Dalam tak sedar, anda mungkin bersikap pentingkan diri sendiri dengan alasan mahukan me-time! Tahu tak kesan mengabaikan keluarga terutamanya anak-anak boleh mempengaruhi emosi mereka?
Orang kata bila sudah berkahwin dan berkeluarga, kehidupan terus berubah sama sekali. Kenyataan ini ada kebenarannya kerana tumpuan yang sebelum ini terhadap diri sendiri perlu dialihkan kepada anak-anak atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab.
Tetapi ada masanya ibu bapa mencuri sedikit masa untuk sesi me-time bagi melakukan aktiviti kesukaan. Mengikut penelitian, me-time sebenarnya baik untuk mengekalkan kesihatan mental apatah lagi buat ibu atau ayah yang bersama anak-anak seharian.
Namun tanpa disedari, sesetengah ibu bapa terlalu kerap pula menghabiskan masa untuk diri sendiri sampaikan kurang masa bersama anak-anak.
Iyalah, mungkin pada mulanya sekadar me-time sahaja, lama kelamaan terbiasa pula sebab ada orang lain yang jagakan anak.
Kesan Mengabaikan Keluarga: Ibu Bapa Pentingkan Diri Sendiri Sebab Sibuk Mahukan Me-Time
Dalam perkahwinan, tanggungjawab lelaki dan wanita bukan sahaja di antara satu sama lain apabila telah mempunyai cahaya mata.
Jadi ibu bapa kenalah sentiasa beringat yang si anak memerlukan perhatian orang tua, apatah lagi pada usia yang masih kecil.
Kesan mengabaikan keluarga bukan sahaja pada si kecil tau, malah pada ibu bapa juga satu hari nanti. Kita pasti tidak mahu anak-anak pula yang abaikan kita pula nanti kan?
Perkongsian Intan Dzulkefli mungkin boleh membuka mata sesetengah ibu bapa yang bersikap pentingkan diri sendiri tanpa disedari:
Ada orang kata, kalau suami jenis sibuk dengan hobi. Eh… awak janganlah beralah je, carilah hobi juga. Dia boleh berhari-hari tak balik sebab pergi trip motor, pergi memancing. Awak pun joinlah aktiviti hiking ke, cycling ke tak payah balik juga berhari-hari. Puaskan hati tu.
Kalau suami jenis asyik main game, ehhh… Apa duk tepi je, install game jugak, ha lawan, lawan! Tak payah masak, tak payah kemas rumah. Gasak!
Kalau dia asyik jenis menghadap telefon je usha awek cantik, seksi dekat Instagram. Haaa awak pun melawa lepas tu post la selfie dekat medsoc, jangan ingat kita ni buruk sangat.
Selalu nampak ada kata-kata mengapikan begini.
Namun, cubalah fikir, kalau suami dan isteri cuma sibuk fikirkan diri sendiri, siapa yang jadi mangsanya?
Ibubapa sibuk dengan telefon, lihatlah siapa yang terpinga-pinga dan terabai?
Ya. Anak-anak.
Mereka memerhatikan.
Suami ego membawa ke haluan A. Isteri ego membawa diri ke haluan B. Bertentangan masing-masing membesarkan ego.
Siapa yang terabai?
Ya. Anak-anak.
Ayah pergi memancing berhari-hari. Emak pergi trip dengan besties pun berhari-hari. Yelah, nak ME-TIME.
Anak-anak ditinggalkan dengan atuk nenek, atau pengasuh atau jiran, atau saudara-mara.
Lepas tangan terus. Allah…
Memang mereka hidup juga, makan juga, mandi macam biasa. Namun, percayalah ada RUANG KOSONG dalam hati mereka kerana ruang itu sepatutnya diisi oleh ibubapa mereka.
Jangan salahkan anak-anak. Mereka tak salah.
Mereka tak lahir dengan tiba-tiba atas muka bumi ini melainkan atas natijah perbuatan dan perhubungan ibubapanya jugalah kan.
Samada ‘semua’ itu berlaku dengan suka, terpaksa, waras atau emosi, itu belakang cerita kerana akhirnya anak-anak itu telah pun lahir dan meminta pertanggungjawaban ibubapanya.
Tanggung amanah di dunia, menjawab depan Allah di akhirat.
Begitulah beratnya makna ‘amanah’.
Rumahtangga islam yang bersifat memimpin, melindungi, serta ada fokus yang jelas tentang aqidah, ibadah dan akhlak tentunya bukan lahir dari suami isteri – ibubapa yang lalai dan mementingkan diri.
Sebab itu, perhalusilah semula niat kita semasa bersetuju untuk bernikah. Apakah cuma tentang diri kita sahaja?
Ada orang sayang aku.
Ada orang yang hargai aku.
Ada orang yang serve aku.
Ada orang sediakan makan minum, pakai.
Ada orang yang belanja aku.
Ada orang yang uruskan hal aku, rumah aku, anak-anak aku.
Ada orang yang jaga aku.
Apakah semuanya tentang diri kita sahaja?
Maka apabila pasangan gagal mencapai expectations kita, lalu kita pun rasa dia useless dan tekad menghulur salam perpisahan?
Takpa… Yang penting, diri sendiri! Begitu?
Apabila ibubapa berpisah dan gagal menjadi ibubapa yang baik, tetap juga anak-anak yang menjadi mangsa.
Ya, anak-anak!
Oleh itu, wahai suami, wahai isteri… tambahan yang sudah menjadi ibu dan bapa, perhalusi semula tujuan kita bernikah.
Tak apa, 3 tahun atau 5 tahun terbazir kerana kekhilafan kita… Berani mengaku salah serta ubahlah.
Bila mana seseorang mengambil keputusan untuk berumahtangga, ingatlah, ia bukanlah lagi tentang diri sendiri semata-mata.
Lihatlah pasangan, lihatlah anak-anak. Lihat mata mereka.
Merekalah selamanya amanah kita. Allah akan tanya kelak di akhirat sana. Ingat tu..
#intandzulkefli
#randomthoughts
Ada benarnya kata-kata Puan Intan kan? Anak-anak masih memerlukan perhatian dan bimbingan ibu bapa, jadi sebaik-baiknya luangkan masa dengan kerap bersama mereka, bukannya melebihkan hobi pula!
Semoga bermanfaat.
Untuk dapatkan lebih banyak informasi dari theAsianparent Malaysia, boleh terus download Aplikasi Keibubapaan #1 Di Asia Tenggara kami.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Facebook Intan Dzulkefli
Baca juga:
Surat Seorang Suami Tentang Isteri Yang Mahu Me Time, "Pergilah Sayang, Bahagiakan Dirimu."