5 Ucapan 'Magik' Yang Anak Perlu Dengar Setiap Hari, Barulah Dia Membesar Ceria!

Komunikasi dengan anak bukanlah suatu benda yang boleh dipandang ringan kerana makhluk kecil ini bagaikan span yang aktif menyerap.

Komunikasi dengan anak bukanlah suatu benda yang boleh dipandang ringan kerana makhluk kecil ini bagaikan span yang baktif menyerap apa sahaja di sekelilingnya.

Jadi komunikasi dengan anak adalah sesuatu yang amat penting untuk kita titik beratkan dalam mendidik anak-anak kerana mereka ini ibarat kain putih, jadi kitalah yang mencorakkannya.

Baik atau sebaliknya corak itu sebenarnya banyak bergantung kepada kita sebagai ibu bapa yang diamanahkan untuk mendidik mereka dengan sehabis baik. Jangan disebabkan kita, anak-anak ini terjejas perkembangan emosinya. Disebabkan itu penting untuk ibu bapa rajin menggali ilmu keibu bapaan.

Komunikasi dengan anak ada caranya

Sebagai ibu bapa, rajin-rajinkanlah menggali ilmu keibu bapaan yang sangat membantu anda dalam mendidik anak anda menjadi yang terbaik. Jangan sombong menuntut ilmu demi anak-anak kerana mereka ini pastinya memerlukan bimbingan kita dalam membesar menjadi insan yang sempurna.

Menurut artikel yang dikongsikan thezuriat, mungkin kerana kesibukan kerja, travel, atau rutin harian yang padat, kita menganggap anak-anak akan memahami situasi kita.

Tapi hakikatnya, cara berkomunikasi dengan anak perlulah berkesan dan mereka seharusnya kasih sayang sentiasa diingatkan dan diekspresikan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW melalui sepotong hadis:

Abu Hurairah RA berkata;

قَبَّلَ النَّبِىّ صلى الله عليه وسلم الْحَسَنَ بْنَ عَلِىٍّ ، وَعِنْدَهُ الأقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِىُّ جَالِسًا ، فَقَالَ الأقْرَعُ : إِنَّ لِى عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا ، فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، ثُمَّ قَالَ : مَنْ لا يَرْحَمُ لا يُرْحَمُ

“Nabi SAW mencium Al-Hasan bin ‘Ali, dan di sisi Nabi ada Al-Aqra’ bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro’ berkata, “Aku punya 10 orang anak, tidak seorangpun dari mereka yang pernah kucium”. Maka Rasulullah SAW pun melihat kepada Al-‘Aqro’ lalu Baginda berkata, “Barangsiapa yang tidak merahmati/menyayangi maka ia tidak akan dirahmati.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Pentingnya ibu bapa tunjukkan kasih sayang kepada anak setiap hari

Keterangan itu menunjukkan betapa pentingnya kita sebagai ibu bapa menunjukkan kasih sayang kepada anak-anak setiap hari.

Berikut adalah antara beberapa ucapan yang boleh kita ucapkan kepada anak-anak, tak kiralah yang masih kecil ataupun yang meningkat usia remaja. Mudah-mudahan, ia memberi kesan luarbiasa serta sentuhan magik kepada emosi dan rohani anak-anak kita.

#1. "Kami sayangkan kamu/mama, papa sayangkan kamu"

Jangan biarkan satu hari pun berlalu tanpa memberitahu anak-anak bahawa kita menyayangi mereka. Anak-anak akan berasa selamat apabila diingatkan bahawa kita sentiasa mencintai mereka.

Dalam hari-hari yang sukar, anak-anak mungkin akan buat ‘perangai’ atau tidak berkelakuan baik seperti apa yang kita harapkan. Sungguhpun begitu, penting untuk anda jelaskan kepada mereka bahawa semua perkara ini tidak akan sesekali melunturkan kasih sayang anda terhadap mereka.

#2. "Kami seronok bermain dengan kamu"

Tak kiralah apa jua aktiviti yang anda lakukan hari ini, cuba beritahu anak bahawa anda sangat gembira berada di samping mereka.

Tidak dapat dinafikan, seorang anak sememangnya sumber keceriaan dan kegembiraan dalam sebuah keluarga. Malah, anak juga adalah sumber rezeki dan anugerah yang tidak ternilai dari Allah. Jadi, jangan malu-malu meluahkan kepada anak betapa berharganya mereka buat anda.

#3. "Kami suka bila kamu..."

Setiap orang tentunya berasa gembira apabila mengetahui mereka dapat membuat seseorang gembira terutamanya anak anda.

Jadi, ambil kesempatan ini untuk mengingatkan mereka tentang perbuatan mereka, karakter, kelakuan baik, idea bernas, atau apa-apa saja yang positif.

#4. “Kamu sangat istimewa"

Tak perlu tunggu anak-anak naik pentas, terima anugerah di sekolah, atau menang pertandingan untuk mengucapkan ayat ini kepada mereka.

Sebaliknya, fahamilah bahawa setiap individu mempunyai keunikan tersendiri yang diciptakan oleh Allah. Oleh itu, beri perhatian kepada perkara-perkara ‘simple’ yang dilakukan oleh anak setiap hari dan ekspresikan penghargaan anda kepada mereka.

#5."Kami percayakan kamu"

Salah satu perkara mustahak yang dapat membantu perkembangan kanak-kanak adalah apabila mereka tahu ibu bapa sentiasa menyokong mereka. Dengan kata-kata ini, anak akan berasa lebih konfiden, berani mencuba, dan tidak mudah berputus asa untuk menghadapi cabaran.

Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman The AsianParent Malaysia

Sumber: thezuriat

Baca juga:

Penulis

Lala Annuar