Buku Pink Ibu Mengandung: Bila Boleh Buat Buku Pink, Dokumen Yang Diperlukan & Panduan

undefined

Bila boleh buka buku pink ibu mengandung? Kebanyakan klinik ibu dan anak sarankan anda buat buku pink sebelum kandungan 12 minggu

Bakal ibu kali pertama mungkin tertanya-tanya bila boleh buka buku pink sebaik sahaja menyedari diri sedang hamil. Anda disaran melakukannya sebaik sahaja usia kandungan memasuki enam minggu ke atas kerana pada waktu ini jika imbasan dilakukan, doktor dapat melihat kehadiran kantung dalam rahim serta mengesahkan kehamilan telah terjadi.

Bila Boleh Buka Buku Pink

Kenapa Kena Buka Buku Pink?

Sebelum menjawab persoalan mengenai bila boleh membuka buku pink atau buku pranatal, mari kita ketahui secara ringkas tujuan penggunaannya.

Buku pink, atau nama rasminya Rekod Kesihatan Ibu, adalah buku yang merekodkan kesihatan ibu dan bayi sepanjang tempoh kehamilan.

Secara umumnya, wanita yang hamil memerlukan pengawasan serta pemeriksaan yang rapi dan berterusan bagi memastikan mereka sentiasa berada pada tahap kesihatan yang baik. Ini kerana mereka akan mengalami banyak perubahan pada badan dan fisiologi mereka.

Selain itu, kesihatan bayi dalam kandungan juga akan diperiksa dalam masa yang sama.

Bila Boleh Buka Buku Pink?

Namun bila boleh buka buku pink? Ibu dinasihatkan buka buku pink klinik kesihatan sebelum kandungan 12 minggu bagi memudahkan pemantauan kesihatan ibu dan perkembangan janin dalam kandungan.

Biasanya, buku pink ini boleh dibuka sebaik sahaja ibu yakin bahawa dirinya hamil sehingga sebelum berakhirnya trimester pertama. Jika anda terlewat untuk membuka buku pink, anda akan dilabel sebagai ‘late booking’.

Bagaimana untuk yakin bahawa diri mengandung? Sudah tentu dengan melakukan ujian menggunakan kit kehamilan di rumah.

Berikut beberapa dokumen untuk buat buku pink:

  • Kad pengenalan diri
  • Kad pengenalan pasangan
  • Gambar ukuran passport anda dan pasangan
  • Sijil nikah
  • Bil air/elektrik rumah untuk pengesahan alamat
  • Surat rujukan doktor atau klinik lain – jika ada
  • Cetakan imbasan kantung atau janin -jika ada

Pemeriksaan Pertama Ketika Buat Buku Pink

Sebelum buku pink dibuka dan dikeluarkan oleh KKIA, terdapat prosedur pemeriksaan yang perlu dijalani oleh bakal ibu. Perlu diingatkan bahawa ia adalah proses yang agak memakan masa, jadi bersabarlah ya?

1. Mengukur Tinggi & Berat

Jururawat akan mengukur tinggi dan berat serta merekod kesihatan anda berdasarkan maklumat yang diperlukan, seperti kitaran haid, masalah serta sejarah perubatan lampau.

2. Tarikh Jangkaan Bersalin

Anda akan mengetahui tarikh jangkaan bersalin (EDD) yang dikira berdasarkan tarikh hari pertama haid terakhir.

3. Ujian Air Kencing

Ujian ini perlu dilakukan untuk memeriksa kandungan protein dan gula dalam air kencing. Jika ini adalah kehamilan pertama, anda akan diberikan suntikan kancing gigi.

4. Pemberian Suplemen

Ibu akan diberi suplemen yang diperlukan setelah buku pink dibuka. Anda juga akan dibekalkan dengan vitamin pranatal seperti vitamin C, vitamin B kompleks, asid folik dan zat besi.

Ia merupakan makanan tambahan yang wajib diambil sekali sehari bagi menyokong tumbesaran janin.

5. Tarikh Janji Temu

Selepas selesai semuanya, tarikh janji temu seterusnya akan diberikan dan direkod di dalam buku pink mengandung untuk rujukan.

Maksud Pelekat Buku Pink Baby

1. Tag Merah Pada Buku Pink

Bagi ibu mengandung yang dilekat tag merah pada buku pinknya ia bermakna perlu rujukan segera ke hospital dan pengendalian selanjutnya adalah bersama (shared care) Pakar Onkologi dan Ginekologi dan Pakar Perubatan Keluarga, ia juga biasa dikategorikan sebagai kehamilan berisiko tinggi.

2. Tag Kuning Buku Pink Mengandung

Tag kuning buku pink mengandung bermakna ibu perlu rujukan untuk pengendalian oleh Pakar Onkologi dan Ginekologi Hopsital atau Pakar Perubatan Keluarga dan penjagaan selanjutnya boleh dilakukan bersama (shared care) Pegawai Perubatan dan Jururawat Kesihatan.

3. Tag Hijau Buku Pink

Tag buku pink yang berwarna hijau adalah pengendalian di Klinik Kesihatan oleh Pegawai Perubatan dan Kesihatan dan pengendalian selanjutnya boleh dilakukan bersama Jururawat Kesihatan atau Jururawat Masyarakat di bawah pengawasan Pegawai Perubatan

4. Tag Putih Buku Pink

Tag putih pada buku pink mengandung bermakna penjagaan oleh Jururawat Kesihatan atau Jururawat Masyarakat di Klinik Kesihatan dan Klinik Desa (sekiranya tiada terdapat faktor risiko yang disenaraikan dalam kod merah, kuning dan hijau, ibu akan diberi kod warna putih).

Di dalam situasi yang tertentu khususnya di kawasan pedalaman, di mana tidak terdapat Pegawai Perubatan, pengendalian boleh dilakukan oleh Jururawat Kesihatan atau Jururawat Masyarakat dengan pengawasan dari Pegawai Perubatan yang terdekat atau mudah dihubungi.

Pakar Onkologi dan Ginekologi dan Pakar Perubatan Keluarga boleh menukarkan kod warna mengikut penilaian tahap risiko semasa ibu hamil. Tag warna yang dilekatkan dapat mempamerkan kod warna yang telah diberikan sebelumnya.

Buku Pink Ibu Mengandung Perlu Dibawa Setiap Masa

Ingat, buku pink ibu mengandung ini perlu dijaga dengan baik dan dibawa ke mana sahaja anda pergi sepanjang kehamilan, termasuklah ketika pemeriksaan kehamilan yang seterusnya di KKIA.

Kenapa? Supaya sekiranya apa-apa terjadi, doktor dapat merujuk kepada rekod kesihatan yang tercatat dalam buku merah anda.

Apa Perlu Buat Jika Buku Pink Hilang?

Untuk ibu mengandung, buku merah ini umpama IC kita. Kalau ia hilang, maka anda perlu buat laporan polis dan kemudian membawa kertas laporan ini ke klinik kerajaan untuk membuat buku baru.

Ada juga sesetengah klinik ibu dan anak yang tidak memberikan buku baru tetapi hanya mencatat rekod kesihatan dalam kertas sahaja dan ia semua akan dikumpul dan di-stapler sekali!

Pengajaran: Jaga buku pink anda elok-elok, jangan sampai hilang!

Bagaimana Jika Lambat Buat Buku Pink Ibu Hamil?

Menerusi komuniti theAsianparent Malaysia, seorang penggguna bernama Nur Atiqah bertanyakan soalan:

Saya nak tnya .. kalau lambat buka buku pink 5 hari dari 12 minggu kandungan tak apa ke?

Beberapa orang ibu berkongsikan pengalaman mereka lewat buat buku pink di klinik kerajaan.

Awak pergi je klinik kesihatan ibu dan anak. Saya buka buku pink masa 15 minggu. Doktor ada bising.. tapi sblum ni saya memang ada rekod pergi klinik swasta,saya bagi tunjuk scan baby smua. Doc tak jadi nak bising sangat. Kalau kandungan dalam 12 minggu, dia mungkin tak bising sangat.– Alisa Imaan

Kalau kat sini pun nurse ada bunyi kalau ibu buka buku pink lambat. Paling lewat mereka beritahu adalah 12 minggu. Sebab pihak klinik nak bagi tarikh scan kandungan dan minum air gula. Tu yang mereka bising sangat tu.– Ida

Nurse mungkin akan bising sikit tapi boleh je. Dengan keadaan sekarang ni rasanya semua pun boleh faham banyak kekangan. Moga dipermudahkan– Puan Nurul

Saya buat buku lagi la usia kandungan 16 weeks ke atas alhamdulillah nursenya okey cuma pesan next time kena lgi awal buat buku pink. -Nur Alina

Kepentingan Buat Buku Pink 

1. Profile Dan Masalah Kesihatan Ibu Mengandung

Sebenarnya, buku pink ni ada profile dan masalah kesihatan ibu mengandung, siap dengan sejarah penyakit keluarga si ibu. Dari situ doktor boleh memantau ibu yang berisiko untuk dapat kencing manis, darah tinggi dan lain-lain. 

2. Ada Sejarah Rekod Kelahiran Terdahulu

Dalam buku pink juga kita akan rekod sejarah kelahiran terdahulu. Pernah keguguran atau tak? Pernah caeser? Berapa kali? Ni kandungan ke berapa? Anak semua berapa kilo berat? Ada komplikasi mengandung/ketika bersalin? Sebab tu pentingnya buku pink mengandung ini.

3. Untuk Mengesan Hemoglobin Darah

Bila buka buku pink, jururawat akan ambil darah untuk periksa sama ada ibu ada masalah darah rendah atau tinggi. Dari situ jururawat boleh detect adakah ibu kekurangan Hemoglobin, atau ada jangkitan penyakit yang boleh bahayakan bayi dalam kandungan.

4. Pemeriksaan Mengikut Rekod Buku Pink

Pergilah mana-mana klinik dan hospital kerajaan, kalau tak bawa buku pink mesti kena marah. Doktor dan juga nurse akan membuat pemeriksaan ibu melalui buku pink.
 
Ada ibu mengandung yang sebelum ni mengandung tak ada apa-apa sakit. Tapi lepas doktor periksa rupanya thyroid bengkak, ada ketulan payudara, ada jantung bocor dan sebagainya. Semoga bermanfaat!

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia

Baca jugaRamai Ibu Muntah Bila Minum Air Gula, Ini Cara Yang Betul Untuk Ibu Hamil 

Baca juga:  UPT Negatif Tapi Mengandung, Doktor Jelaskan 7 Sebab Ia Terjadi Pada Sesetengah Ibu

Baca juga:  10 Jenis Alahan Mengandung Dialami Kebanyakan Ibu, Para Suami Kenalah Faham

Ada isu keibubapaan yang buat anda risau? Jom baca artikel atau tanya dan dapat terus jawapan dalam app theAsianparent kami! Download theAsianparent Community di iOS dan Android sekarang!