Kita selalu perhatikan anak semasa keluar untuk memastikan mereka selamat. Tapi tahukah anda keselamatan di rumah juga sama penting kerana rumah anda sendiri berisiko untuk keselamatan anak?
Sedar tentang apa risiko yang anak anda boleh alami ketika di rumah adalah cara yang paling penting untuk mengelak kemalangan.
Jadi, pastikan sembilan barang berbahaya untuk anak anda ini dijauhkan untuk memastikan keselamatan di rumah.
Keselamatan di rumah: 9 barang berbahaya untuk anak yang ada di rumah
1. Tab mandi
Sama ada air di dalam tab mandi, kolam renang mudah alih atau akuarium yang besar, kanak-kanak boleh berada dalam keadaan bahaya kerana mereka boleh lemas dalam air yang kurang dari 2 inci.
Untuk mengelakkan kemalangan, JANGAN sesekali tinggalkan anak anda berseorangan di dalam tab mandi walaupun untuk beberapa saat.
Jika anda ada kolam renang atau kolam ikan, pastikan anak tak boleh jatuh ke dalamnya.
2. Soket elektrik
Semasa memeriksa keselamatan di rumah, tutup soket elektrik sebelum anak anda mula merangkak.
Ini untuk mengelakkan mereka dari meletakkan jari kecil mereka ke dalam soket. Pastikan penutup soket itu juga ketat dan tak boleh dibuka dengan mudah lebih-lebih lagi jika soket tersebut rendah dan mudah dicapai.
3. Laci
Sentiasa pastikan laci dan almari dilekatkan ke dinding supaya ia tak terjatuh di atas anak dan menyebabkan kemalangan yang tak diingini.
4. Tali bidai tingkap
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Pakar kanak-kanak, 17,000 kanak-kanak bawah 6 tahun mengalami kecederaan atau kematian berkait dengan tali bidai tingkap pada tahun 1990-2015.
Jika anda ada bidai atau langsir di rumah, pastikan anda ikat tali lebih tinggi supaya ia tak boleh dicapai oleh anak.
5. Cerek panas
Dapur adalah antara tempat yang paling bahaya untuk anak dibiarkan berseorangan. Cerek, pisau, dan sabun basuh adalah benda yang senang dijumpai di dapur.
PAsang pagar keselamatan untuk elak anak anda dari masuk ke dapur dan kunci laci dan kabinet. Pastikan cerek dan kuali panas jauh dari capaian anak.
6. Bucu perabot
Adalah menjadi perkara biasa untuk anak jatuh dan terhantuk. Tapi anda boleh kurangkan peluang mereka cedera dengan meletakkan perlindungan pada bucu perabot.
Mungkin ia akan kelihatan tak cantik pada perabot tapi yang penting anak anda akan selamat.
7. Ubat-ubatan
Sentiasa pastikan ubat-ubatan dikunci di dalam laci dan jauh dari anak. Ubat yang tak boleh dimakan oleh kanak-kanak adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kematian.
8. Kaca
Jangan beri anak anda menggunakan pinggan atau cawan kaca sehingga mereka sudah bersedia. Kaca mudah pecah dan kanak-kanak boleh tercedera.
9. Objek kecil
Objek kecil di rumah berpotensi untuk buat anak tercekik. Lebih-lebih lagi bila mereka di fasa meletakkan benda dalam mulut.
Simpan barang kecil ini jauh dari mereka dan pastikan anda potong buah dalam saiz kecil untuk elak mereka tercekik.
Sangat penting untuk anda memeriksa keselamatan di rumah. Juga pastikan penjaga, pengasuh atau orang gaji anda juga sedar akan perkara-perkara yang merbahaya untuk anak anda.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Sumber: Artikel asal ditulis oleh Rossana Chio, diterjermah dengan izin dari theAsianparent Singapore
Baca juga:
7 Barang Dapur Yang Boleh Mendatangkan Bahaya Pada Keluarga Anda