak-kanak yang sudah dijangkiti Rotavirus juga boleh memindahkan virus apabila tangan mereka menyentuh peralatan atau permukaan lain selepas mereka menggunakan tandas4.
  • Kanak-kanak boleh dijangkiti sekiranya mereka menyentuh peralatan atau permukaan yang tercemar dengan Rotavirus (contohnya pakaian, tilam, alat mainan, perkakas dapur, pemegang pintu dan alat tulis), lalu seterusnya menyentuh mulut mereka4.

Tanda-tanda dan Gejala Apabila Anak Anda Terkena Jangkitan Rotavirus4 

  • Cirit-birit
  • Muntah
  • Demam
  • Sakit perut

Gejala-gejala utama ini biasanya bermula dalam masa dua hari selepas kanak-kanak terdedah kepada Rotavirus dan cirit-birit yang dialami biasanya berterusan selama 3 hingga 8 hari6. Kebanyakan kanak-kanak boleh menjangkiti orang lain sehingga 10 hari setelah simptom mulai reda4. Namun harus diingati bahawa simptom mungkin berlainan untuk setiap kanak-kanak6.

Bahaya Rotavirus

Dehidrasi adalah komplikasi serius Rotavirus dan penyebab utama kematian kanak-kanak. Imej untuk tujuan ilustrasi sahaja, bukan pesakit sebenar 

Rotavirus merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh jangkitan virus pada lapisan gastrousus yang biasanya terjadi dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah3,4.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Memandangkan ia biasanya terjadi kepada kanak-kanak yang masih kecil, ibu bapa harus mengambil langkah berjaga-jaga terhadap komplikasi yang mungkin timbul daripadanya, seperti dehidrasi atau kekurangan air dalam badan akibat muntah dan cirit-birit yang teruk3. Ia boleh membahayakan nyawa terutamanya terhadap bayi dan kanak-kanak.

Dehidrasi boleh berlaku dalam masa beberapa jam sahaja selepas mengalami cirit-birit dan muntah, jadi jangan berlengah-lengah untuk mendapatkan rawatan jika terdapat simptom dehidrasi seperti mulut kering, kekurangan buang air kecil (lampin kering), tidak mengeluarkan air mata ketika menangis, ubun-ubun mencekung, mata cekung, dan ketidakselesaan8.

Soalan : Benarkah jangkitan Rotavirus boleh mengancam nyawa? Bolehkah doktor berikan penjelasan lebih lanjut mengenai komplikasi yang disebabkan oleh Rotavirus?

Dr. JoAnn Rajah: Ya, jangkitan Rotavirus kadangkala boleh membawa maut. Gejala jangkitan Rotavirus seperti muntah dan cirit-birit, boleh menyebabkan kehilangan air yang berlebihan dari badan, dipanggil dehidrasi. Dehidrasi teruk adalah keadaan yang mengancam nyawa yang tidak boleh dipandang ringan. Komplikasi serius dehidrasi teruk termasuk kerosakan otak, sawan, pembentukan darah beku, dan kematian.* 

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Vaksin Rotavirus

Menurut satu kertas laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai Vaksin Rotavirus, bertarikh 16 Julai 2021, setiap tahun antara 2013-2017, kira-kira 122,000-215,000 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat Rotavirus7. WHO mengesyorkan vaksin Rotavirus disenaraikan dalam program imunisasi setiap negara7

Di Malaysia, walaupun vaksin Rotavirus tidak disenaraikan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, ia boleh didapati di klinik dan hospital swasta8.

Kajian mendapati vaksin ini dapat mengurangkan risiko kemasukkan wad untuk jangkitan cirit-birit dan kes jangkitan Rotavirus untuk semua tahap. Ini bermaksud kebanyakan kanak-kanak yang menerima vaksin ini dilindungi daripada jangkitan Rotavirus yang teruk9.

Soalan: Bolehkah doktor kongsikan dari pengalaman doktor sendiri merawat kes-kes Rotavirus dalam kalangan kanak-kanak, adalah doktor mempunyai apa-apa pemerhatian atau pandangan sepanjang kerjaya beliau?

Dr. JoAnn Rajah: Daripada pemerhatian saya, kanak-kanak di bawah umur 3 tahun cenderung mengalami simptom jangkitan Rotavirus yang lebih teruk, menyebabkan dehidrasi dan kadar kemasukan ke hospital yang lebih tinggi.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Tidak lama dahulu, saya melihat seorang bayi berusia 5 bulan mengalami muntah-muntah dan cirit-birit di klinik. Dia merupakan kontak rapat kepada beberapa bayi lain di taskanya yang telah didiagnosis dengan jangkitan Rotavirus. Kami juga perhatikan peningkatan kes-kes Rotavirus, ini amat membimbangkan.*

Mencegah Rotavirus

  • Menjaga kebersihan4,6

Amalkan penjagaan kebersihan kendiri yang baik. Sentiasa cuci tangan dengan teliti terutamanya selepas anda menggunakan tandas dan ketika menyediakan makanan.

Jika anak anda dijangkiti Rotavirus, bersihkan mainan, peralatan tempat tidur, pakaian dan benda lain yang telah disentuh serta permukaan yang bersentuhan dengan meja tukar lampin atau sinki najis. Gunakan pembersih nyahkuman.

  • Elakkan kontak rapat6

Rotavirus sangat mudah berjangkit. Ia merebak dengan cepat di kalangan keluarga, pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah. Jadi, jika anda atau anak anda menghidap Rotavirus, anda boleh membantu menghentikan penyebaran penyakit dengan mengamalkan kuarantin di rumah dan menjauhi aktiviti keramaian, pusat jagaan kanak-kanak, sekolah, tempat kerja atau tempat lain di mana anda boleh menyebarkan jangkitan.

  • Vaksin3

Vaksin Rotavirus telah meningkatkan kesihatan kanak-kanak dengan ketara dan mengurangkan kadar kemasukan ke hospital. Walaupun vaksinasi bagi Rotavirus bukan sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), vaksin Rotavirus diterima dengan baik dan mampu memberikan perlindungan yang baik daripada jangkitan Rotavirus.

Loading...
You got lucky! We have no ad to show to you!
Iklan

Soalan: Apakah nasihat doktor untuk para ibu dan bapa dalam melindungi anak mereka dari Rotavirus, terutamanya ibu bapa yang berpendapat bahawa vaksin Rotavirus tidak penting memandangkan ia tidak disenaraikan dalam Program Imunisasi Kebangsaan?

Dr. JoAnn Rajah: Walaupun vaksin Rotavirus masih belum dimasukkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), tidak bermakna ia kurang penting berbanding vaksin lain. Rotavirus merebak dengan cepat dalam kalangan kanak-kanak, dan hampir 90% kanak-kanak akan dijangkiti virus ini dalam jangka masa 5 tahun pertama mereka, walaupun dengan pelbagai langkah pencegahan. Oleh sebab tiada rawatan khusus untuk jangkitan Rotavirus, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.*

PENUTUP

Lazimnya, jangkitan Rotavirus hanya memerlukan masa untuk sembuh dengan sendirinya tanpa sebarang rawatan khusus. Untuk mengawal jangkitan, pastikan anak anda selesa dan ambil langkah yang perlu untuk mengelakkan dehidrasi. Kebanyakan kanak-kanak akan pulih daripada jangkitan Rotavirus tanpa sebarang kesan sampingan yang teruk10.

Namun begitu, ibu bapa tidak seharusnya mengambil mudah tentang jangkitan Rotavirus kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi. Dehidrasi boleh terjadi dengan cepat pada kanak-kanak yang masih kecil sehingga menyebabkan komplikasi serius dan boleh membawa maut10

Selain daripada mengamalkan penjagaan kebersihan yang baik, vaksin adalah salah satu cara pencegahan terhadap jangkitan Rotavirus. Kanak-kanak yang divaksinasi sama ada mendapat imuniti daripada jangkitan Rotavirus yang teruk atau tidak akan dijangkiti Rotavirus sama sekali. Jadi, dalam kes ini, mencegah sememangnya lebih baik daripada mengubati. Pastikan anak dan keluarga anda sihat, dan bantu lindungi orang lain daripada Rotavirus dengan memutuskan rantaian jangkitan.

Berbincang dengan doktor anak anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang Rotavirus dan cara pencegahan termasuk vaksin yang sesuai untuk melindungi anak anda daripadanya. Kami berharap artikel ini memberi panduan kepada ramai ibu bapa di luar sana.

*Maklumat ini disediakan sebagai perkhidmatan profesional oleh MSD. Pandangan yang dinyatakan dalam penerbitan mencerminkan pengalaman dan pendapat penulis.

REFERENCES:

  1. World Health Organization. Diarrhoeal disease. Available From: https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/diarrhoeal-disease. Last Accessed 30 Sep 2022.  
  2. Better Health Channel. Diarrhoea. Available From: https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/diarrhoea. Last Accessed 30 Sep 2022.    
  3. Portal MyHealth. Rotavirus Vaccine. Available From: https://www.myhealth.gov.my/en/Rotavirus-vaccine/. Last Accessed 30 Sep 2022.    
  4. Mayo Clinic. Rotavirus. Available From: https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/Rotavirus/symptoms-causes/syc-20351300. Last Accessed 30 Sep 2022.  
  5. Ansari SA, Springthrope VS & Sattar SA. Survival and Vehicular Spread of Human Rotaviruses: Possible Relation to Seasonality of Outbreaks. Reviews of Infectious Diseases [Internet]. 1991(13);3.
  6. Stanford Medicine Children’s Health.  Rotavirus Infection in Children. Available From: https://www.stanfordchildrens.org/en/topic/default?id=Rotavirus-infection-in-children-90-P02540. Last Accessed 30 Sep 2022. 
  7. World Health Organization. Summary of the WHO position paper on Rotavirus vaccines WHO position paper- 16 July 2021. Available From: https://cdn.who.int/media/docs/default-source/immunization/position_paper_documents/rotavirus/rotavirus-summary-23july-2021.pdf?sfvrsn=8c06e9d8_7.  Last Accessed 30 Sep 2022. 
  8. Immunize4Life.  5 Additional Recommended Vaccines forChildren. Available From: https://immunise4life.my/5-additional-vaccines-for-children/. Last Accessed 30 Sep 2022.
  9. Burnett E, Parashar UD & Tate JE. Real-world effectiveness of rotavirus vaccines, 2006–19: a literature review and meta-analysis. Lancet Glob Health [Internet]. 2020(8). 
  10. Cleveland Clinic. Rotavirus. Available From: https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/8275-rotavirus. Last Accessed 10 Nov 2022.