Bayi Dirogol Dan Didera Suami Pengasuh Hingga Pecah Tempurung Kepala Maut

Kes dera bayi semakin menjadi-jadi di Malaysia. Tebaru, seorang bayi dirogol dan didera oleh suami pengasuh hingga meninggal dunia.

Kes dera bayi semakin menjadi-jadi di Malaysia sekarang. Berita terbaru tentang seorang bayi perempuan yang didera dan dirogol oleh suami pengasuh ini pasti akan buat kita rasa sedih dan marah.

Bayi perempuan malang ini meninggal dunia pada hari Sabtu, 10 November selepas dua hari terlantar kritikal di hospital.

Kes dera bayi: Bayi didera dan dirogol hingga pecah tempurung kepala

Nur Muazara Ulfa Muhammad Zainal (Zara) baru saja berusia sebelas bulan ketika dia pergi meninggalkan ibu bapa tercintanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, ibu bapa bayi ini - Noraihan Ab Aziz, 22 and Muhammad Zainal Abduk Rahaman, 27 - tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan pengasuh anak mereka.

Mereka telah menghantar Zara ke sana sejak bulan September. Pada hari Rabu 7 November, ibu bapa Zara telah menghantar Zara ke rumah pengasuh seperti biasa dan dalam keadaan sihat.

"Menurut laporan ibu mangsa, ketika dia menghantar anaknya ke rumah pengasuh pagi itu, mangsa berada dalam keadaan kesihatan yang baik.
 
Tapi, mangsa dikatakan telah mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke Klinik Bandar Baru Bangi sebelum dirujuk untuk ke Hospital Serdang.
 
Pemeriksaan lanjut menemui kesan koyakan di selaput dara mangsa dan anus mangsa juga turut terkoyak." kata ACP Dzaffir.

Bedah siasat yang dijalankan oleh Hospital Serdang menemui punca utama kematian Zara adalah disebabkan impak objek tumpul pada kepala, menyebabkan tengkoraknya retak.

Kedua pengasuh dan suaminya telah ditahan.

ACP Dzaffir juga mengesahkan yang air kencing suami pengasuh ini positif dadah jenis methamphetamine.

Badan Zara lebam dan dia kerap menangis

Noraihan berkata, dia menyedari terdapat kesan lebam pada lengan, paha dan dahi Zara, dua minggu lalu.

“Pengasuh memberitahu kesan lebam itu akibat digigit anak lelakinya. Malah, bibir dan gusi Zara mula membengkak menyebabkan dia tidak mahu menyusu serta kerap menangis. Keadaan Zara menyebabkan kami tidak menghantar dia ke rumah pengasuh bagi tempoh beberapa hari selepas itu. Saya dan suami kemudian menghantar kedua-dua anak ke rumah kakak di Klang, namun Zara kerap menangis menyebabkan saya terpaksa menghantar semula dia ke rumah pengasuh pada Rabu lalu. Sebelum kejadian kira-kira jam 9 pagi (Rabu lalu), saya sempat menghantar mesej menerusi WhatsApp bertanyakan mengenai keadaan Zara. Pengasuh memberitahu Zara tidak meragam apabila bersamanya, namun dia menangis apabila melihat suaminya. Pihak polis memaklumkan sepanjang tempoh saya menghantar anak di bawah jagaan pengasuh, Zara dijaga sepenuh masa oleh suaminya kerana lelaki itu beranggapan isterinya seorang yang lembab membuat kerja, kata ibu ini."

Kes dera bayi buat netizen terkejut dan marah

Berita kes dera bayi dan dirogol ini telah membuatkan netizen terkejut dan marah. Mereka juga mahu kerajaan Malaysia menjatuhkan hukuman pada pelaku yang membuat jenayah terkutuk ini.

Ramai orang menyoal tentang kemerosotan masyarakat kerana kes bayi didera, dirogol dan dicabul semakin banyak terjadi.

Kes dera bayi ini berlaku hanya beberapa bulan selepas kes bayi meninggal di rumah pengasuh dan disumbatkan dalam peti sejuk.

Kes dera bayi: Ibu bapa Zara kecewa

Ibu Zara, Noraihana yang bekerja di sebuah kilang di Bandar Baru Bangi mengatakan yang mereka  akan ingat kematian anaknya seumur hidupnya.

Bercakap dengan Bernama, ibu yang masih bersedih ini berkata,

"Saya reda dengan pemergian Zara, namun perasaan sakit hati masih ada selagi pelakunya tidak menerima balasan setimpal atas perbuatan keji itu. Selagi pelaku itu tidak ditahan, selagi itu hati saya tidak senang. Saya mahu individu yang melakukan perkara itu diberikan hukuman atas perbuatan dilakukan,”

Dia juga menceritakan tentang hari anaknya diserang. Noraihan berkata, pada petang Rabu, dia telah dihubungi oleh pihak hospital dan diberitahu anaknya sedang berada dalamkeadaan kritikal.

"Pengasuh menghubungi saya sebanyak lima kali tetapi telefon saya tak ada isyarat ketika itu. Ketika saya jumpa pengasuh, dia merasa terkilan dengan kejadian ini tapi suaminya hanya tenang seperti tak ada apa berlaku." 

Noraihan tak mengenali pengasuh ini secara peribadi sebelum menghantar anaknya. Dia dikatakan terjumpa wanita ini di Facebook ketika wanita ini mengiklankan tentang servis menjaga anak.

Ibu ini berkata, ketika dia melawat tempat sebelum hantar anaknya mengasuh buat kali pertama, dia tak jumpa apa-apa yang mencurigakan dan suami wanita ini tak ada di rumah ketika itu.

Kini, ibu ini menggesa semua ibu bapa untuk berhati-hati semasa memilih pengasuh anak.

"Damailah kau di sana sayang... Tunggu ibu di syurga... Ibu halalkan susu yang mengalir di dalam badan anak ibu... anak syurga ibu."  tulis Noraihan di Facebook.

Kami mengucapkan takziah pada keluarga ini dan berharap mereka terus kuat untuk sembuh dari kesedihan ini.

Kami juga berharap pelaku akan mendapat hukuman yang setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

 

 

 

 

 

 

 

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Sumber : TheAsianparent Singapore, Facebook, Berita Harian

Baca juga:

Penulis

Nadia Ghafar