Tiada siapa tahu bilakah ajal akan datang menjemput. Perjalanan kenderaan yang dinaiki oleh 4 beranak telah ditakdirkan terlibat dalam sebuah tragedi. Kesan kemalangan jalan raya berkenaan menyebabkan dua beradik menjadi yatim piatu dalam sekelip mata.
Pastinya ia adalah detik hitam yang mungkin akan memberikan kesan terhadap keadaan emosi kanak-kanak terbabit kerana kehilangan ibu ayah tercinta pada usia yang masih kecil.
Kesan kemalangan jalan raya
Difahamkan, kereta yang dinaiki oleh mangsa telah terbabas di Kilometer 20.8, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pada 10 Mei lalu.
Walau bagaimanapun, lebih menyedihkan kerana tiada siapa yang melalui kawasan berkenaan menyedari akan kesan kemalangan jalan raya tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Supt Tok Beng Yeow, selepas 12 jam, barulah ia disedari oleh pihak penyelenggaraan Propel PLUS dalam keadaan yang menyayat hati.
Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 11 malam ketika mangsa adalah seorang jurutera dan isterinya, pegawai kaunselor di salah sebuah hospital. Mereka bersama dua orang anak lelaki berusia 6 dan 4 tahun dalam perjalanan dari Muar menuju ke Johor Bahru.
Hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Caldina yang dipandu oleh ketua keluarga berkenaan gagal dikawal setelah tayar belakang bahagian kiri pecah. Kemudiannya, ia terbabas kira-kira 100 meter ke kiri bahu jalan dan melanggar sebuah pokok.
”Kesan kemalangan jalan raya itu, pasangan suami isteri di bahagian pemandu dan penumpang hadapan, Herry Mohd Ali, 43 dan Khairrunisa Azman, 34 telah tersepit. Kedua-dua anaknya, Anas Ayyash, 6, dan Ahmad Huzaifah, 4, yang berada pada tempat duduk belakang tercampak keluar berhampiran kereta,”
”Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di pelbagai bahagian dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala, kedua-dua anaknya ditemui pengsan dan mengalami cedera ringan,” tambahnya.
Mayat kedua-dua pasangan berkenaan telah dibawa ke Hospital Kulai untuk dibedah siasat dan dua anaknya menerima rawatan di hospital yang sama sementara waris mereka dihubungi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Dalam kenyataan oleh Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai, Bakhtiar Selamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.53 pagi dan mengambil masa selama 30 minit untuk mengeluarkan mayat suami isteri berkenaan.
Hampir 20 maut setiap hari di jalan raya
Apabila meneliti semula laporan kemalangan jalan raya di Malaysia, angkanya amat menggerunkan.
Menurut statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sebanyak 19,515 kemalangan telah dicatatkan di seluruh negara. Berdasarkan jumlah berkenaan, negeri Selangor mencatatkan kematian paling tertinggi, diikuti dengan Johor, Perak, Pahang dan Kedah.
Op Selamat yang dilakukan tahun sebelum ini telah mengeluarkan sebanyak 266,294 saman atas pelbagai kesalahan.
Purata kes kemalangan maut di jalan raya pada tahun 2019 pula adalah sekitar 7 000 hingga 8 000 orang setahun. Ia bermakna dianggarkan 20 orang maut setiap hari, manakalah lebih 25 000 orang cedera setiap tahun.
Kadar kematian di jalan raya ini meletakkan Malaysia sebagai tempat ketiga tertinggi di dunia mengatasi negara India dan China.
Menurut laporan oleh Bloomberg pada 2017 merekod stastistik Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) 2013, Malaysia bakal menjadi negara antara paling berisiko apabila menjadi pengguna jalan raya selepas Thailand dan Afrika Selatan.
Kadar kemalangan maut di Malaysia masih dianggap sangat tinggi kerana ia hampir menyamai angka purata negara yang berpendapatan rendah. Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sejumlah 80.6 peratus kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian manusia, memandu secara gopoh dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.
Fenomena ini semestinya tidak dapat dielakkan. Kesan kemalangan jalan raya adalah sangat besar kerana ia membabitkan masa depan individu, keluarga masyarakat dan negara. Kini, Malaysia mempunyai kadar pemilikan kenderaan ketiga tertinggi di dunia. Data menunjukkan 93 peratus isi rumah memiliki kereta, bermakna hanya 7 peratus sahaja tidak memilikinya.
Sumber: Bernama, Sinar Harian
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Baca juga:
https://my.theasianparent.comsuami-isteri-kemalangan-hangus