Pernahkah anda merasa tidak berpuas hati dengan ibu bapa anda sendiri tentang cara asuh anak anda? Konflik ibu vs anak ini sentiasa terjadi dalam mana-mana keluarga. Kadang kala buat kita rasa sakit hati. Yalah, si kecil itu kan anak kita!
Jadi cara asuhan dan disiplin kita pastinya berbeza dengan orang tua. Malah, perbezaan ini boleh menyebabkan kedua-dua pihak bermasam muka. Mulalah semua benda yang kita buat selepas ini salah di mata mereka.
Pernah dengar keluhan begini?:
“Alah, biarlah budak tu nak main game. Bukannya dia menyusahkan kau pun. Kan aku ni neneknya, pandailah aku menjaganya”.
‘Orang tua ni memang tak faham tau. Aku nak mendisiplinkan anak aku. Dia pulak, asyik nak manjakan budak tu! Dah setengah jam budak tu main game,’ Aku hanya mampu merungut dalam hati. ‘Inilah masalahnya kalau orang tua masuk campur urusan mendisiplinkan anak-anak kita!’
Ibu vs Anak Konflik Dua Pihak Mendidik Si Manja
Betulkah tanggapan sebegitu? Haruskah kita menafikan langsung peranan ibu bapa kita dalam mendisiplinkan anak-anak kita?
Saidina Umar pernah berkata,
“Hendaklah ibubapa mendidik anak-anak berlainan cara dengan cara mereka dididik sebab Allah melahirkan anak itu berlainan zaman daripada ibubapanya”.
Namun malangnya apa yang sering berlaku hari ini, ibu bapa kita terlalu berpegang kepada cara ‘old school’ maka, terjadilah konflik dengan mereka.
Mengapa Berlakunya Konflik Ibu vs Anak?
1# Masalah komunikasi
Komunikasi yang kurang berkesan akan memburukkan lagi keadaan. Ibu bapa kita perlu diberi maklumat yang jelas tentang kewajaran kita mengambil sesuatu keputusan untuk anak kita itu.
Tanpa komunikasi yang berkesan, ibu bapa kita tidak akan faham dan menganggap kita tidak berpengalaman, dan oleh itu mereka sahaja yang betul.
2# Perbezaan pendapat
Pernah dengar pantang-larang orang tua yang mengatakan anak-anak tidak boleh dibenarkan masuk ke bilik ibubapanya?
Ibu bapa moden hari ini pasti merasakan pantang-larang sebegini menjengkelkan dan pastinya mengeluh setiap kali ditegur jika anak-anak kita dibenarkan bermain di dalam bilik kita.
3# Memanjakan anak-anak
Sudah menjadi lumrah manusia, atuk nenek akan lebih berlembut dengan cucu-cucu tidak kira segarang mana pun mereka semasa mendidik kita dahulu.
Namun, jika mereka terlebih memanjakan anak-anak kita, ini akan membuatkan mereka agak sukar untuk mematuhi peraturan yang telah kita tetapkan.
Apa Perlu Anda Lakukan Jika Ini Situasi Harian?
Pertama sekali, anda perlu bertindak matang, hadapi dengan tenang. Kami senaraikan apa yang anda boleh lakukan:
1# Tegur anak, bukan atuk/neneknya
Walaupun kita adalah seorang majistret terkemuka, jangan sekali-kali cuba berhujah panjang untuk membuktikan yang kita betul, dan mereka salah.
Sebaliknya, terangkan pada anak dengan cara berhikmah mengapa kita tidak bersetuju dengan cara atuk/nenek mereka tanpa memburuk-burukkan atuk/nenek mereka.
2# Konsisten dalam mendisiplinkan anak
Walaupun pada mulanya ibubapa kita sukar menerima cara kita mendisiplinkan anak, sekiranya kita konsisten, lambat-laun mereka boleh faham juga melalui pemerhatian yang berterusan.
Sesekali ajaklah mereka menghadiri bengkel keibubapaan bagi memberi peluang mereka mempelajari dan mengetahui perkembangan terkini dalam teknik keibubapaan.
3# Jangan perbesarkan perkara remeh
Demi menjaga hubungan baik antara kita dengan ibu bapa atau mertua kita, perlu ada fleksibiliti dalam rutin seharian. Tetapkan apa yang boleh dikecualikan daripada set peraturan yang telah ditetapkan, dan apa yang mesti dikekalkan dalam apa keadaan sekalipun.
Walaupun kita ingin menegaskan hak kita sebagai ibubapa, jangan lupakan yang mereka adalah ibubapa kita dan mesti sentiasa dihormati.
4# Pengalaman adalah guru terbaik
Kita perlu mengiktiraf pengalaman luas yang dimiliki oleh orang tua kita dalam mendidik anak-anak. Mungkin ada beberapa cara ‘old school’ mereka yang masih relevan pada hari ini.
Oleh itu, banyakkan mendengar dan berbincang agar lebih mudah mencapai kata sepakat terutamanya bagi mereka yang tinggal sekali dengan orang tua/mertua mereka.
5# Peranan orang tengah
Sekiranya semua cara yang dicuba untuk mencapai kesepakatan gagal, jangan pula anda lancarkan perang dingin di dalam rumah itu kerana anak-anak memerhati kelakuan anda. Mereka mungkin akan hilang hormat pada anda atau atuk/nenek mereka.
Usahakan untuk mendapatkan bantuan orang tengah, biasanya yang lebih tua atau yang boleh mempengaruhi ibubapa/mertua kita, untuk menyedarkan mereka tentang kesilapan mereka.
Semoga artikel ini bermanfaat.
Peringatan: Anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di mana-mana laman web atau status Facebook yang lain, tanpa pemberian kredit dan pautan yang tepat lagi berfungsi pada artikel asal di laman theAsianparent Malaysia
Baca juga: Nenek Pilih Kasih, Cucu Kesayangan Dipuji Melambung, Cucu Lain Rasa Tersisih